Sunday, 25 July 2010

Trip To Pulau Langkawi..


Salam... Pekabo teman-teman? Mie baru je pulang dari bercuti kat Pulau Langkawi dengan kawan-kawan.. Memang syok tol dapat pergi sana. Boleh dikatakan ni percutian 'My All First' tau.. Tahu tak my first pe? hihi



Pertama first time naik kapal terbang.. Walaupun air asia je, tapi kapal terbang juga.. Pastu pulak, first time nak kapal terbang malam.. Flight ke KL petang dalam jam 3 petang dan flight ke Langkawi jam 9.15 malam. Seronok jugak la naik kapal terbang ni. Maklum lah first time.. Rasa teruja sangat.. hihi


Ni my first meal kat Langkawi. Nasi goreng pataya dan air teh tarik. Kedai ni kat tepi pantai. Tapi sebab dah malam, letih lak tu, so kitorng just makan-makan dan balik je terus ke homestay rehat-rehat. Esoknya baru sambung jalan..hihi..


Homestay ni kepunyaan sepasang pakcik dan makcik tua. Tapi anak-anaknya ada lagi dalam dua tiga orang. Oklah jugak cuma bilik air je masalah sket. Yelah, kami lelaki sembilan orang, share satu bilik air.. Penat-penat..


Hari pertama di Pulau Langkawi. Lepas makan pagi, kami ke pantai untuk aktiviti pertama, naik bot keliling pulau beb.. Hihi .. Pantai kat sini memang best. Bersih je. Pastu pulak, kat sini banyak pulau-pulau. Teringat Mie dalam satu cerita Thailand. Dalam cerita tu, dorang ke satu pantai yang lebih kurang camni la.. Cantik tol.. Mie rasa kawasan utara semenanjung ni memang best pantai-pantainya.



Hah... Abang hensem posing tu..hihi.. Sekarang ni Mie atas bot. Round-round keliling pulau.. Mula-mula laluan paya bakau dulu. Airnya jernih abis beb.. Macam kaca je. Sedap-sedap dok posing, ada monyet pulak datang naik bot. Rupanya dalam trip ni ada tempat memang monyet tunggu untuk diberi makanan. Tapi takde rezeki la ari tu, kami tak bawak makanan..huhu.. Sowilah abang monyet..


Dalam pakej ni jugak, kami diberi peluang untuk aktiviti 'eagle feeding'. Memang seronok tengok burung-burung helang ni menyambar makanan. Dah la banyak ekor, berjenis-jenis pulak tu. Abang driver bot ni cakap, helang ni bukan spesis jinak la. So kalau letak makanan ats bot pun dorang buat dek je.. Hampeh to burung ni.. ;-P



Dalam laluan ni jugak, ada tempat parking untuk bot-bot layar. Boleh dikatakan semuanya dari eropah seperti Jerman, England, Portugal dan sebagainya. Dari Argentina pun ada. Parking pulak bukan sehari dua, dua tahun pun ada. Dorang datang dengan kapal layar ni, lepas penat jalan-jalan kat sini, balik negara masing-masing dengan kapal terbang pulak. Macam-macam manusia ni..hehe



Kami sempat singgah ke satu jeti dan tempat penternakan ikan. Tapi ikan-ikan kat sini bukan untuk dikomersilkan, tapi untuk tujuan pendidikan dan kajian. Memang banyak ikan kat sini. Yang paling best ikan sumpit dan ikan pari. Ikan sumpit ni berkebolehan menyumpit air dari mulutnya untuk mendapatkan makanan. Memang lawak la ikan ni. Ikan pari ni pulak memang jinak habis. Dia suka bersalam dengan orang. Lembut je rasa ikan pari ni.. Siap ada nama lagi.. Husin, Fatimah.. hahaha


Kami jugak sempat melawat gua kelawar. Memang banyak kelawar kat dalam gua ni. Bau amonia pun kuat. Mie pun tak duduk lama dalam gua ni. Takut dapat jangkitan paru-paru lak..huhu tak nak.. Yang tersengih tu bukan mak kelawar tapi anak saudara kawan Mie..hihi.. Bayaran untuk trip bot ni Rm300 untuk dua jam. Dalam trip Mie ni, dalam RM15 sorang je. Ok dah dengan pengalaman yang cukup best..hihi



