Wednesday, 26 May 2010

Apabila Butakan Mata, Pekakkan Telinga..

Dunia hari ini memperlihatkan kepada kita, begitu banyak kerosakan, kemungkaran, kemaksiatan dan kekufuran yang berlaku. Bukan sahaja di negara-negara kafir, malah lebih meluas di negara Islam sendiri. Tidak terkecuali negara kita, Malaysia bumi tercinta.

Isu gejala sosial yang telah lama membarah dalam kalangan masyarakat sehingga kini masih ditakuk lama. Masalah pelacuran, buang bayi, sumbang mahram, rogol, ragut dan kecurian masih lagi berleluasa dan semakin parah. Berapa ramai yang sehingga hari ini, tidak mengenali ibu bapa semenjak lahir mengenal dunia fana.

Itu belum dibuka tirai rumah kebajikan dan warga emas, yang rata-rata semakin ramai penghuninya. Habis sepah, madu dibuang. Dikala muda, perit, perih mencari sesuap nasi untuk sang anak. Namun bila dikala penhujung usia, menghabiskan masa merenung, menunggu kasih anak. Malah ada yang diperlakukan seperti binatang, seolah-olah mereka langsung tiada harga, Padahal di tapak kaki merekalah syurga sang anak. Hingga akhirnya, menghembuskan nafas terakhir di samping rakan-rakan yang senasib dengannya.

Namun dunia hari ini memperlihatkan kepada kita, semua itu hanya seperti sebuah drama. Ditayang, hanya untuk memenuhi slot, yang akan menaikkan ranking dan menjulang trofi tayangan terbaik. Hakikatnya masalah-masalah itu masih tidak selesai, malah makin merebak, makin membarah. Yang ternoda terus dinoda, yang menangis terus menangis, yang hitam terus menghitam.

Kemanakah satu umat yang amat mulia itu?

Kemanakah satu umat yang gagah berani itu?

Kemanakah satu umat yang bersuara benar itu?


Yang dikatakan membawa cahaya ilahi itu?


HILANG! Hilang entah kemana. Nama-nama umat itu semakin bertambah namun tidak kelihatan susuk tubuhnya. Menara-menara masjidnya semakin meninggi namun syiarnya semakin menjunam. Yang ada hanyalah cebisan-cebisan yang terus berjuang, cuba untuk membina kembali umat itu.

Umat apakah itu?

Itulah UMAT ISLAM hari ini. Bayinya lahir di dalam keluarga maksiat. Zaman kanak-kanaknya buas bermain di taman-taman kelalaian. Zaman remajanya terkinja-kinja di pesta konsert. Zaman rumah tangganya bergelumang dengan dosa. Dan zaman tuanya pengunjung setia joget dangdut. "HAHAHA!" ketawalah mereka, mereka si pemusuh umat itu. Hari ini pakaian musuh adalah pakaian umat itu. Hari ini makanan musush adalah makanan umat itu. Hari ini amalan musuh adalah amalan umat itu. Masakan tidak gembira musuh umat itu?

Mengapa Begitu?

Semuanya apabila masing-masing membutakan mata, memekakkan telinga, membisukan mulut. Tiada lagi amal makruh nahi mungkar. Pemerintah memenuhkan perut kroni dan keluarga. Sehingga alpa tugas dan amanah menjaga agama, bangsa dan negara. Tidak cukup itu, barang tugas dan amanah digadai dan diperdagangkan. Agama dinoda sedahsyat-dahsyatnya. Tidak cukup hudud ditolak, ditendang, dihina, arak pula didagang bebas. Bahkan najis judi pula dihalalkan. Bangsa bumiputra, seperti mengemis di negara sendiri. Yang minoriti pula dianak tirikan, didikminasi, apabila berlainan pangkah undinya. Negara semakin hari semakin mengecil. Digadai sana, dilelong sini. Pulau Batu Putih, Blok minyak di Serawak dan terbaru cebisan tanah di Singapura.

Akhirnya agama yang rugi, rakyat menderita dan negara tergadai. Kerana masing-masing terus memejamkan mata, memekakkan telinga, mengunci mulut serapatnya. Kebenaran di cat sebagai kebatilan manakala kebatilan disanjung beralas baldu sutera. Hakikat yang hak hanya dipandang dan didengar tak ubah seperti drama. Manakala kejijikan batil dipejamkan, ditulikan, didiamkan.

Ya! Hari ini anda masih mampu ketawa. Masih mampu bersuka ria. Masih mampu bergurau senda. Namun nantilah, satu saat di mana, tiada lagi jalan keluar, tiada lagi U-turn, tiada lagi hitam dan putih. Yang ada hanyalah neraca Nya. Bersedia untuk menimbang, menyukat. Yang akan menjadi penentu hidup abadi kita, sama ada bertemankan para nabi, sahabat-sahabat, solehin, syuhadah dan bidadari atau meraung-raung bersama jin dan syaitan. Hanya kerana kita butakan mata, pekakkan telinga, bisukan lidah. Sekian, salam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...