Sunday, 29 August 2010

Liberalisasi: Antara Senjata Ampuh Kapitalis Barat!

Liberalisasi, satu istilah yang cukup sinonim dengan dunia barat. Istilah yang diperkenalkan untuk membawa maksud kebebasan, keterbukaan dan toleransi. Cukup manis jika kita hayati maksud yang dihidangkan. Alangkah indahnya dunia, jika ia benar-benar dihadam dengan semangat persaudaraan dan tanpa sebarang dikminasi, permusuhan, dendam dan korupsi.

Maka dunia mula lah mengangkat kalimah yang dianggap agung ini. Pemimpin-pemimpin dunia barat mula menyanyikan lagu-lagu indah, politikus tempatan mula memalu gendang, legasi-legasi koperat mula meniup seruling dan seluruh lapisan umat manusia mula menari-nari mengikut rentak irama lagu. Masing-masing bersuka ria dengan slogan baru yang dicanang. Terlalu gembira seolah-oleh dunia ini telah selamat daripada segala kejahatan, kebajetan dan akan terhapus segala jurang, pemisah yang merantai manusia selama ini.
 
Pemimpin-pemimpin negara di seluruh dunia mula menerapkan konsep ini dalam pemerintahan di negara masing-masing. Masing-masing cuba menjadi jaguh dalam memperjuangkan dan mengamal konsep yang kelihatan cukup hijau dengan faedah dan manfaat yang bakal diperolehi.
 
Tidak terkecuali negara kita, Malaysia. Sejak di zaman Tun Dr Mahathir lagi, konsep ini mula diserap dalam sistem pemerintahan kita. Maka wujudlah konsep-konsep celupan dari konsep liberalisasi ini yang bermatlamat memodenkan dan memajukan negara. Hari ini, konsep ini semakin dikembangkan oleh anak didik beliau iaitu Perdana Menteri ke-6, Dato' Seri Najib Tun Razak. Memegang tampuk pemerintahan dikala parti dan barisannya dalam keadaan lemah selepas dilanda gelombang tsunami politik yang digegarkan oleh pakatan rakyat, beliau cuba membawa nafas baru dengan berbagai-bagai konsep yang dilihat bertunjangkan konsep liberalisasi ini.
  
Terkini dan sedang berlansung dan menjadi amalan, konsep ni sedang diterap dalam setiap apsek dan kompenen pemerintahan. Banyak perkara seperti penambahan peratus pemilikan syarikat tempatan untuk bukan bumiputera dan syarikat asing, biasiswa nasional, pembukaan saham ASB untuk bukan bumiputera, peruntukan kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan banyak lagi projek-projek yang telah, sedang dan akan dijalankan. Dalam masa singkat, dapat dilihat ekonomi negara makin mampat dan berkembang dengan pesat. Pelaburan luar dari seluruh pelusuk dunia khususnya dari Eropah, Jepun, Asia Tengah, Amerika dan China datang mencurah-curah dalam semua bidang. Semua itu dari syarikat-syarikat besar, negara-negara maju dan kuasa dunia. Dan dapat dilihat, rakyat mula bertepuk tangan dengan konsep ini.
 
Namun, pada mereka yang berfikiran jauh, berfikiran waras, berfikiran rasional pasti dapat melihat betapa dasar ini akan mendatangkan bala yang besar kepada negara. Memang diakui, dasar dan konsep ni akan membawa kemajuan dengan pantas dan pesat. Pelaburan, pinjaman, perniagaan dan sebagainya akan meningkat naik. Namun jangan hanya lihat itu. Cuba kita celik luas-luas, buka minda kita. Mahu tidak mahu, kita akan dapat lihat, dasar ini seolah-olah kita menjual dan menggadai khazanah, warisan, dan kekayaan negara kita sendiri.
 
Contoh yang paling mudah, yang terbaru isu pemilikan saham BERNAS. Jika sebelum ini, sebahagian besar saham badan tersebut dimiliki oleh syarikat bumiputera. tetapi yang terbaru, syarikat dari Hong Kong sudah berjaya memiliki 31% saham secara pembelian berperingkat sejak tahun 2003. Adakah suatu yang bijak jika aset penting dan strategik negara berada di tangan orang luar? Kita sedia maklum beras merupakan makanan ruji utama di negara kita. Cuba kita bayangkan, apabila semua aset penting dan strategik negara seperti air, makanan, teknologi, telekomunikasi dan sebagainya berada di tangan pihak luar, mereka bebas menentukan semua perkara termasuklah harga, kualiti dan simpanan stok negara. Lebih malang jika ia jatuh ke tangan musuh-musuh agama, bangsa dan negara. Sudah tentu bukan satu keputusan yang bijak!
 
Itu belum dikira dari skop-skop lain seperti hak-hak bumiputera, hak-hak warganegara dan kaum. Jika dihitung setiap keputusan dan dasar yang dilaksanakan, makin banyak perkara-perkara yang menyebabkan hak-hak keistimewaan bumiputera terhakis. Keputusan pemberian biasiswa nasional yang berdasarkan merit dilihat sebagai salah satu keputusan yang akan menghakis hak-hak keistimewaan bumiputera. Dasar sama rata digunakan memang baik namun jika kita kembali kepada perlembagaan, hak-hak keistimewaan bumiputera harus dihormati.
 
Suatu kajian perlulah dijalankan dengan jujur dan berintergriti dalam melihat kesan dasar yang telah digunapakai ini. Ini disebabkan liberalisasi merupakan salah satu senjata yang digunakan oleh barat untuk menjajah ekonomi negara-negara Islam dan negara dunia ketiga. Mereka masuk melalui perjanjian-perjanjian ekonomi dan perkongsian strategik. Contohnya Amerika Syarikat menggunakan perjanjian FTA, pembinaan pengkalan tentera, perjanjian strategik dan serantau untuk dijadikan platform serangan mereka. Akhirnya negara-negara Islam dan negara membangun lain terpaksa patuh dan terikat dengan mereka. Cukup mendukacitakan dan inilah antara punca negara Islam kini lemah dan hanya mampu berdiam diri jika saudara-saudara seagama ditindas dan dizalimi oleh negara-negara musuh.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...