Lepas tu kami ke Underwater World lak. Kat sini banyak haiwan-haiwan yang hidup di dalam air seperti penguin, ikan-ikan dari dalam laut, ikan sungai dan sebagainya. Singa laut pun ada tau. Burung-burung pun ada tapi tak banyak la.. Cuba korang cari kodok dalam gambar kat atas ni, jumpe tak..hihi.. Kat sini tiketnya RM30. Tapi sebab kami student dapatlah diskaun jadi RM22. Hehe


Lepas dah puas pusing-pusing kat Underwater World, kitorang bergelak pulak ke Langkawi Cable Car. Tapi sebab cuaca yang tidak mengizinkan, kami terpaksa tunda keesokan harinya. Namun Kejinakan rusa-rusa kat taman cable car ni sedikit sebanyak menceriakan kami. Siap bagi makan beb..hihi..


Malamnya kami ke dataran helang. Pe lagi, terbang la Mie..hehe.. Memang besar la helang ni.. Kalau la hidup dah jadi cam naga je..hehe



Esoknya kami ke cable car lagi dan hari ni memang cuaca sporting beb..hihi.. Teruja sangat sebab first time ni.. Cable car ni ada dua station.. Kat atas ni pulak ada jambatan pejalan kaki antara dua bukit. Walking bright tak silap namanya. Memang cun giler pemandangan atas ni.. Mat and minah kamera nikon, canon yang beribu-ribu ringgit tu ramai tol dok ambil posing.


Lepas pusing-pusing kat atas tu, kami turun untuk ke pekan kuah dan ke jeti untuk balik dengan menaiki feri..


Feri ni turun kat Kuala Perlis. So ni first time Mie menjejakkan kaki di negeri paling utara tanah air, Perlis..hihi.. Lepas tu kami pulang ke Kota Bharu dengan menaiki bas.. Sampai depan pintu kampus Mie dalam jam 5.00 pagi.. Penat tol rasanya..

Begitulah trip kami ke Pulau Langkawi kali ini. Banyak pengalaman dan kenangan yang Mie dapat dalam trip kali ini. Jauh perjalanan, luas pemandangan. Lain padang, lain belalangnya. Harapnya dapat lagi buat trip untuk tambah lagi pengalaman yang ada. Okalah, nak habiskan coklat dari Langkawi dulu.. Nanti cair lak.. Salam (^_^)


Wednesday, 21 July 2010

Kalau Boleh Cabut Matakan Best!


Salam.. Pekabo teman-teman? Harap-harap sihat je. Aduhai pagi ni mengantuk betul la mata.. Nak je rase nak ponteng kelas tapi disebabkan sayang nak tinggal kelas so pergi jugak la kelas..huahuahua... Hari ni kelas sampai petang da, so takde la masa nak melelapkan mata. Tapi malam ni take de program. Boleh la rehat sikit..hihi

Pe korang rasa bila pagi-pagi yang mengantuk, ada kelas dalam bilik air cond. Peh, memang menggoda kelenaan tol! Tambah lak lecturer ni sengek sket.. Haha.. Tapi lapar la pulak..huhu.. Em sehari dua ni rasa penat sangat. Yelah, jadual hidup penuh je selalu. Kuliah dari pagi sampai petang. Lepas tu malam program la, meting la.. Kadang-kadang rasa jugak nak stop kejap hidup dalam kesibukan ni. Tapi tak nampak bayang la.. Tanggungjawab dan tugas tak habis-habis lagi. Bila la nak habis er?

Weekend ni paling best. dapat rest kat Pulau Langkawi. hehe.. dah setengah tahun plan. Jadi sampailah saat yang ditunggu-tunggu..Tak sabar lak. Mie dah lama tak ke sana. Seingat Mie masa form 2 kot. Yang sedihnya agak kureng manis kenangannya. Nak try pergi lagi sekali. Tapi kalau rest kat rumah pun ok jugak. Boleh la 'jumpa' my Si Dia tu. setiap masa.hihi.. Pe pun, tiket kapal terbang dan bas dah beli. So jalan jela. Duit pun semput-semput je ni. Harap-harap sempat la masuk elaun..huhu..

