Melayu, suatu perkataan yang amat keramat di bumi Malaysia. Jika dahulu nama melayu amat digeruni oleh seantero nusantara dek kerana keris dan silatnya yang cukup berbisa, kini nama melayu semakin terhakis taring panjangnya. Mengapa?
Mie pulang bercuti di kampung dan sempat bersembang-sembang dengan rakan karib Mie sewaktu bersiar-siar di pantai. Bermula dengan topik-topik hangat di tanah negeri Mie hingga kepada isu nasional. Suatu pandangan menarik telah diutarakan. Menurutnya, " ISA adalah keris orang melayu pada hari ini!". Bukan main terkejut Mie mendengar pernyataannya.
Hujahnya, ISA digunakan oleh pemimpin-pemimpin melayu negara untuk mengawal dan menjaga kestabilan politik negara dari ancaman kaum-kaum lain di Malaysia. Ini disebabkan jika dilihat kepada kiraan parti politik di negara kita, parti utama orang melayu hanya sebanyak dua buah iaitu PAS dan UMNO. Manakala parti bukan melayu lebih banyak iaitu Cina mempunyai 3 buah parti (DAP,MCA,Gerakan) dan India sebuah iaitu (MIC). Parti multiparti tidak dikira iaitu KEADILAN. Ditambah pula akhir-akhir ini orang bukan melayu begitu ghairah mempertikaikan hak-hak orang melayu. Oleh itu, ISA masih releven dan perlu dipertahankan agar orang melayu tidak hilang hak-hak keistimewaannya.
Menurut rakan Mie juga, jika dilihat di zaman Tun Dr Mahadhir, orang bukan melayu tidak berani untuk mempertikaikan hak-hak orang melayu namun bermula di zaman Tun Abdullah Badawi, mereka mula berani bersuara. Ini disebabkan Dr M menggunakan kekerasan (ISA) manakala Pak Lah menggunakan kelembutan (kebebasan bersuara). Dari pemerhatian Mie, pandangan rakan Mie itu tak ubah seperti seorang pemuja Dr M. Sehingga akhir sembang kami, dia masih mempertahankan setiap tindakan Dr M. Mie hanya tersenyum kerana Mie faham, dia tidak memahami sejarah dengan sebaik-baiknya. Hanya melihat sejarah yang digarap oleh mereka-mereka yang pro-Dr M seperti Ibrahim Ali dan sebagainya.
Bagaimana dengan Mie? Pendirian Mie bagaimana?
Yup, setiap hujah yang diutarakan oleh teman Mie itu ada benarnya. Hujah lahir daripada pemikiran, pemikiran lahir daripada perspektif dan perspektif lahir daripada pengetahuan. Itu pandangan teman Mie. Sekarang giliran Mie pula.
Pertama, jika kita lihat hujah pertama teman Mie iaitu ISA sebagai keris orang melayu masa kini, Mie tidak bersetuju. Jika kita lihat kini, ISA sebenarnya digunakan oleh pemerintah untuk mempertahankan kedudukan mereka. Ini termasuk menahan orang melayu sendiri khususnya dari parti yang tidak sebulu dengan mereka. Lihat sahaja operasi lalang yang dijalankan pada tahun 70an dan 80an di mana ISA digunakan untuk menangkap pemimpin-pemimpin pembangkang dan pemimpin-pemimpin UMNO yang bukan dari kem mereka sendiri. Mie yakin teman Mie itu masih belum hadam akan tragedi bersejarah MEMALI. Peristiwa yang mengorbankan ramai pejuang-pejuang Islam dan penentang akta yang bernama ISA!
Jika mahu melayu bangun dan gah semula, Mie yakin pemerintah hari inilah yang patut dimasukkan ke dalam ISA! Merekalah yang menggadaikan maruah melayu dengan mengurangkan kuasa sultan dan raja melayu, menggadai tanah melayu kepada syarikat dan jutawan cina, memencilkan tulisan jawi, memansuhkan pembelajaran sains dan matematik dalam BM, serta banyak lagi pengkhianatan yang sudah tidak terhitung lagi. Jika dilihat di mana kedudukan melayu kini, amat malu untuk ditulis di blog ini. Terlalu ramai anak-anak muda melayu yang hanyut dan leka dengan dunia rempit, bohsia, mat gian, punk, kaki botol, tahik judi dan jahil agama. Anak-anak yang berjaya ke menara gading pula dibebani dengan hutang PTPTN yang tinggi dan peluang pekerjaan yang semakin meruncing. Jasa siapa untuk semua ini? Jasa pemerintah hari ini.
Justeru itu, bagi diri Mie ISA tiada kaitan dengan orang melayu. Perlembagaan yang adil dan utuh sudah cukup untuk melindungi hak-hak orang melayu disamping pemimpin yang bertanggungjawab dan amanah. Ingatlah kata-kata Hang Tuah, Takkan Melayu Hilang Di Dunia.. Jika melayu tahu bagaimana untuk mencorak dunia..
No comments:
Post a Comment