Sunday 6 June 2010

Cerita Beruk


Salam. Semalam aku berkesempatan menjejakkan kakiku ke sebuah program ceramah isu semasa. Aku tertarik dengan satu analogi yang digunakan oleh sang penceramah. Tajuknya adalah "Cerita Beruk".

Setelah seekor beruk telah mati ketika dalam perjalanan balik ke hutannya. Mayatnya ditanam oleh puak-puak beruk yang lain. Lalu datanglah malaikat untuk menjalankan soal di alam kubur. Oleh kerana di alam tersebut tidak lagi dapat menipu,akhirnya beruk tersebut mengaku telah melakukan dosa ketika hidupnya.

Malaikat: Hai beruk, apakah dosa kau ketika hidupmu di dunia?

Beruk: Aku telah berzina.

Malaikat: Apa, kau telah berzina?! Tahukah engkau itu merupakan satu dosa yang besar?

Beruk: Aku tidak mengetahui kerana ibu bapaku tidak pernah mengajarkan ku akan hukum halal dan haram ketika di dunia. Malah mereka tidak pula melarangku ketika aku melakukan dosa itu.

Setelah mendengar kenyataan beruk itu, maka malaikat pun memanggil ibu bapa beruk tersebut.

Malaikat: Hey ibu bapa beruk, kenapa kamu tidak mengajar anak mu ni akan hal-hal hukum hakam ketika hidup di dunia dahulu?

Ibu bapa beruk: Hoi, mengapa kami yang perlu mengajarnya? Kami telah menghantarnya ke sekolah, ke universiti beruk. Mengapa ustaz dan ustazah beruk tidak mengajarnya?

Setelah mendengar kenyataan ibu bapa beruk tersebut, maka dipanggil pula ustaz dan ustazah beruk.

Malaikat: Hey ustaz dan ustazah beruk, mengapa kamu tidak mengajar anak beruk kepada ibu bapa beruk ini akan hukum hakam agama ketika di dunia dulu?

Ustaz ustazah beruk: Kami telah mengajarnya namun hanya 10 jam je sebulan.

Malaikat: Mengapa sikit sangat tempohnya? Sedangkan subjek-subjek lain seperti matematik, sains dan bahasa inggeris kamu mengajar sehingga 30 jam sebulan?

Ustaz ustazah beruk: Manalah kami tahu. Kami hanya mengikut arahan dari kementerian beruk.

Setelah mendengar kenyataan ustaz dan ustazah beruk itu, maka malaikat pun memanggil menteri beruk yang memegang kementerian tersebut.

Malaikat: Hey menteri beruk, mengapa kamu memendekkan tempoh mengajar agama berbanding tempoh mengajar subjek-subjek lain? Tahukah kamu agama itu suatu yang penting?

Menteri beruk: Ikut suka akulah. Aku ni menteri. Malah masyarakat beruk dah memilih aku dalam pilihanraya. Kau tanyalah mengapa mereka memilih aku.

Setelah mendengar kenyataan menteri beruk itu, maka malaikat pun memanggil seluruh masyarakat beruk.

Malaikat: Hey masyarakat beruk. Tahukah kamu menteri yang kamu pilih ini telah meletakkan agama lebih rendah dari perkara lain di dunia dahulu? mengapa kamu mengundinya?

Masyarakat beruk: Manalah kami tahu dia akan berbuat demikian. Kami mengundinya kerana dia telah memberikan pembangunan, kemewahan dan kesenangan kepada kami.

Setelah diteliti segalanya, akhirnya seluruh masyarakat beruk dihumban ke dalam neraka. Hanya kerana satu dosa oleh seekor beruk, maka habis seluruh puak-puak beruk dihumban ke dalam neraka.


Moral Value: Sama tak masyarakat kita hari ini dengan masyarakat beruk dalam cerita tersebut? Adakah kesudahan kita sama seperti mereka? Renungkanlah..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...