Oklah, masa dah nak habis ni. Saje bosan-bosan, tugasan dah siap. Take care n salam.. (^_^)

Monday, 19 July 2010

Adoi Banyaknya Kerja...


Salam... Mie baru je balik dari perjumpaan persatuan Mie kat kampus. Adoi mak banyaknya kerj-kerja yang belum disiapkan. Minggu ni agak penuh dengan program bermula pada malam ni hingga lah ke malam rabu ni. Semuanya dibuat malam sebab masing-masing sibuk dengan kuliah pada siang hari.

Kadang-kadang terfikir Mie, untuk apalah Mie libatkan diri dengan kerja-kerja yang banyak ni? Kan lebih best kalau rehat je kat rumah malam-malam, tengok tv, surf internet.. Dah mengantuk, tidur je terus. Mengapa perlu ke hulu ke hilir berulang alik dari rumah sewa ke kampus, bincang itu, bincang ini, hadir program itu, hadir program ini. Dah balik tengah-tengah malam pulak bersengkang mata menyiapkan kerja-kerja sama ada kerja untuk akademik atau organisasi. Buat penat je. Hampeh pun takde.

Ye ke tak dapat apa-apa? Hmm.. Dapat juga rupanya. Dari sinilah Mie dapat mengenal erti kehidupan. Kenal dan tahu di mana tahap Mie. Bukan untuk menunjuk-nunjuk tapi hakikat, semua ini membentuk diri Mie. Bila Mie melibatkan diri dengan kerja-kerja ini, pertamanya dapat pengalaman. Keduanya dapat ilmu dan kemahiran yang baru. Semua ini penting untuk Mie tingkatkan lagi keupayaan dan tahap kemahiran Mie.

Oklah, nak sambung kerja pulak ni.. Salam..

Saturday, 17 July 2010

Harga Barang Naik Lagi!

Salam.. Sehari dua ini rakyat dikejutkan dengan pengumuman tergempar Perdana Menteri Malaysia mengenai kenaikan harga barangan iaitu petrol, diesel, gula dan gas memasak. Harga gula diselaraskan sebanyak 25 sen sekilogram, diikuti minyak petrol RON 95 dan diesel masing-masing dikurangkan sebanyak 5.0 sen seliter, serta gas petroleum cecair (LPG) dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram.

Mie mendapat maklumat ini setelah berkunjung ke sebuah kedai makanan tempat biasa Mie dan kawan-kawan membeli nasi. Sebab kat kedai ni murah je. Nasi lauk ayam RM2.00 dan air bergas RM0.50. Jadi kalau makan nasi dua kali sehari baru RM5.00. Biasalah langkah penjimatan. Hehehe. Selepas pulang ke rumah, terus buka lap top surf internet tengok berita kat malaysiakini. Terpampang tajuk 'Barang naik: 5 dalam 1'.

Tergelak Mie, satu lagi hadiah yang best punya dari pemerintah Malaysia untuk rakyatnya. Esoknya Mie tengok paper. Aik, takde pun berita harga barang naik? Yang ada hanya bertajuk 'penyelarasan harga'. Rupa-rupanya kerajaan dah 'sound' kat editor-editor media perdana untuk tidak menulis tajuk kenaikan harga barangan kerana takut akan mendapat tentangan daripada rakyat. Hahahaha... Sekali lagi Mie gelak sakan.

Bila baca pulak ulasan daripada menteri-menteri, macam nak pecah perut Mie gelak. Semuanya sedaya upaya cuba berhujah untuk menghalalkan kenaikan harga barangan ini. Sehinggakan ada yang menyatakan kenaikan ini tidak akan membebankan rakyat, pengusaha kecil dan sederhana dan yang paling lawak menghalang penjual untuk menaikkan harga barangan. Apa punya pening la menteri-menteri negara hari ni. Budak nak ambil PMR pun tahu, kalau kos dah meningkat, mestilah harga perlu dinaikkan.

