Monday, 24 May 2010

Institusi Musibah

Di petik daripada Harakahdaily Ruangan Catatan Wartawan,2/11/09

"...pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam ujian."


Kadang-kadang ujian silih berganti, pasang-surut tanpa henti membuatkan saya pernah bertanya apakah sebab dilahirkan ke dunia ini. Adakah untuk merasai kesakitan dan 1000 kepayahan mendatang?

Kata-kata itu terpacul tatkala, saya masih cukup naif agama dan kosong jiwa. Lantas, bertanya kepada seorang tua, di sebuah warung, berhampiran rumah bujang saya kira-kira 15 tahun lalu.

"Azamin...pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam-macam ujian. Jangan bersangka buruk kepada tuhan," kata lelaki beruban, lewat usia 50an itu, membuatkan saya tertunduk.

"Muhammad, kekasih Allah itu dibaling batu, dilempar najis dan kakinya terpijak duri-duri yang sengaja di letakkan di tepi jalan. Giginya patah dan pipinya berdarah sewaktu perang.

"Pernah disihir dan usaha untuk membunuhnya tidak pernah surut. Lawannya sentiasa mengejek dan menghinanya.

"Lalu adakah ujian-ujian itu tanda Muhammad itu dibenci dan dipinggirkan Tuhan?" soalnya lagi dan kali ini air mata saya mula bergelinangan.

Dan dialog itu, terus menerkam sanubari, bilamana saya dihurung musibah. Kadang-kadang saya merasa penat dan adakalanya hampir putus asa. Sebabnya, tak jemu-jemu ujian dan masalah hinggap dalam kehidupan.

Bila saya mengaji dan terbaca terjemahan surah Al-Baqarah, ayat 155, barulah hati saya reda dan tenang semula.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:"

Saya bertanya lagi kepada pakcik itu, kenapa orang lain bahagia, kaya, berjaya dan hidup aman makmur berbanding saya.

"Sebenarnya kamu lihat dengan mata kepala bukan dengan mata hati...lantas apa yang dilihat hanya zahir semata-mata. Kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan mereka dinilai dengan apa yang ada di depan mata kamu.

"Kamu tidak tahu di sebalik semua itu. Hutang keliling pinggang, penipuan, kesakitan, kepayahan dan ujian-ujian yang dihadapi mereka. Dan tidakkah Azamin tahu, ujian paling bahaya adalah ujian kesenangan!

"Jika kita sakit serta susah, kita mengadu dan menyebut Allah tetapi bila sihat dan senang, adakanya kita lupa dan alpa..." katanya membuatkan saya terdiam seketika.

Ya benar, kita sentiasa lupa pada-Nya tetapi Allah tidak pernah lupa dan tinggalkan kita, apatah lagi di kala berlaku kesulitan dan kepayahan.

Kira-kira enam tahun lalu, saya menerima panggilan bahawa bapa saudara saya meninggal dunia di utara. Berat sungguh ujian ketika itu. Sudahlah sayu dan pilu, saya yang 'kurang' harta ini pula bercampur-baur antara mahu pergi ataupun tidak menziarahi jenazahnya yang juga merupakan adik kepada bonda tercinta.

Saya di Kuala Lumpur, ibu di Negeri Sembilan dan jenazah arwah di Kedah sana. Kocek, cukup-cukup tampung perjalanan pergi sahaja. Kereta juga uzur. Saya bertawakal dan berserah diri bulat kepada Allah. Niat saya untuk membawa ibu, dan mengadap arwah buat kali penghabisan.

ImageDalam perjalanan, hati cukup resah tanpa disedari ibu, isteri yang sedang menyusukan anak sulung. Apakah sampai di sana nanti, saya akan mengemis atau meminta-minta belas ihsan mendapatkan wang untuk 'tambang' pulang.

Ya Allah, saya berdoa, jauhilah diri saya melakukan sebarang aib dan malu dimuka keluarga.

Selesai pemakaman jenazah, saya ditepuk seorang hamba Allah (pun sudah meninggal dunia empat tahun lalu) sambil bersalam dengan saya.

"Nah, wang belanja sedikit untuk Azamin. Pakcik dah pasang niat bila nampak Azamin tiba subuh tadi. Pakcik tahu Azamin pun susah payah datang sini..." katanya menyebabkan saya menangis termanggu-manggu.

Sangka orang, saya sayu menghadapi pemergian bapa saudara tetapi, saya cukup pilu kerana di sebalik kepayahan dan kerisauan, Allah 'menjawab' keresahan dan kerisauan saya dengan bantuan yang tidak diduga.

...

Azamin

--------------------------------------------------------------------------------------

Satu kisah yang cukup baik untuk kita renungkan. Di mana musibah yang datang sering kali kita lihat sebagai bala semata-mata. Malah ada di antara kita yang sanggup mencerca dan menghina Allah kerana musibah yang melanda. Namun tanpa kita ketahui, ia sebenarnya adalah satu institusi untuk membentuk kita menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya.

Kisah diatas diceritakan oleh seorang hamba yang berjuang di jalanNya. Lihat bagaimana seorang hamba Allah yang berperang terpaksa membuat pilihan yang cukup memeritkan dek kerana ujian yang mendatang. Bukan sekali, bukan dua kali malah sudah berbilang kali ujian mendatang. Aku cuba untuk membayangkan, bagaimanakah jika aku berada di tempat beliau. Apakah keputusan yang akan aku pilih?

Inilah yang dikatakan musibah sebagai satu institusi yang mengajar kita sedar siapakah diri kita. Membuatkan kita mengakui milik siapakah diri, nyawa, harta yang ada di sekeliling kita ini. Ia menjadi medan untuk mengukur tahap kekuatan iman yang ada pada diri kita. Di saat kita ditimpa musibah, dengan siapakah kita bergantung? Di manakah tempat kita mengadu? Inilah yang membuatkan kita sedar dan mengerti, hidup kita di dunia ini adalah milik Allah. Dia lah tempat kita mengadu dan bergantung. Semuanya datang dariNya dan akan kembali kepadaNya.

Setiap apa yang hadir hari ini hanyalah pinjaman dariNya. Tubuh badan yang sihat, akal fikiran yang cerdas, keluarga yang bahagia, harta yang melimpah ruah dan seumpamanya hanyalah sedikit dari nikmat yang Allah kurniakan. Namun setiap daripada itu perlu dijaga sebaik-baiknya, kerana akan dihisab kembali di akhirat kelak. Bagaimana kita menggunakannya, sumbernya dan lain-lain akan disoal, diberi penghakiman. Semua itu akan menentukan sama ada kita di syurga atau pun ke neraka. Nauzubillah...

Oleh itu, janganlah sesekali kita mengeluh dan berputus asa dalam menghadapi ujian dan dugaan. Lebih-lebih lagi apabila kita bergerak dan bekerja untuk agama Allah. Kerja-kerja jihad, dakwah, tarbiah dan jemaah amat memenatkan dan menjerihkan dengan tentangan dan asakan dari musuh-musuh yang cemburu dengan keindahan Islam. Tetapi jangan kita lupa, Allah sentiasa ada di sisi hamba-hambaNya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...