Monday, 31 May 2010

Konvoi Gaza: Umat Islam Patut Malu!


Hari ini satu peristiwa berdarah telah berlaku iaitu tragedi konvoi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza di mana dilaporkan 16 orang aktivitis pro-palestin terbunuh manakala ramai yang cedera. Konvoi yang bertolak dari Turki itu telah diserang oleh komando tentera Israel laknatullah dalam perairan antarabangsa iaitu kira-kira 65km dari perairan Gaza. Konvoi tersebut yang juga disertai oleh beberapa NGO dari Malaysia diketuai oleh seorang warga turki, Bulent Yildirim.

Serangan yang memang sudah dijangka itu bagiku tidak mengejutkan. Sebelum ini pun Israel telah memberi amaran untuk menghalang konvoi tersebut dari sampai ke Semenanjung Gaza walau dengan apa cara sekalipun. Dan hari ini serangan itu memang terjadi dalam melakar sejarah dunia.

Namun bukan itu yang bermain dibenak fikiranku. Jauh disudut hatiku, tertanya-tanya dimanakah tentera-tentera negara islam yang sepatutnya mengiringi konvoi itu untuk rakyat Palestin di Semenanjung Gaza? Adakah kerana perlu berdepan dengan tentera Israel, masing-masing membatukan diri?

Konvoi itu hanya diketuai oleh seorang presiden sebuah yayasan kecil untuk membantu rakyat palestin yang sehingga hari ini hidup dalam kandang Israel. Mereka dinafikan sebuah kehidupan yang aman, bebas dan peluang-peluang hidup sedikit demi sedikit ditutup. Malah tanah air mereka semakin hari semakin mengecil. Rumah-rumah dan ladang-ladang milik rakyat palestin dimusnahkan untuk dibina penempatan haram baru yahudi.

Usaha seorang umat islam yang berjiwa mulia tersebut hanya dipandang sepi oleh negara-negara Islam. Hanya negara Turki yang dilihat cuba untuk membantu mereka. Namun negara arab lain seperti Arab Saudi, Qatar, Syria, Jordan dan sebagainya hanya memandang kosong konvoi tersebut walhal rakyat palestin adalah berbangsa arab, bukan berbangsa Turki. Begitu juga negara-negara Islam lain. Malaysia yang mengaku sebagai sebuah negara Islam yang hebat pembangunannya hanya membisu seribu bahasa.

Dan apabila serangan telah berlalu, masing-masing cuba menjadi hero dengan mengutuk tindakan zionis jahanam itu. Malah Liga Arab dengan segera mencadangkan diadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan tragedi itu. Masing-masing berlumba-lumba cuba menjadi jaguh untuk menyelamatkan konvoi tersebut. Cukup dramatik dan menjadi lakonan itu. Walhal sebelum konvoi tersebut diserang, apakah ada tindakan dari mana-mana pihak untuk melindungi mereka?

Umat Islam Patut Malu!

Umat islam patut malu atas tragedi ini. Masing-masing lebih mementingkan diri sendiri, negara sendiri, perut sendiri berbanding saudara seagama kita di sana. Kerana apa? Kerana agama telah dibuang sejauh-jauhnya dari hidup mereka. Agama hanya dipandang seperti sehelai baju, yang akan dipakai bila sesuai dengan majlis atau tempatnya.

Namun bila menjalani kehidupan, menyusun dan mentadbir negara, menjana ekonomi, menggubal dasar dan sebagainya, agama ditinggal jauh-jauh dari menjadi bahan rujukan dan ukuran standard. Ideologi-ideologi rekaan manusia seperti liberisme, sekularisme, nasionalisme, kapitalisme dan komunisme menjadi rujukan utama dalam kehidupan. Agama hanya digunakan bilamana mahu dihalalkan atau diharamkan sesuatu mengikut serakah nafsu durjana masing-masing.

Itulah umat islam hari ini. Menyalak bila diketuk, membatu bila yang lain pula diketuk. Cukup mementingkan diri sendiri. Inilah hasil didikan daripada sistem-sistem dan dasar-dasar yang digubal oleh ideologi-ideologi manusia, yang sebenarnya hanyalah jarum-jarum yahudi laknatullah untuk menghancurkan umat islam.

Justeru itu, marilah kita kembali kepada Al-Quran dan As-sunnah, yang telah diwariskan oleh Baginda Rasulullah kepada umat Islam. Berdampinganlah dengan para ulama-ulama yang benar-benar ingin membawa umat islam ke jalanNya. Jatuhkanlah para pemimpin yang gila rasuah, lembu kepada zionis yahudi. Kerana masih belum terlambat untuk kita merubah hari esok yang lebih baik dan adil untuk umat islam sejagat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...