Saturday, 10 July 2010

Kebebasan Media: Ada Apa Dengan Media?


Salam. Dua tiga hari ni Mie dapat tengok isu media menjadi panas dan tumpuan negara bermula dengan isu penggantungan permit akhbar rasmi Parti keadilan Rakyat, 'Suara Keadilan' selepas menyiarkan satu artikel bertajuk 'FELDA bankrap'. Pihak kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mula bertindak kerana tidak senang dengan artikel tersebut, menjadikan titik mula serangan ke atas media di Malaysia hari ini.

Serangan seterusnya ditujukan kepada akhbar rasmi Parti Islam SeMalaysia (PAS) apabila permitnya tidak disambung oleh pihak KDN disebabkan oleh kelewatan menghantar lapan salinan akhbar terbabit kepada KDN. Seterusnya berita Ketua Pemuda PKR, Cikgu Bard ditahan polis kerana menulis artikel 'Di sebalik pembunuhan Altantuya' (rujuk http://www.malaysiakini.com/news/136931). Hari ini pula menteri KDN, Hishammuddin mengumumkan penubuhan jawatankuasa pemantau berita palsu yang mungkin disebarkan di alam maya oleh blogger.

Semua ini menjadikan media tumpuan utama negara dikala ini, seolah-olah sudah tiada isu lain yang masih belum diselesaikan. Semuanya memperlihatkan kepada kita, dimanakah tahap kebebasan suara di negara ini. Isu kebebasan suara telah lama dibangkitkan sejak zaman sebelum merdeka lagi. Pihak penjajah pada waktu tersebut telah mula menjalankan usaha-usaha untuk menekan kebebasan media dengan menghadkan penerbitan karya-karya yang dilihat akan meniup semangat patriotik dalam masyarakat. Malah penulisnya juga ada yang ditangkap dan ditahan di penjara-penjara British.

Hari ini pula sejarah kembali berulang, dengan kebebasan media masih ditekan dan dikekang untuk meneruskan kelangsungan pemerintah. Cuma watak dan bahannya sahaja yang berbeza namun menurut jalan cerita yang sama. Semua ini mencetuskan satu persoalan di benak Mie, ada apa dengan media? Sehingga pihak pemerintah begitu takut dan gerun dengan kebebasan media?

Ada Apa Dengan Media?

Media merupakan satu pendekatan untuk berkongsi dan menyampaikan maklumat. Zaman dunia tanpa sempadan hari ini adalah simbol kepada peranan media dan bagaimana pengaruhnya boleh mengubah segalanya. Mungkin kita tidak sedar namun hakikatnya media mempunyai pengaruh yang amat kuat dalam sesebuah masyarakat. Setiap apa yang dibawa oleh media mudah dilihat seolah-olah betul dan boleh dipercayai.

Media sejak dahulu lagi menjadi tempat pihak-pihak tertentu menyebarkan propaganda masing-masing. Malah media juga dilihat sebagai medan untuk mencari sokongan dan juga untuk menyerang lawan. Hakikat yang mungkin kita lupa adalah media adalah senjata dan boleh juga menjadi benteng pertahanan yang ampuh khususnya di dunia politik. Di negara kita contohnya, pihak pemerintah mengawal media-media untuk kepentingan mereka. Berita-berita di kaca televisyen, lembaran akhbar dan di radio khususnya hanya memaparkan berita-berita yang baik berkenaan pihak pemerintah.

Lain pula jika membabitkan pihak pembangkang. Berapa kerat berita mereka dipaparkan? Yang ada pun hanya disiarkan dari sudut negatifnya sahaja. Tambah menjelekkan apabila tiba musim pilihanraya. Parti pemerintah dilambung dengan pelbagai pujian dan liputan meluas. Sehinggakan sekecil-kecil perkara pun berkenaan mereka akan dipaparkan. Parti lawan pula hanya akan mendapat liputan jika terdapat isu-isu yang dilihat menguntungkan parti pemerintah. Itu pun tak sampai sepuluh saat. Adil betul media di Malaysia padahal sama-sama membayar cukai dan memiliki warganegara serta hak yang sama.

Hasil-hasil tulisan pula tidak terkecuali. Lihat sahaja dipasaran, tulisan manakah yang lebih banyak diluluskan? Politik? Agama? Atau hiburan? Anda nilailah sendiri. Ini semua adalah kerja-kerja untuk menjadikan rakyat buta maklumat dan kering ilmu pengetahuan. Untuk apa? Untuk memudahkan pihak pemerintah mengawal minda dan tahap pemikiran rakyat. Hasilnya kita dapat melihat walaupun kemudahan di negara kita boleh dianggap kelas pertama namun tahap pemikiran masih ditakuk lama. Penuh dengan prajudis, prasangka dan sempit. Rakyat hanya dihadkan kepada pengetahuan kosmetik tanpa disentuh isu utama.

Justeru itu, amatlah penting kepada semua pihak untuk terus berjuang demi menghentikan kekangan dan halangan yang menghalang kepada kebebasan media di negara kita. Undang-undang yang dibentuk tidak salah namun mestilah selari dengan tuntutan agama dan hak asasi manusia dalam kebebasan media.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...