Salam... Hari ni Mie berkesempatan untuk hadir ke program makan malam anjuran persatuan Mie di kampus. Namun apa yang mengecewakan adalah kehadiran dari kalangan ahli-ahli lelaki yang agak kurang. Ditambah pula acara yang dirancang kurang menjadi dan hambar sahaja. Namun Alhamdulillah masih dapat berjalan dengan baik dan perut pastinya kenyang! hehehe
Semasa sesi post mortem tadi, adalah sorang sahabat Mie merungut dan mengusulkan untuk mewajibkan kehadiran ke program-program besar agar masalah kehadiran ini dapat diatasi.
Namun apa yang menjadi persoalan di sini adalah bukan kerana arahan untuk mewajibkan atau sebaliknya tetapi adalah dari hati masing-masing. Kerja-kerja berorganisasi ini bukan mudah dan selalunya tidak mendatangkan apa-apa keuntungan meterialistik pun. Malah kadang-kala terpaksa untuk mengeluarkan duit dari poket sendiri. Jadi ini sudah tentu jika arahan mewajibkan sekalipun dikeluarkan, belum tentu mereka akan datang dan jika datang sekali pun hanya kerana terpaksa.
Perlunya Tarbiah!
Hakikat bahawa proses pentarbiahan hendaklah diberi penekanan bukan sahaja secara tidak langsung namun mestilah secara sistematik dan terancang. Perlunya perancangan yang bukan sahaja sekadar melengkapkan keperluan malah mestilah lengkap dan realistik untuk dijalankan. Namun timbul persoalan, kenapa perlu tarbiah, bukan pembangunan profesional? Bukan Pemantapan jati diri?
Tarbiah adalah secara kasarnya bermaksud mendidik. Mendidik ini bukan sahaja sekadar mengajar malah lebih daripada itu. Bermula dengan memberi input hinggalah kepada bagaimana input itu digunakan. Setiap input yang diberi mengandungi konsep dan intipati yang perlu diberi perhatian dan difahami dengan sebaiknya. Setelah itu diberi pula panduan-panduan untuk menggunakan input dalam kehidupan kelak agar tidak disalahguna dan bermanfaat.
Itulah yang dinamakan tarbiah dan bagaimana ia berbeza dengan item-item pembinaan diri yang lain. Tarbiah yang bukan sekadar pada lahiriah namun jauh menyelusup ke sanubari manusia. Bila mana tarbiah menyelusup, akan disebarkan segala khasiat ilmu kepada seluruh elemen manusia iaitu akal, emosi, jiwa dan nafsu yang akan membentuk individu yang bukan sahaja profesional malah mempunyai jati diri yang cukup kuat. Pembentukan ini juga bukan bersifat sementara malah akan terus bertambah baik dari semasa ke semasa.
Inilah sebabnya mengapa perlunya tarbiah dalam organisasi, Lebih-lebih lagi dalam organisasi yang cuba membawa agama Allah dalam dunia yang penuh pancaroba kini. Jika tidak, segala kerja ibarat menyuruh kambing mandi. Kita boleh membawa kambing ke sungai namun jika ia masih tidak memahami mengapa perlunya mandi, masakan mungkin ia akan terus mandi.
Justeru itu, gerak kerja tarbiah amat diperlukan dalam usaha untuk meningkatkan kekuatan organisasi baik dari dalam mahupun luar. Walau bagaimanapun, setiap apa yang kita rancang, hendaklah sentiasa berserah kepadaNya kerana kita hanya merancang, Allah yang menentukan.. Allahu Akbar!
No comments:
Post a Comment