Tuesday, 19 October 2010

Kuburkan Fasis:Tegakkan Keadilan Untuk Semua

Dari Detikdaily (20/10/2010) oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pendahuluan
Allah SWT berfirman di dalam al-Quran (Surah al-Qashash, ayat 4-5) bermaksud : Sesungguhnya Fir'aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir'aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.  Dan kami hendak memberi kurniaan kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi).

Fasis ditakrfikan sebagai penganut faham nasional yang didasarkan kepada pemerintahan yang bertindak atas keekuasaan daripada hak-hak demokratik.<1> Manakala fasisme pula merujuk kepada sistem (pandangan) politik puak pelampau yang berhaluan kanan.<2>  Di dalam al-Quran, ada menceritakan bagaimana pemerintahan puak pelampau dengan kebanggaan keturunan yang telah mengorbankan ribuan nyawa penentangnya.  Kisah Firaun yang menyembelih anak-anak lelaki Bani Israil kerana tidak sedarah dengan bangsanya iaitu Qibti merupakan kisah yang diulang-ulang di dalam al-Quran.
 
Demikian juga kisah Namrud iaitu raja di zaman Nabi Ibrahim AS yang terkenal dengan dasar pemerintahan yang zalim dan kezaliman telah dilakukan oleh ashabul ukhdud ke atas orang-orang yang mentaati ajaran Tuhan (mereka yang beriman).  Ini menunjukkan bahawa fasis atau fasisme tidak hanya bermula pada zaman sejarah moden tetapi telah bermula semenjak tamadun awal manusia lagi.  Justeru Islam datang kemudiannya adalah untuk mengkuburkan amalan dan fahaman fasis/fasisme dengan formula yang tersendiri.

Islam menolak fasisme

Islam adalah agama dari langit, diturunkan Allah melalui wahyu.  Penyampai wahyunya adalah malaikat Jibrail dan disampaikan kepada Nabiu Muhammad SAW.  Dua kandungan besar dalam ajaran Islam, iaitu pertama dunia ini diciptakan oleh Allah SWT dan bukan milik manusia dan manusia hanyalah bertaraf seorang penumpang di bumi. 
 
Sehebat manapun seorang penumpang atau tetamu, dia tidak boleh melakukan apa sahaja yang disukainya.  Ibarat seorang pemimpin yang bertamu di rumah orang lain, tentu sekali hanya boleh naik jika dijemput naik.  Duduk pula di ruang tamu dan tidak boleh meredah masuk kecuali dengan keizinan.  Begitulah penumpang di bumi Allah SWT.  Mana mungkin seorang penumpang yang datang bertamu di bumi ini boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki olehnya?  Nabi Muhammad SAW telah bersabda (dalam Sahih Bukhari) yang bermaksud "Jadilah kamu di dunia seolah-olah kamu bertamu atau bersinggah (di dalam perjalanan)."
 
Kedua, Islam mengajar penganutnya bahawa selepas hidup ini akan ada kematian dan dibangkitkan pula untuk hidup di akhirat.  Hidup ini tidak akan tamat sahaja setakat di dunia, tetapi ia akan bersambung dengan hidup di alam akhirat.  Hidup di akhirat ialah hidup yang berkekalan.  Oleh sebab itu, akan berlaku proses pengadilan selepas dibangkitkan nanti.  Ketika itu setiap orang akan melalui penghakiman atas apa yang dia buat semasa hidup di dunia.  Atas nilai ajaran Islam yang sebeginilah seorang Islam sama ada bertaraf pemimpin atau rakyat biasa adalah tidak boleh melakukan amalan fasis dengan menzalimi orang lain.
 
Dengan perkataan lain, Islam melarang seseorang pemimpin itu melakukan kezaliman terhadap rakyatnya.  Jauh sama sekali bagi pemimpin itu untuk menjadi seorang pemimpin fasisme.  Maka tidak perlu khuatir apabila seorang pemimpin Islam memerintah, dia tidak mungkin menzalimi rakyatnya.  Namun, dukacitanya ada pemimpin yang berlagak Islam, tetapi gaya memerintahnya adalah fasis, maka pemimpin itu mungkin pelampau yang hanya berwajah Islam.  Pemimpin sedemikian merupakan menifestasi kekosongan hati dan jiwa yang tidak takut kepada Allah SWT, Tuhan yang menciptakan sekalian manusia!
 
Islam mampu mencegah fasis
 

Kekuatan ajaran Islam adalah berupaya memupuk keyakinan terhadap wujudnya hari pembalasan di akhirat kelak.  Islam boleh menjadikan seorang itu patuh kepada ajaran agama dan gerun untuk melakukan dosa walaupun di dalam situasi tidak ada seorang pun melihatnya.  Walaupun di situ tidak ada anggota penguatkuasa atau kamera litar tertutup (CCTV).
 
Ajaran Islam memberitahu setiap penganutnya, bahawa setiap masa akan ada pencatat ghaib (tidak nampak) yakni Malaikat sentiasa berada di bahu kanan dan kiri yang tugasnya sentiasa menulis apa sahaja yang kita lakukan.  Catatan itu akan dibentangkan di hari penghakiman, maka berat timbangan atas perbuatan buruk balasannya siksaan neraka, sebaliknya berat timbangan atas perbuatan baik balasannya  syurga.  Ajaran ini sepatutnya menghalang setiap pemimpin bertindak fasis ke atas rakyat, malah akan gerun untuk melakukan menindas, merampas dan tidak beramanah dengan amanah rakyat dan negara.Justeru, Allah SWT memberi ingatan kepada manusia betapa Dia sedia melaksanakan Pemantau ke atas setiap tindak-tanduk manusia.  Dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan (Surah al-Hadid, ayat 4) yang bermaksud: Dan dia bersama kamu di mama saja kamu berada, dan Allah Maha melihat apa yang kamu kerjakan. 

<1> Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007, Kamus Dewan Edisi Keempat, Kuala Lumpur, hal. 408.
<2> Ibid.

Artikel penuh di http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=10228

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...