Tuesday, 3 August 2010

Camne nak berjuang er?















Salam. Berjuang-Perjuangan-Pejuang. Sesuatu yang cukup mudah diungkap dengan kata-kata namun cukup payah untuk memikul dan istiqamah dalam kehidupan seharian. Bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila Islam dijadikan sebagai asas dan matlamat perjuangan.

Sejarah yang dipahat sejak Nabi Adam AS , manusia pertama yang menjejakkan kaki di dunia ini, perjuangan untuk melawan godaan dan tipu helah syaitan telah muncul sebagai perang purba agung yang masih terus berterusan hingga kini. Disusuli pula dengan siri-siri perjuangan para nabi dan rasul dalam memimpin manusia ke jalan yang benar dan menghindari kemurkaan Yang Maha Esa.

Perjuangan Islam, satu perjuangan yang telah bermula sejak Nabi Muhamad diangkat menjadi rasul dan penyatu segala syariat-syariat terdahulu dan masih lagi berterusan hingga kini. Perjuangan yang terus disambung oleh para sahabat-sahabat, tabiin, para ulama hingga ke seluruh peringkat. Berbekalkan janji Allah bahawa Islam akan menang dan ganjaran syurga di akhirat kelak, baik golongan tua, muda, miskin, kaya, kuat mahu pun lemah, masing-masing memainkan peranan dalam perjuangan yang panjang ini.

Aku Sebagai Mahasiswa
 

Mahasiswa, satu gelaran yang cukup dipandang tinggi oleh masyarakat. Bukan kerana harta atau pangkatnya tetapi dengan ilmu yang ada padanya. Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah. Kata-kata hikmah yang sering kita dengar namun untuk mempraktikkannya, bukan mudah. Tambahan pula hidup di dalam dunia yang cukup mencabar dengan akta-akta yang mencengkam, kekangan masa, ruang dan kesempatan yang cukup terbatas?

Akhirnya Mie sedar, yang paling utama adalah hubungan kita dengan Allah. Dekatkan lah diri kita kepada Allah swt dengan mendalami ilmu-ilmu dan melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang bermanfaat untuk menjadi bekal kepada kita dalam perjuangan ini. Ilmu merupakan aset yang penting dan perlu diutamakan dalam perjuangan. Bukan sahaja ilmu-ilmu berkaitan agama, kita juga mestilah mendalami ilmu-ilmu khifayah lain seperti kemahiran komputer, penggunaan internet, mencari dan menganalisis maklumat dan sebagainya.

Bagaimana? Hadirkanlah diri dengan program-program rohani seperti usrah-usrah, muqayyam, katibah dan kuliah-kuliah agama serta program-program pembangunan kemahiran yang amat luas skopnya. Malas nak angkat kaki? Surflah di sesawang maya. Jadikan Tarbiah, Ukhuwah dan Amal sebagai tunjang dalam perjuangan.

Usrah mampu menjana keperibadian muslim sejati

 
Kedua, kita juga hendaklah mencari teman-teman yang dapat memberi manfaat dan mempunyai cita-cita yang sama iaitu untuk berjuang di jalan Allah. Teman-teman yang akan bersama-sama dalam medan perjuangan ini membuatkan kita sedar, kita tidak keseorangan. Kesatuan dalam berjamaah yang sama fikrahnya dengan kita akan membuatkan perjuangan kita lebih tersusun dan sistematik. Mana mungkin lidi sebatang dapat menandingi hasil dan kesan yang akan diperolehi lidi yang banyak dan diikat kemas.

Ketiga, hendaklah dijaga adab dan ikhtilat setiap setiap percakapan, perbuatan dan tingkah laku kita sebagai mahasiswa islam agar sebarang permusushan dan perselisihan dapat dielakkan. Hindarkan diri dari membuat sebarang provokasi, penghinaan, fitnah dan seumpamanya. Ini bukan sahaja mendatangkan masalah, bahkan perjuangan kita akan sukar untuk diterima mad'u. Elakkan juga dari menjadi fitnah kepada perjuangan. Setiap perkara yang akan diucap, dibuat hendaklah difikirkan semasak-masaknya untuk mengelakkan diri menjadi punca kepada fitnah yang timbul.

Keempat, mahasiswa hendaklah bijak dan efektif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan. Setiap tugasan hendaklah dijalankan secara profesional bukan sahaja tugas-tugas yang diamanahkan dalam perjuangan malah turut merangkumi seluruh aspek kehidupan. Cara gerak kerja kita akan menjadi kayu ukur terhadap kesungguhan dan komitmen kita dalam urusan kehidupan. Selalu kita dengar ungkapan ini, "Kita merancang kegagalan jika kita gagal untuk merancang". Ungkapan yang mana memberikan satu amaran yang cukup keras kepada kita bahawa perancangan merupakan suatu yang amat penting dan tidak boleh dibuat secara sambil lewa.

PENUTUP

Justeru itu, perjuangan untuk menegakkan agama islam wajib dijalankan walau di mana saja kita berada. Baik di bandar, di desa mahu pun di dasar lautan sekali pun. Allah tidak akan bertanya di akhirat kelak, adakah kita berjaya menegakkan islam tetapi Allah akan bertanya adakah kita berusaha untuk tegakkan islam. Bagaimana pula jawapan kita? Andalah yang akan menentukannya. Sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...