Itulah bila yang fasik, yang jahil, yang pening, yang rasuah, yang korupsi, yang gila dunia menjadi pemimpin. Menjadi pemimpin dengan menabur janji-janji duniawi. Menfitnah dan menuduh alim ulama sesat, jumud dan tidak layak untuk menjadi pemimpin. Meletakkan agama hanya pada majlis-majlis dan adat tertentu yang dirasakan sesuai. Bukan menuduh, namun hakikat dimana kita dapat melihat negara tercinta ini ditadbir hari ini oleh pemimpin-pemimpin berwatak ciri-ciri di atas. Banyak masalah tidak diselesaikan dengan bijak, isu-isu dimanipulasi dan sentiasa berpihak kepada pihak kerajaan, pihak pembangkang seolah-olah bukan warganegara layanannya dan sehingga saat ini, dasar dan prinsip penjajah masih diamalkan. hebat bukan?

Masyarakat haruslah sedar dan bangkit dari mimpi lena yang sedang membuai. Negara perlu diselamatkan dari pemimpin-pemimpin seperti ini. Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur, baru nak bertindak. Fikirlah...

Friday, 16 July 2010

Zoom In: Perkhemahan Pengakap Manik Kayu 1, 2010

Salam.. Ni gambar-gambar yang sempat Mie upload. Kalau ikutkan ada 400 lebih keping gambar. Tapi sket-sket sudah la upload..hehe.. Apa tunggu lagi? layan...


Ni gambar Mie masa baru mula sampai kat tapak perkhemahan. Berpeluh-peluh masa tu. Tapi sempat lagi possing sket..hehehe


Waktu ni sebelum aktiviti jungle treaking start. Sempat la jugak bergambar. Kat belakang Mie tu jambatan gantung. Tinggi jugak la. Kat bawah pulak ada sungai..

Yang ni pulak gambar Mie atas pelantar canopy walk. Huh, memang mencabar keseimbanganku! Tinggi canopy walk ni 40-45 meter dari lantai hutan. Kira lebih kurang bangunan tiga tingkat gitu.




Ini antara flora yang agak pelik dapat Mie rakam. Korang pernah tengok cendawan ni? hihi


Yang ni bekas tapak kaki rusa.



Ulat gonggok ni memang besar beb..


Aktiviti air pulak daa.. Mie merentasi sungai ni dengan pelampung kat sebelah tu. Memang syok beb..hihi


Sebelum masuk sungai, semua beg dan kasut masuk dalam bot panjang ni. Dua orang awek ni xjoin masuk air. Tah pe masalahnya. Fobia air kot..hehe


Ni time buat model gajet. Praktis ikatan..hihi


My PKK. Penolong ketua kumpulan, kak CT..hihi


Bergambar semasa jungle treaking. Nasib baik xde pacat.hihi


Sedang mencari sudut yang menarik untuk di snap! hihi


Berehat setelah penat memunggah barang dari tapak perkhemahan ke kawasan parking bas..huhu


Gambar terakhir sebelum bertolak pulang. Harapnya dapat datang lagi. Terima kasih taman negara kelantan yang banyak memberi input dan pengalaman baru.. Hoorey!

Thursday, 15 July 2010

Perkhemahan Pengakap Manik Kayu 1


Salam.. Mie baru balik dari perkhemahan pengakap untuk kursus manik kayu 1 di Taman Negara Kelantan, Kuala Koh. Selama empat hari satu malam Mie bersama 50 perserta yang lain berkhemah di sana. Cukup best tapi penat daa... Namun banyak ilmu dan perkara yang dapat Mie pelajari dan ambil semasa perkhemahan ini.

Mie bertolak pada hari isnin iaitu 12 Julai 2010. Best jugak la dapat lari dari belajar.. Hehehe.. Perjalanan mengambil masa lebih kurang enam jam dari kampus Mie dengan menaiki bas. Empat jajahan Mie jejak tau.. Kota Bharu, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang. Dalam perjalanan tu, banyak la jugak perkara menarik dan juga yang kureng sket menariknya dapat Mie layan.. Dari kawasan bandaraya yang sibuk kat KB ni, masuk pulak pekan-pekan kecil, hinggalah ke kawasan ladang sawit yang sunyi je..

