Saturday, 22 May 2010

Kualiti Khutbah Jumaat Hari Ini Jatuh: Mengapa?

Khutbah jumaat minggu ni kat masjid dekat IPG aku bertemakan "Cukai". Masjid tempat jumaat itu merupakan sebuah masjid di dalam sebuah sekolah menengah. Maka ramailah dalam kalangan sang pendengar itu adalah para pelajar.

Tok khatib mula menghuraikan apakah itu cukai dalam sesebuah negara dan kepentingannya. Secara keseluruhannya, dapatlah aku simpulkan, khutbah hari ini adalah merupakan satu kempen membayar cukai. Ahli jumaat diterangkan akibat daripada melewatkan proses membayar cukai. Seolah-olah cukai merupakan sesuatu yang paling wajib ditunaikan hari ini.

Aku cuba menilai dan membuat sedikit pemerhatian. Oleh kerana ramai dalam kalangan sang pendengar itu adalah pelajar, ramai yang hanya mengangguk-ngangguk dalam dunia masing-masing. Sebilangan yang mendengar sepintas lalu, masuk di telinga kanan keluar di telinga kiri. Masakan tidak, tajuk khutbah pun sudah lari dari dari dunia mereka. Tambahan pula isi khutbah cukup lemah, hanya membincangkan apa itu cukai, mengapa perlu dibayar cukai dan kesan tidak membayar cukai.

Pada hematku, tema cukai masih boleh digunakan namun mestilah penghuraiannya cukup baik dan memenuhi tahap dan kefahaman para pendengar sama ada kanak-kanak, pelajar, remaja, ibu bapa dan warga emas. Contohnya ciri-ciri cukai menurut islam, sumbangan cukai dalam pembangunan islam, syarat-syarat cukai dalam islam dan seumpamanya. Oleh yang demikian, ahli jumaat dalam melihat bagaimana islam membentuk kehidupan.

Namun hari ini kebanyakan khutbah hanya memenuhi telunjuk pemerintah. Apabila terdapat kempen-kempen negara seperti kempen kesedaran kebersihan, H1N1, hari merdeka dan seumpamanya, khutbah jumaat menjadi salah satu cara untuk menyampaikannya. Memang diakui, isu semasa boleh dimasukkan. Namun pada pandanganku, isu-isu yang dimasukkan mestilah bersifat sejagat dan lebih keutamaannya terhadap umat islam. Masalah penindasan terhadap umat islam, isu keadilan, isu akidah, isu keruntuhan akhlak dan sebagainya lebih utama dari membincangkan isu-isu remeh seperti cukai, buah-buahan tempatan, gotong-royong dan seumpamanya.

Justeru itu, menjadi tanggungjawab kepada pihak berwajib dan berkenaan untuk meningkatkan kualiti khutbah. Jangan lah mempersia-siakan perhimpunan umat islam setiap minggu ni dengan perbincangan yang remeh-temeh, jumud dan sempit skopnya. Ingatlah, Allah telah menyediakan satu neraka khusus kepada mereka yang menguruskan agamanya mengikut kepentingan tertentu, telunjuk hawa nafsu dan sunnah syaitan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...