Wednesday, 25 August 2010

Mahasiswa Berpolitik?

Hari ini isu mahasiswa berpolitik semakin hangat diperkatakan dalam masyarakat. Isu ini mula meniti dari bibir ke bibir apabila pihak kerajaan membuat pengumuman untuk memberi kebenaran kepada guru berijazah DG41 hingga DG44. Walaupun baru hari ini isu ini diketengahkan, namun perjuangan kebebasan bersuara mahasiswa sejak dahulu lagi sudah dimulakan khususnya daripada pihak parti politik pembangkang.

Saban tahun akta AUKU didesak untuk dimansuhkan. Akta ini mula diperkenalkan oleh pihak kerajaan pada tahun 1971 di mana bertujuan untuk mengekang kebangkitan suara mahasiswa di kampus-kampus universiti pada waktu itu. Seluruh masyarakat pada waktu itu mengetahui dan memahami, bahawa suara mahasiswa ketika itu begitu hebat dalam mewarnai politik negara. Mahasiswa ketika itu menjadi suara kepada rakyat bawahan dengan lebih ke hadapan dalam mengetengahkan isu-isu berkaitan rakyat dan sebagainya.

Mengapa mahasiswa pada ketika itu begitu berani? Sedangkan hari ini mahasiswa tak ubah seperti pelajar-pelajar sekolah yang hanya menunggu untuk menggenggam segulung ijazah. Kerana pada ketika itu anak-anak muda yang berada di universiti begitu terbuka dalam membina pemikiran, bebas mengeluar dan membahaskan idea-idea yang bukan sahaja hanya merangkumi skop pembelajaran, malah mengjangkaui dokrin masyarakat ketika itu.

Maka lahirlah pemimpin-pemimpin mahasiswa yang cukup berwibawa seperti Anuar Ibrahim, Ibrahim Ali, Abu Bakar Chik dan seumpamanya yang hari ini masih lagi memaparkan taring kepimpinannya dalam mewarnai politik nasional. Namun hari ini, mahasiswa seolah-olah bagaikan kera di dalam sangkar, hanya mampu memikirkan diri sendiri, pembelajaran dan keseronokan dunia. Pemikiran dikongkong dan disempitkan sesempitnya sehinggakan hari ini, berapa ramai mahasiswa yang celik politik, celik isu-isu semasa dan mampu menjadi pemimpin kepada masyarakat.

Hak berpolitik merupakan satu penanda yang menunjukkan suatu masyarakat atau tamadun tersebut hebat atau sebaliknya. Jikalau dahulu ketika kita masih dijajah oleh penjajah British, hak berpolitik merupakan salah satu agenda yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan. Namun hari ini di Malaysia, golongan yang bakal mewarnai pemerintahan negara dinafikan hak berpolitik. Sungguh memalukan, individu yang mempunyai umur yang sama tetapi menjadi penjual ikan di pasar namun boleh berpolitik siang dan malam di mana-mana sahaja sedangkan insan yang bergelak mahasiswa yang cukup dipandang tinggi dalam heiraki sosial hanya mampu termenung memerhati.

Alasan takut tergadai pelajaran, dipengaruhi dan dipergunakan oleh parti politik amat danggal dan cukup menghina mahasiswa. Adakah insan yang terpilih dari beratus ribu pemohon ini bodoh dan buta sehingga boleh perlaku begitu rupa? Cukup bangangkah mereka untuk menggadai pelajaran dek politik dan menyerahkan tengkuk untuk diikat tali oleh parti politik? Alasan-alasan itu tidak lain tidak bukan kerana pihak kerajaan takut kepada suara mahasiswa.

Mahasiswa bukan golongan yang mudah terpengaruh dengan kata-kata dan dakyah mana-mana pihak. Jauh lagi untuk mendokong sesuatu secara membabi buta. Mereka akan mengkaji, memahami dan menilai setiap apa yang ditonjolkan baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Bukan kerana taksud, tetapi penilaian yang akan dilihat dalam membuat keputusan.

Dan di sinilah kita akan mendapat jawapan, mengapa kerajaan berkeras untuk tidak membenarkan mahasiswa berpolitik. Hakikatnya kerajaan sedaya upaya untuk menutup lohong-lohong dan lubang-lubang kerosakan hasil daripada tangan-tangan mereka sendiri. Isu rasuah, gejala sosial, pembaziran harta negara, ketirisan pengagihan kekayaan negara, intergriti instisusi kehakiman dan badan-badan penguakuasaan dan sebagainya sudah pasti akan menjadi senjata yang akan meruntuhkan mereka. Jika mahasiswa dibenarkan berpolitik, sudah tentu kerajaan akan mati akal untuk menghadapi mereka dalam menjawab setiap isu yang dibangkitkan dan sudah pasti hayat pemerintahan akan semakin singkat. Inilah yang paling ditakuti oleh pihak kerajaan.

Namun begitu, perjuangan kebebasan mahasiswa hendaklah diteruskan sehingga matlamat mahasiswa merdeka tercapai. Semua pihak handaklah bergabung tenaga untuk mendesak kerajaan membuka sangkar yang mengekang kebebasan mahasiswa dengan memansuhkan akta AUKU yang cukup merugikan negara. Mahasiswa juga hendaklah bersedia dalam segala aspek untuk mula melangkah ke alam mahasiswa yang sebenar. Hidup Mahasiswa!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...