Dah nama tempat ni taman negara, mestilah dalam hutan kan? Suasana tempat ni memang tenang je.. Kiri, kanan, belakang, depan, semuanya hutan hujan tropika yang menghasilkan berbagai-bagai jenis pokok dan tumbuhan. Kat sini jugak adalah tempat untuk hidupan liar hidup bebas. Ada kijang, rusa, gajah, tapir.. Harimau pun ada beb.. Tapi semua dorang malu nak jumpa Mie.. So, tak dapat la nak jumpa..hihi

Semasa perkhemahan ni, banyak la yang Mie pelajari.. Dari sesi sejarah adat istiadat pengakap, hinggalah kepada cara-cara membuat ikatan dan simpulan untuk membuat gajet. Cuaca kat sini takde la panas terik tapi suhunya memang tinggi. Memang bermandikan peluh la Mie. Dah macam mandian spa rasanya. Sampai hari terakhir, banyak pulak lebah tanah datang menjilat peluh-peluh semua peserta. Hehehe

Secara keseluruhannya perkhemahan ni memang best cuma agak kurang dari segi pengisian agama. Mungkin disebabkan program ini adalah program bukan berobjektifkan aspek agama dan kerohanian. Sedar atau tidak, inilah hasil ideologi sekularisme yang sedang menjadi tunjang kepada negara kita hari ini.

Oklah, Mie nak rehat lak. Penat lagi ni.. Salam..

Saturday, 10 July 2010

Kebebasan Media: Ada Apa Dengan Media?


Salam. Dua tiga hari ni Mie dapat tengok isu media menjadi panas dan tumpuan negara bermula dengan isu penggantungan permit akhbar rasmi Parti keadilan Rakyat, 'Suara Keadilan' selepas menyiarkan satu artikel bertajuk 'FELDA bankrap'. Pihak kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mula bertindak kerana tidak senang dengan artikel tersebut, menjadikan titik mula serangan ke atas media di Malaysia hari ini.

Serangan seterusnya ditujukan kepada akhbar rasmi Parti Islam SeMalaysia (PAS) apabila permitnya tidak disambung oleh pihak KDN disebabkan oleh kelewatan menghantar lapan salinan akhbar terbabit kepada KDN. Seterusnya berita Ketua Pemuda PKR, Cikgu Bard ditahan polis kerana menulis artikel 'Di sebalik pembunuhan Altantuya' (rujuk http://www.malaysiakini.com/news/136931). Hari ini pula menteri KDN, Hishammuddin mengumumkan penubuhan jawatankuasa pemantau berita palsu yang mungkin disebarkan di alam maya oleh blogger.

Semua ini menjadikan media tumpuan utama negara dikala ini, seolah-olah sudah tiada isu lain yang masih belum diselesaikan. Semuanya memperlihatkan kepada kita, dimanakah tahap kebebasan suara di negara ini. Isu kebebasan suara telah lama dibangkitkan sejak zaman sebelum merdeka lagi. Pihak penjajah pada waktu tersebut telah mula menjalankan usaha-usaha untuk menekan kebebasan media dengan menghadkan penerbitan karya-karya yang dilihat akan meniup semangat patriotik dalam masyarakat. Malah penulisnya juga ada yang ditangkap dan ditahan di penjara-penjara British.

Hari ini pula sejarah kembali berulang, dengan kebebasan media masih ditekan dan dikekang untuk meneruskan kelangsungan pemerintah. Cuma watak dan bahannya sahaja yang berbeza namun menurut jalan cerita yang sama. Semua ini mencetuskan satu persoalan di benak Mie, ada apa dengan media? Sehingga pihak pemerintah begitu takut dan gerun dengan kebebasan media?

Ada Apa Dengan Media?

Media merupakan satu pendekatan untuk berkongsi dan menyampaikan maklumat. Zaman dunia tanpa sempadan hari ini adalah simbol kepada peranan media dan bagaimana pengaruhnya boleh mengubah segalanya. Mungkin kita tidak sedar namun hakikatnya media mempunyai pengaruh yang amat kuat dalam sesebuah masyarakat. Setiap apa yang dibawa oleh media mudah dilihat seolah-olah betul dan boleh dipercayai.

Media sejak dahulu lagi menjadi tempat pihak-pihak tertentu menyebarkan propaganda masing-masing. Malah media juga dilihat sebagai medan untuk mencari sokongan dan juga untuk menyerang lawan. Hakikat yang mungkin kita lupa adalah media adalah senjata dan boleh juga menjadi benteng pertahanan yang ampuh khususnya di dunia politik. Di negara kita contohnya, pihak pemerintah mengawal media-media untuk kepentingan mereka. Berita-berita di kaca televisyen, lembaran akhbar dan di radio khususnya hanya memaparkan berita-berita yang baik berkenaan pihak pemerintah.

