Friday, 23 April 2010

Sistem Pendidikan Negara: Di mana Silapnya?


Salam.. Hari ni hari jumaat. Jadi aku sebagai seorang lelaki berstatus muslim akan ke masjid untuk solat jumaat. Khutbah jumaat hari ini bertemakan pendidikan. Sebagai salah seorang bakal pendidik, aku tertarik dengan topik yang dibincangkan iaitu mengapakah sistem pendidikan hari ini masih lagi tidak mampu untuk membentuk setiap induvidu dan masyarakat yang sejahtera. malah semakin hari semakin banyak masalah yang timbul walaupun sistem pendidikan di negara kita sentiasa mengalami perubahan demi perubahan.

Sang khatib mencetuskan satu persoalan, siapakah yang patut dipersalahkan dan bertanggungjawab terhadap kelemahan ini? Bukan sahaja tidak berupaya untuk membina seorang manusia, malah masalah-masalah sosial seperti sumbang mahram, rogol, zina, pembuangan bayi dan bohsia semakin membarah dalam kalangan masyarakat tanpa dapat dibendung.

Maka sekelian kalinya, faktor-faktor yang sering kita dengar seperti faktor induvidu, keluarga, ibu bapa, media massa dan warga pendidik disentuh dengan penuh harmoni. Sehingga para pendengar terlena, terlupa akan satu lagi faktor yang pada hemat aku, merupakan faktor utama mengapa masalah ini berlaku iaitu faktor PEMERINTAH.


Faktor Pemerintah

Pemerintah atau dengan kata lainnya kerajaan merupakan tunjang kepada sesebuah negara. Tanpa kerajaan, mana mungkin suatu negara dapat ditadbir dan diurus dengan baik. Pemerintah juga merupakan penggubal dasar yang akan menjadi kerangka kepada sistem yang akan digunapakai.

Hari ini kita dapat melihat, sistem hari ini dikatakan gagal bukan kerana tidak mampu melahirkan intelek-intelek dan cendikiawan-cendikiawan tetapi kerana gagal dalam membina manusia yang mempunyai nilai-nilai seorang manusia dan modal insan yang tinggi. Tidak dipertikaikan hari ini sistem yang sedang digunapakai melahirkan ramai profesional-profesional yang mengisi ruang kerjaya berprofil tinggi namun pada masa yang sama masih ramai yang merempat di bumi sendiri.

Itu tidak dilihat lagi berapa ramai profesional-profesional yang tidak mempunyai nilai intergriti dalam kerjaya mereka sehingga berlaku masalah-masalah pecah amanah, rasuah, korupsi dan seumpamanya. Keruntuhan akhlak berleluasa sehingga berjaya menjadi salah satu masalah utama negara dan kerajaan terpaksa membelanjakan berbilion ringgit duit rakyat untuk menanganinya.


Semua masalah ini berpunca daripada sistem pendidikan itu sendiri yang tidak menitikkan unsur-unsur agama dalam membangunkan bidang pendidikan. Walaupun dikatakan sistem pendidikan kini mengamalkan nilai-nilai islam, namun tidak semuanya diambil. Islam tidak boleh diamalkan secara berjuzuk-juzuk atau diambil yang mana dirasakan sesuai dan ditinggalkan jika tidak memenuhi cita rasa kita. Pengamalan ajaran islam hendaklah secara menyeluruh dan bukan secara terpilih.

Sistem pendidikan kini jelas dapat dilihat bercampur baur dengan pelbagai falsafah dan ideologi manusia dari seluruh dunia bermula dari barat hingga ke timur. Tidak dinafikan falsafah-falsafah dan ideologi-ideologi mempunyai kebaikan dan nilai yang dapat diambil namun pada hakikatnya sistem pendidikan negara mestilah bertunjangkan kepada pendidikan islam. Di dalam sistem hari ini, pendidikan islam hanya menjadi penampal atau penambah untuk memenuhi lubang-lubang yang wujud hasil dari kepincangan falsafah dan ideologi yang lain.

Amat malang islam perlakukan sebegitu rupa sedangkan islam sebenarnya merupakan jalan penyelesaian yang terbaik dan sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Islam bukan sahaja mampu untuk memenuhi setiap keperluan manusia, malah turut berupaya membawa manusia ke arah yang lebih baik sehingga mampu membina tamadun yang agung di dunia seperti yang telah dibuktikan bermula pada zaman kepimpinan rasulullah dan disambung oleh Khulafa Ar-Rasyidin, Kerajaan Umaiyyah, Abbasyiah dan Uthmaniah.

Namun hari ini islam hanya dilihat sebuah ajaran yang hanya diamalkan dalam bab beribadah dan fekah seperti solat, zakat, menunaikan haji, akad nikah, dan seumpamanya. Hakikatnya islam lebih luas daripada itu. Inilah hasil dari pokok ideologi sekularisme yang telah berakar umbi di bumi Malaysia sejak dahulu lagi dan masih menjadi dasar utama dalam menentukan dasar-dasar yang lain termasuk dasar pendidikan negara. Agama hanya dipandang sebagai nilai-nilai spiritual dan pengamalan ibadah-ibadah tertentu manakala semua aspek kehidupan yang lain berkiblatkan kepada akal fikiran yang terbatas dan dikuasai nafsu. Jadi mana mungkin sistem yang ada pada hari ini akan dapat membina manusia yang memenuhi tujuan manusia dicipta dan tanggungjawab yang harus ditunaikan.

Justeru itu, Menjadi satu kewajipan kepada semua warga pendidik yang cintakan agama Allah yang mulia dan diredai iaitu islam untuk berjihad menegakkan sistem pendidikan islam di dalam sistem pendidikan negara. Allahu Akbar!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...