Monday, 24 May 2010

Taktikal Vs Seni



Kejuaraan Piala Juara-Juara Eropah musim 2009/2010 melabuhkan tirainya dengan Inter Milan berjaya merangkul piala kejuaraan dalam perebutan dengan Bayen Munich. Inter Milan terpaksa menelan penantian 45 tahun untuk merangkul kejayaan berganda setelah memenangi dua lagi piala dalam Serie A iaitu piala itali dan liga itali. Kejayaan ini hadir setelah kelab tersebut dikendalikan oleh seorang pengurus TAKTIKAL, Jose Mourinho.

Jose Mourinho merupakan seorang pengurus bola sepak yang cukup dikagumi dalam merancang taktikal pasukan. Chelsea dan Porto merupakan beberapa kelab yang berjaya dikemudi oleh beliau arena bola sepak Eropah. Walaupun sering berpindah dari satu kelab ke satu kelab yang lain, namun beliau berjaya mengemudi setiap pasukan yang dikendalikannya memenangi kejuaraan. Namun tidak ramai yang menyukai cara beliau yang dikatakan tiada seni permainan bola sepak.


Louis Van Gaal juga merupakan pengurus pasukan Bayen Munich. Seorang yang dikatakan mempunyai jiwa pemain bola sepak. Seorang pemain Bayen Munich, Van Bommel menyatakan Louis merupakan seorang yang akan melatih pemain lebih kepada seni permainan bola sepak. Bommel juga yang merupakan bekas anak didik Mourinho tidak menyukai cara Mourinho yang lebih kepada tektikal.

Taktikal Vs Seni

Best mengulas padahal tak tengok pun perlawanan dorang sebab sibuk dengan study untuk exam.. hehehe.. Namun Sejarah tetap sejarah. Bagi aku, ini merupakan perjuangan antara taktikal vs seni. Bagaimana dua elemen yang berbeza menjadi teras kepada momentum kepada pejuang-pejuangnya dalam mengharungi perjuangan. Bagaimana dua elemen ini menjadi penentu kepada kejayaan atau kegagalan dalam perjuangan.

Taktikal, merupakan suatu yang cukup dipandang enteng oleh kebanyakan masyarakat mahupun pejuang kini. Mengapa? Kerana masing-masing lebih mengagungkan semangat, slogan dan kata-kata yang kebanyakannya lahir dari retorik-retorik khayalan. Sehingga kadang kala taktikal dipandang sepi dan dibuang dari pertimbangan pemikiran. Merasakan dengan kata-kata semangat, slogan dan ucapan berapi-api sudah cukup untuk memenangi pertarungan, peperangan dan perlumbaan nanti.

Sistem, strategi, pelan, perancangan dan seumpamanya merupakan inti pati kepada taktikal. Manakala semangat, kata-kata slogan, impian merupakan inti pati dalam seni. Orang yang selalu bermain dengan taktikal selalunya berada di belakang tabir, bergerak secara senyap, kelihatan lemah, bodoh, tidak berupaya, kolot malah ada kala dituduh pengecut, penakut dan bacul. Berbeza dengan sang pengamal seni, dilihat bersemangat, segar, kuat, berani, bijak dan hebat. Namun sejarah telah membuktikan, ramai sang pengamal seni akan tersungkur dalam peperangan dek kerana kurangnya kelengkapan, perancangan yang teruk dan akhirnya dipandang hina baik musuh mahupun ahli pejuang lain.

Namun hakikatnya kedua-dua elemen ini amat penting dalam mengembeleng sesebuah organisasi sama ada kelab, persatuan, negara mahupun dunia. Contoh yang paling nyata, Al-Quran yang diturunkan Allah kepada manusia merupakan gabungan ayat-ayat semangat dan inti pati-inti pati taktikal. Kitab yang menjadi panduan sekalian umat Islam itu bukan sahaja dimuat dengan kata-kata semangat, malah penuh dengan elemen-elemen taktikal seperti dalam surah As-Saff, Al-Imran, Al-Hujurat dan sebagainya. Begitu juga The Most Integrated People, Rasulullah dan mencorak sunnahnya. Baginda bukan sahaja bijak dalam berpidato, bersyair, berkata-kata semangat malah turut cemerlang dalam merancang pelbagai taktikal seperti dalam Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandak, peristiwa Hijrah dan seumpamanya.

Kita lihat di dalam peristiwa Hijrah umpamanya, bagaimana baginda merancang perjalanan hijrah baginda ke Yatrib pada masa itu. Bermula dengan proses membuat perancangan. Rasulullah telah keluar ke rumah sahabatnya, Abu Bakar diwaktu tengahari untuk menyembunyikan pergerakannya. Ini kerana masyarakat arab pada masa itu akan tidur pada waktu tengahari kerana suhu yang tinggi di kawasan tersebut. Seterusnya semasa peristiwa hijrah berlangsung di mana Rasulullah ke selatan Mekah terlebih dahulu, walhal Yatrib berada di utara Mekah. Malah digunakan segerombolan biri-biri untuk menghapuskan jejak kuda rasulullah. Ini adalah untuk mengelirukan kumpulan kafir Quraish yang berniat untuk membunuh baginda. Seterusnya baginda menggunakan jalan di pesisir Laut Merah yang jarang dilalui orang untuk mengelakkan pertembungan dengan pengintip dan pembunuh upahan kafir Quraish.

Ini memperlihatkan kepada kita, betapa kedua-dua elemen iaitu taktikal dan seni memainkan peranan dalam kejayaan peristiwa hijrah. Rasulullah menggabungkan kedua-dua elemen tersebut dengan tepat dan betul dan inilah merupakan kunci kejayaan baginda dalam perang-perang yang berlaku pada tahun-tahun berikutnya. Taktikal memainkan peranannya dalam menyediakan dan memenuhi keperluan organisasi tersebut untuk menang manakala seni menjadi pelengkap dan pemangkin kepada persediaan-persediaan yang telah dijalankan.

Justeru itu, setiap saf kepimpinan dalam mana-mana organisasi amat memerlukan dua elemen ini. Jika salah-satu tercicir, tunggulah kehancuran dan keruntuhan organisasi tersebut. Sekian, Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...