Lain pula jika membabitkan pihak pembangkang. Berapa kerat berita mereka dipaparkan? Yang ada pun hanya disiarkan dari sudut negatifnya sahaja. Tambah menjelekkan apabila tiba musim pilihanraya. Parti pemerintah dilambung dengan pelbagai pujian dan liputan meluas. Sehinggakan sekecil-kecil perkara pun berkenaan mereka akan dipaparkan. Parti lawan pula hanya akan mendapat liputan jika terdapat isu-isu yang dilihat menguntungkan parti pemerintah. Itu pun tak sampai sepuluh saat. Adil betul media di Malaysia padahal sama-sama membayar cukai dan memiliki warganegara serta hak yang sama.

Hasil-hasil tulisan pula tidak terkecuali. Lihat sahaja dipasaran, tulisan manakah yang lebih banyak diluluskan? Politik? Agama? Atau hiburan? Anda nilailah sendiri. Ini semua adalah kerja-kerja untuk menjadikan rakyat buta maklumat dan kering ilmu pengetahuan. Untuk apa? Untuk memudahkan pihak pemerintah mengawal minda dan tahap pemikiran rakyat. Hasilnya kita dapat melihat walaupun kemudahan di negara kita boleh dianggap kelas pertama namun tahap pemikiran masih ditakuk lama. Penuh dengan prajudis, prasangka dan sempit. Rakyat hanya dihadkan kepada pengetahuan kosmetik tanpa disentuh isu utama.

Justeru itu, amatlah penting kepada semua pihak untuk terus berjuang demi menghentikan kekangan dan halangan yang menghalang kepada kebebasan media di negara kita. Undang-undang yang dibentuk tidak salah namun mestilah selari dengan tuntutan agama dan hak asasi manusia dalam kebebasan media.

Thursday, 8 July 2010

Are You Love Your Body?

Salam.. Pekabo teman-teman? Harap-harap sihat semuanya. Mie pun sihat.. Tapi Mie sebenarnya tak tahu Mie ni betul-betul sihat atau tak. Kenapa? Sebab Mie ni sebenarnya berbadan besar tau. Mie agak BMI Mie ni tak ok kot. Yela, Mie ni xdelah tinggi tapi badan besar. So mesti tak capai standard yang sepatutnya.

Teman-teman kat luar sana mesti ada yang badan macam Mie kan?hihi.. Pernah tak orang cakap kat korang camni, "Ko ni Gemuk la!", "Besarnya badan ko"... Mesti pernah jugak kn? Hihi.. Sama la macam Mie. Even my family and friends pun ada cakap camtu. Yela.. Badan dorang best-best.. Kurang sket nak jadi Malik Noor..Hehe.. Kita ni cam tong drum la, tong sampah hitam la, badak air la, gorila la.. Memang sedap mulut je..

Mie pun kompius la. Nak kata makan banyak, tak jugak. Mie makan jam 10.00 pagi sekali, pastu petang lepas asar atau lepas maghrib sekali. Kadang-kadang je terlepas ke lepas solat isyak, kalau ada program pada waktu biasa Mie makan. Nak kata tak bersukan, selalu je Mie main badminton dengan kawan-kawan. Selalunya dua hingga tiga kali seminggu. Satu sesi dua jam. Pun naik jugak badan ni.. Adoi...

Sape la yang tak nak body yang best-best kan? Tanya Aflin Shauki nak, Haris Iskandar pun nak, Bob Lukman pun nak. Awek pun senang je nak pancing. Tapi apabila dah badan jenis ni yang Allah bagi, nak buat camne kan? Syukur dah ni, sekurang-kurangnya takde la yang cacat, boleh berjalan, berkerja, beribadah. Cuma agak kurang handsome dipandang..hihi

Namun ini bukan alasan, untuk orang seperti kita untuk terus maju dalam hidup. Mulut orang bukan kita boleh tutup kan? Makin ditutup, makin luas pulak bukanya. Makin kuat lolongannya. Jadi semuanya atas diri kita. Pengalaman Mie, hidup sebagai salah seorang berbadan agak besar dan tak handsome ni mengajar kita untuk berdiri atas kaki sendiri. Mengajar Mie untuk lebih menghargai diri Mie sendiri. Mengajar Mie untuk cuba menghiburkan diri sendiri, memujuk diri sendiri dan yang lebih utama, cuba untuk berfikir untuk diri sendiri.

