Sunday, 1 August 2010

Hari Pahlawan Di Zaman 2010.

Salam.. Selamat menyambut hari pahlawan kepada semua prajurit-prajurit negara yang telah banyak berkorban untuk memerdekakan negara dari penjajah asing. Sambutan yang diadakan pada 31 Julai setiap tahun menjadi hari untuk memperingati betapa susah dan seksanya perjuangan dalam menuntut kemerdekaan khususnya anggota-anggota tentera negara yang menetang komunis di dalam hutan.

Berapa ramai askar-askar yang berjuang di hutan sana yang masuk ke hutan sihat sejahtera namun apabila keluar sebagai badan tanpa nyawa. Malah ramai lagi yang keluar sebagai orang kurang upaya (OKU) apabila jerangkap samar dan peluru musuh merobek dan menghancurkan anggota badan. Cukup hiba apabila kita mengenang kembali, mereka-mereka yang telah pergi mengadap ilahi hanya kerana berjuang untuk kemerdekaan.

Namun hari ini kemerdekaan dapat dikecapi sebaik sahaja keluar dari perut ibu. Semuanya mendapat hak dan diakui kewarganegaraannya tanpa perlu bersusah payah. Akhirnya dari satu generasi ke satu generasi, kesusahan dan kepayahan untuk mendapatkan kemerdekaan semakin hilang dan pupus dalam fikiran masyarakat. Sambutan hari pahlawan seolah-olah hanya sebuah hari untuk menganugerahkan pingat kepada askar-askar yang berjasa dan membuat kutipan derma untuk tabung pesara tentera.

Generasi muda pula hanya memandang sepi, membiarkannya terus berlalu seolah-olah tiada kaitan dengannya. Padahal hakikatnya generasi kini masih berhutang dengan setiap askar-askar yang telah berkorban harta, masa malah nyawa mereka sendiri. Teringat Mie kepada seorang pak cik yang menjual nasi di sebuah pasar. Beliau merupakan seorang pesara polis hutan yang telah bertugas di Perak pada waktu komunis menguasai sebahagian hutan negara. Tiga orang rakannya menemui ajal di tangan komunis di hadapan matanya sendiri. Namun beliau tidak bersedih dengan peristiwa itu namun amat sedih dengan generasi kini yang seolah-olah sudah melupai jasa-jasa para pejuang negara.

" Menteri kat atas tu hanya pandai bercakap. Padahal mereka sepatah haram pun tak tahu betapa susahnya kami berjuang untuk kemerdekaan. Generasi muda pula seperti lembu dicucuk hidung. Tidak seperti mereka-mereka yang hidup di zaman 70an dan 80an. Mahasiswanya digeruni dan suaranya keramat,"

Begitulah kata-kata yang masih Mie ingat sampai hari ini. Yup, yang di atas itu memang hanya pandai bercakap dan yang di bawah ini semuanya diikat dengan pelbagai akta dan pekeliling. Mungkin kita sedar atau tidak, begitulah hakikatnya. Mereka yang berjuang di kala seksa itu, kini seperti merempat di negara sendiri. Lihat betapa ramai pesara-pesara tentera yang terpaksa mengemis, membanting tulang untuk sesuap nasi malah ada yang menghuni flat-flat busuk di kota raya. Yang kaya, yang makan bersuap, yang tinggal di istana mewah hanya pemimpin-pemimpin dan kroni-kroni masing-masing.

Soalnya, adakah itu bayaran yang sepatutnya mereka dapat setelah berkorban untuk kemerdekaan dan kedaulatan negara? Di manakah pembelaan, pengiktirafan yang sepatutnya diberikan kepada mereka? Di manakah maruah anda apabila anda makan secukupnya dan tinggal di vila mewah sedangkan anda sedang berhutang nyawa, darah dan air mata untuk setiap inci kebebasan yang dikecapi hari ini? Fikirkanlah. Justeru itu semua pihak baik pihak pemerintah mahupun setiap individu yang mengaku sebagai warganegara bertuah ini haruslah memainkan peranan penting dalam memastikan nasib mereka terbela. .

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...