Monday, 18 October 2010

Perjuangan Ideologi Di Alam Kampus!

Ideologi, yang berasal daripada perkataan idea mencetuskan definisi iaitu menurut kamus English Oxford (profesional edition) adalah sistem idea dan cita-cita membentuk dasar suatu teori ekonomi atau politik. Dengan kata lain adalah set keyakinan ciri-ciri dari kumpulan sosial atau individu. Sejak dahulu lagi, ideologi merupakan suatu perkara yang akan mencetuskan pelbagai perbezaan sama ada dari sekecil-kecil perkara seperti budaya makan hingga kepada sebesar-besar perkara iaitu kepercayaan dan dasar terhadap sesuatu perkara.

Hari ini idiologi bukan sahaja berlegar dalam golongan pemimpin politik atau cendekiawan sahaja malah sudah mengalir ke kampus-kampus universiti dan kolej. Tidak terkecuali institut-institut pengajian tinggi dan pendidikan di negara kita. Sejak dahulu lagi, universiti menjadi tempat kepada penyemaian pelbagai ideologi kerana di situlah terkumpulnya golongan pelajar-pelajar yang cerdik pandai yang akan mewarisi negara kelak. Sejarah telah memperlihatkan kepada kita, di mana universiti menjadi nadi kepada banyak kebangkitan ideologi-ideologi seperti mana pada tahun 70an dan 80an yang mana ideologi revolusi islam mula memuncak sehinggakan mahasiswa mula celik akan kepentingan agama dalam kehidupan masyarakat yang kesannya masih terasa hingga kini.

Semakin hari semakin banyak ideologi yang mula menyusup ke kampus sama ada dari dalam mahupun luar negara. Malah setiap ideologi berjaya mendapat pendokong-pendokong yang sanggup berjuang dan mempertahankan ideologi yang dibawa. Sehinggakan pada kemuncaknya kerajaan pemerintah cuba menyekat pengaruh perkembangan ideologi dengan memperkenalkan Akta AUKU dan lain-lain akta untuk tujuan yang sama. 

Persoalannya sejauh manakah kesannya perkembangan kepelbagaian ideologi terhadap negara? Pada peringkat awal ramai yang melihat perkembangan ideologi merupakan suatu yang sihat malah secara tidak langsung akan melahirkan cerdik pandai yang cukup berwibawa dan berwawasan. Ini kerana ideologi dilihat mampu membina tahap pemikiran yang tinggi dan menjadi pemangkin kepada perkembangan tahap intelektual dalam kalangan mahasiswa. 

Namun lama kelamaan, perkembangan ideologi yang tidak terkawal mula menampakkan kesan negatif dan menimbulkan permasalahan dalam komuniti kampus. Hakikat bahawa wujudnya penyokong yang taksud dan fanatik, pergeseran antara ideologi dan perpecahan dalam mahasiswa semakin menjadi-jadi yang akhirnya mula menjadi barah yang merosakkan nama mahasiswa itu sendiri. Ianya datang dari diri mahasiswa itu sendiri yang secara keseluruhannya merupakan anak-anak muda yang masih mentah dan selalu mudah terpengaruh dan melakukan pilihan yang salah atau terlalu mengikut emosi.

Akhirnya perjuangan ideologi dipandang serong dan mahasiswa baru mula kembali kepada keadaan neutral dengan tidak menyokong mana-mana ideologi yang akhirnya lahirlah mahasiswa kini yang hanya mampu mengangguk dan hanyut dalam dunia masing-masing seperti lembu kekenyangan. Dan sekali lagi, perjuangan ideologi mula dimainkan kembali, sedang berakar umbi dalam masyarakat kampus. Ideologi lama dan baru mula didendang kembali dengan penyokong dan pendokong baru. Sejarah mula berputar kembali bak sebuah roda.

Persoalan kedua adalah, adakah setiap ideologi itu baik atau adakah semuanya buruk? Cukup sukar bagi Mie untuk menjawabnya. Namun, setiap persoalan pasti ada penyelesainya dan sebagai pendokong kepada perjuangan yang berlandaskan islam, AL-QUR'AN dan SUNNAH lah yang akan menjadi petunjuknya. Allah telah mengariskan dalam Al-Kitabnya dan diperjelas dalam sunnah Rasulullah, bagaimana untuk menilai dan membuat pilihan dalam segala aspek termasuklah dalam bab untuk membuat pilihan ideologi manakah yang harus dipilih. Malah ulama-ulama juga rancak berbincang mengenai hal-hal berkaitan ideologi ini, sehingga melahirkan pelbagai pendapat dan perbezaan. 

Namun, apa yang paling asas dalam memilih ideologi yang akan dipegang adalah ianya tidak lari dari prinsip dan syariah islam. Ideologi itu juga mestilah lahir dari intipati islam dan bukan bertujuan untuk memperjuangkan perkara-perkara mungkar, Justeru itu, pemilihan ideologi yang bukan berasaskan islam adalah salah malah mampu memcacatkan keimanan dan keislaman seseorang. Mungkin ia kelihatan mudah namun jika kita tidak berhati-hati, sejarah lalu pasti akan kembali.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...