So sape-sape kat luar tu yang rasa benci kat boday sendiri tu, fikir-fikir balik ok? Kalau kita tak sayang dia, sape lagi? Cian kat dia, susah-susah membesar tapi takde sape yang sayang. So sayang la diri anda.. Salam.. (^_^)

Tuesday, 6 July 2010

Today I am a Student, a KK, a Timbalan Presiden dan a Ketua Turus! adoi....

Salam.. Pekabo teman-teman? Harap-harap sihat je semua.. Mie pun sihat jugak. Cuma sibuk sikit sekarang ni..Huhu.. Camne tak sibuk, kalau sebelum ni Mie pegang dua jawatan je. Mula semester ni tambah lagi satu jawatan..Adoi penat den..

Kerja KK ni atau nama penuhnya adalah Ketua Kumpulan adalah untuk menguruskan kumpulan kelas Mie. Dari ambil kedatangan hinggalah deal dengan pensyarah pasal kelas atau apa-apa tugasan. So Mie kenelah selalu berjumpa dengan pensyarah. Sekejap bincang sal tu, sekejap tanya sal ni.. Ke sana, ke mari.. huhu..

Tugas Mie sebelum ni pulak iaitu Timbalan presiden dan ketua turus semakin bertambah dengan bahtera pelayaran persatuan mula menaikkan sauh dan melebarkan layar pelbagai aktiviti dan program yang telah dirancang sebelum ini. Di tambah pula kemasukan ahli baru dari new intake baru-baru ni memerlukan banyak lagi perancangan dan strategi untuk mengemaskan lagi pergerakan persatuan.

Korang nak tahu tak camne kehidupan Mie hari ni? Sehari sebelum kelas, Mie kene hubungi lecturer untuk mengesahkan kehadiran dorang dan apa yang dorang perlu. Lepas tu esoknya Mie kene urus kelas. Ambil kedatangan, catat dalam buku kehadiran dan setiap kali lecturer masuk, kene mintak tanda tangan dorang. Lepas tu kadang-kadang ada lecturer yang jenis senok sket kepala tu memang memeningkan. Heran Mie, camne lah dorang boleh dapat title lecturer ni..huahuahua

Bukan kadang-kadang, selalu jugak petang atau malam, ada perjumpaan dan mesyuarat persatuan untuk bincang pelbagai perkara. Tambah pula Mie ni suka je cari idea untuk persatuan, maka banyak lah kerja kene buat. Macam sekarang ni Mie sedang menyiapkan modul untuk digunakan oleh ahli persatuan untuk mengurus program dan aktiviti. Alhamdulillah Allah bagi kelebihan kat sini, so Mie cuba sumbang sebanyak mungkin dari segi ni..

Sape cakap tak penat? Penat tu memang ada tapi rasa puas dengan hidup. Rasa diri ini ada nilai dan lebih baik dari sebelumnya. Kenapa? Sebab dapat lepasi halangan-halangan dan cabaran yang mendatang. Rasa seolah-olah bermain games tapi di dunia nyata. Diri mempertaruhkan masa, tenaga dan yang paling utama, perancangan hidup sama ada berjaya atau gagal. Kalau silap plan, gagal ler jawabnya. Kalau ok, kejayaan yang cukup manis menanti..

Kadang-kadang apa yang dirancang tidak menjadi malah halangan terlalu tinggi untuk dibolosi. Namun di situ diri sendiri akan mula meng'up date' setiap kekuatan yang ada dan melihat jika masih ada peluang yang mungkin akan datang sepintas lalu. Dan apabila peluang tersebut datang, diri akan cuba dengan segera menyambar kesempatan yang ada untuk meloloskan diri dari halangan atau buat tambah kekuatan baru. Cukup mendebarkan namun keghairahan itu sukar untuk dilupakan.

Mungkin itulah yang membina perwatakan Mie hari ini. Mungkin sedikit atau banyak, hanya Mie yang tahu. Namun apa jua yang lahir, Mie tidak sesal. Kerana inilah diri Mie dan akan Mie cuba bina lagi, sehingga sampai ke garisan penamat setelah malaikat sang pencabut nyawa datang menjemput Mie. Bina untuk lebih dekat dengan sang pencipta. Bina untuk lebih baik dari semalam. Salam

Saturday, 3 July 2010

1Malaysia Vs Komunis!

