Monday 14 June 2010

Cerita Dari Johor-Melaka: Non-Bumiputera Vs Melayu


Salam. Hari ni Mie nak sambung cerita journal mi ke Johor dan Melaka. Kita sedia maklum, populasi non- bumiputera atau bukan bumiputera di kawasan pantai barat lebih ramai berbanding di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu. Keadaan ini sedikit sebanyak telah melahirkan suatu suasana yang penuh warna-warni dengan pelbagai corak dari pelbagai etnik khususnya melayu, cina dan india. Masing-masing kaya dengan khazanah budaya, kesenian, makanan, bahasa dan pegangan yang berbeza-beza.

Namun semenjak sebelum merdeka lagi, perbezaan ini dilihat sebagai satu ancaman terhadap keharmonian dan kestabilan negara. Sosio-ekonomi, peluang pendidikan, kerakyatan, hak-hak istimewa, kedudukan dalam perlembagaan dan seumpamanya menjadi tajuk perbahasan dan perbincangan yang kadang-kala mencetuskan ketegangan antara etnik. Malahan sehingga kini, isu-isu ini masih hangat diperkatakan seolah-olah tiada lagi jalan penyelesaiannya.

Sepanjang perjalanan, aku dapat melihat, kadang-kala berlaku pertembungan antara etnik namun selalu juga dilihat wujud toleransi antara etnik. Satu ketika Mie dan keluarga berhenti di sebuah bandar untuk solat. Yang menariknya, surau itu hanya bersebelahan dan dikelilingi oleh penduduk-penduduk non-muslim. Namun surau tersebut dilihat tidak mengganggu penganut-penganut agama lain di sekelilingnya. Mereka masih bebas menjalankan kehidupan seharian tanpa sebarang gangguan. Surau itu pula bersih dari di noda kesuciannya walaupun anjing-anjing berkeliaran. Seolah-olah binatang bertaraf najis berat itu memahami dan menghormati kemuliaan rumah ibadah umat islam itu.

Begitu juga di kedai makan. Masyarakat non-bumiputera tanpa segan silu menjamah makanan di kedai orang melayu. Malah satu fenomena di mana kedai makan orang melayu lebih ramai pelangan non bumiputera berbanding orang melayu sendiri. Malah kedai orang cina sendiri pelangannya tidak seramai di kedai orang melayu. Nasi lemak, mee goreng nasi goreng dan kuih-muih orang melayu disantap tanpa sedikitpun wasangka.

Namun mengapa kita lihat hari ini orang melayu merasakan seolah-olah mereka dalam bahaya? Merasakan seolah-olah negara akan ditawan oleh non bumiputera dan mereka akan merempat di tanah air sendiri? Pada pandangan Mie ini semua berlaku kerana tiada tali pengikat yang kukuh yang mengikat semua etnik di negara kita. Masing-masing lebih mementingkan kaum masing-masing, menebal sikap perkaumannya. Perasaan dengki dan cemburu akan pencapaian dan kelebihan kaum lain seolah-olah menjadi barah dan terus berakar umbi dalam pemikiran setiap generasi.

Tidak dinafikan hari ini orang melayu masih ketinggalan di dalam semua aspek kehidupan. Bukan sahaja dalam aspek ekonomi, malah aspek-aspek lain seperti kesukanan, politik, pekerjaan, golongan profesional dan pendidikan masih jauh dari tahap yang memuaskan. Orang melayu juga mencatatkan peratusan yang tinggi di bawah taraf kemiskinan khususnya di kawasan luar bandar. Di bandar pula orang melayulah yang menghuni kawasan-kawasan setinggan, flat-flat murah yang bukan merimaskan malah teruk dalam pembangunan prasarana dan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik. Penglibatan orang melayu dalam masalah jenayah dan gejala sosial juga turut membimbangkan.

Mengapa ini terjadi?

Tidak lain tidak bukan kerana sikap orang melayu itu sendiri. Sikap sambil lewa dan selalu mengambil mudah dalam melakukan sesuatu akhirnya memakan diri sendiri. Oleh kerana mempunyai hak-hak istimewa, pelbagai kelebihan dan subsidi, orang melayu dilihat mula naik lemak dan hanyut dalam dunianya sendiri. Pemimpin-pemimpin melayu pula hanya bijak dan genius dalam memenuhkan poket sendiri dan keluarga. Banyak peruntukan dan perancangan seperti DEB, RMK dan peruntukan khusus untuk bumiputera tidak sampai ke sasaran kerana masalah ketirisan dan korupsi yang serius dalam proses pelaksanaan dan pengagihan. Yang kaya bertambah kaya manakala yang miskin terus mengais sisa-sisa tinggalan sang kaya.

Apabila dilihat etnik-etnik lain mula membina empayar dan kejayaan, orang melayu mula melenting dan mengamuk. Bermulalah timbul isu orang melayu mengemis di negara sendiri, ketinggalan dalam sektor ekonomi dan taraf hidup yang rendah. Maka isu-isu ini diambil kesempatan oleh pemimpin-pemimpin orang melayu untuk menjadi hero dalam memperjuangkan nasib orang melayu. Padahal mereka lah punca orang melayu berada dalam keadaan hari ini. Orang melayu sendiri juga silap dalam memilih pemimpin mereka untuk diangkat dalam memperjuangkan nasib mereka.

Orang melayu sepatutnya bangun bukan untuk memukul etnik lain tetapi bangun dari mimpi indah hasil dari bantal dan kain yang dihulur oleh pemimpin kini. Bina kekuatan dan kukuhkan perpaduan bukan kerana semangat nasionalisme dan banggakan bangsa sendiri tetapi kerana agama yang kita sama-sama pegang dan beramal. Begitu juga dalam menjalikan hubungan dan ikatan dengan etnik-etnik lain. Jalinan itu mestilah lahir dari perasaan cintakan keamanan dan berlaku adil kepada semua. Lebih manis apabila dipayungi oleh lembaran ayaman antara agama yang mana semua agama didunia ini mahukan keamanan dan cintakan keadilan.

Justeru itu masyarakat yang berbilang kaum ini akan dapat hidup dengan harmoni tanpa wujud lagi perasaan prajudis antara satu sama lain. Hari ini masyarakat yang berbilang kaum ini hanya diikat dengan semangat nasionalisme dan cintakan negara. Ideologi inilah yang melahirkan semangat assobiyyah dan prajudis terhadap etnik lain. Jangan kita lupa, ideologi inilah yang digunakan oleh yahudi dalam menjatuhkan kerajaan khalifah islam terakhir, kerajaan Othmaniyyah Turki dan memecahkan perpaduan umat islam dalam lingkungan negara masing-masing. Sekian, wassalam

3 comments:

inn :) lady gagaH said...

administration la yang salah... sbb dia orang tengah... ape2 salah faham yang timbul,, mesti angkara orang di tengah... tink2~

fahmi89 said...

knp pentadbiran y slh?

Anonymous said...

kita harus bersatu sebab kitalah anak-anak malaysia.. melayu, cina, india dan kaum2 bumiputera lain harus hidup harmoni dan cinta kedamaian.. peace!!.. merdeka!!

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...