Salam.. sejak semalam Mie agak sibuk dengan program persatuan Mie. Weekend ni Mie ada program 'Muslim Super' iaitu program penghayatan solat untuk pelajar ambilan baru di kampus Mie. Saat Mie menulis ni pun, program masih berlangsung namun Mie curi-curi masa untuk meng'up date' blog Mie ni.

Dalam banyak-banyak slot, ada seorang ustaz ni menceritakan bagaimana pengalaman beliau dalam satu lawatan islamik ke Beijing, China tidak lama dahulu. Lawatan tersebut dianjurkan oleh sebuah masjid di kampungnya dan dianggotai seramai 41 orang ahli khairiah dan jemaah masjid. Sebelum bertolak, mereka telah berjanji dan berbaiah untuk melakukan solat berjemaah lima waktu sehari sepanjang lawatan tersebut.

Mereka bertolak dari Kota Bharu dan akan bertukar transit di lapangan terbang tambang murah berhampiran KLIA. Ketika tiba di lapangan terbang tersebut, rombongan terbabit bercadang untuk solat jama' dan sama-sama ke surau. Apabila tiba di surau, mereka dapati surau sudah penuh dan masih ramai yang sedang beratur untuk solat di dalamnya. Memandangkan masa yang agak singkat, mereka bercadang untuk solat di satu lorong di deretan kedai yang masih belum dibuka.

Namun apa yang mendukacitakan, sebai sahaja takbir diangkat, seorang polis berbangsa melayu datang untuk menghalau mereka dari mengerjakan solat di situ. Mereka dimaki hamun dan dicaci di hadapan pengunjung-pengunjung lain. Namun mereka meneruskan solat hingga akhirnya. Sebaik sahaja memberi salam sesudah mengerjakan solat tersebut, mereka sekali lagi lagi dimarahi oleh seorang lagi polis yang lebih tinggi pangkatnya. Dia mempertikaikan tindakan rombongan tersebut untuk solat di situ sedangkan terdapat surau yang telah disediakan. Pihak rombongan cuba memberikan penjelasan namun mereka terus dimarahi dan dicaci. Untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, mereka terpaksa mengalah dan beredar dari situ.

Lawatan berjalan dengan baik di Beijing dengan layanan yang baik dari penduduk muslim di sana. Semasa hendak pulang ke Malaysia, mereka bercadang untuk solat jama' di lapangan terbang kerana mereka tidak dapat tiba di Malaysia untuk solat asar kerana akan tiba pada waktu isyak. Mereka cuba untuk mendapatkan tempat solat namun di lapangan negara komunis itu, tidak ada tempat solat atau surau di sana.

Namun begitu, apa yang berlaku di Malaysia tidak berlaku di sana. Setelah berunding dengan pegawai lapangan terbang di sana, mereka memberi izin untuk solat di satu kawasan lapang di dalam lapangan terbang tersebut. Malah mereka di awasi oleh polis lapangan terbang agar tidak ada pengunjung lain yang melintas tempat mereka solat. Para pengunjung yang bukan islam pula ramai yang merakam peristiwa tersebut dan sesudah ahli rombongan solat, pengunjung lain bertepuk tangan seolah-olah ia adalah satu persembahan.

Begitulah sedikit sebanyak yang dapat Mie ingat dan tatap kat blog ni. Takde apa-apa motif . Mie bukan penyokong komunis. Cuma untuk membuka mata semua pihak bagaimana layanan konsep 1Malaysia terhadap satu umat yang menganut agama rasmi negara sendiri. Adakah itu yang dinamakan menjaga keharmonian dan kestabilan negara sehingga agama diperlaku sebegitu rupa? Mie tidak menyalahkan mereka yang melaksanakan peraturan itu. Tidak juga mempersalahkan pemimpin negara yang menggadai agama, bangsa dan tanah air sendiri. Tapi Mie cukup marah kepada pengundi-pengundi dan penyokong pemimpin-pemimpin yang gila tu. Kenapa? Lu pikir ler sendiri..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...