Friday, 19 November 2010

"Saya Tak Minat Politik-Politik Nih.."

"Ala bro.. Relek sudah.. Wakpe pikir-pikir sal politik nih..Tu mainan orang tua la bro.. Kita orang muda nih kitab kita muzik, trend, sukan, awek.. Baru gempak bro..". 

Mahal tul ayat sorang mamat nih yang Mie jumpa masa jalan-jalan kat pantai. Sebelahnya ada sorang awek. Cun jugak tapi sayang seribu kali sayang, tudungnya melayang, badannya tertayang-tayang dan rambut serang benderang dengan warna perang.

Tergelak je Mie dengar jawapannya. Mie yakin dan percaya, bukan Mie je yang jumpa orang muda yang sebegini pemikirannya. Malah hari ni ramai dalam kalangan anak muda yang selesa bermastautin dalam kelompok ini. Bagi mereka, politik itu bukan untuk mereka. Hanya untuk orang-orang tua yang berhajat untuk menjadi pemimpin dan mereka yang berkepentingan.

" Saya tak minat la politik-politik ni bang.. Saya lebih suka jadi neutral, tak sokong mana-mana parti politik. Tambah pulak saya ni bakal bekerja dengan kerajaan. Mana boleh terlibat dengan politik-politik ni,"

Satu lagi ayat dari seorang kawan Mie di kampus. Jugak mengundang gelak dari Mie. Baginya politik itu adalah melibatkan diri dengan mana-mana parti politik serta memegang jawatan di dalamnya. Jugak tidak boleh berada di dalam parti politik yang bukan dari kem pemerintah, kerana takut dilabel sebagai pembelot dan pengkhianat kepada kerajaan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Dua situasi di atas menggambarkan kepada kita pespektif orang muda di negara kita bila bercakap berkenaan politik. Politik seolah-olah tabu dalam hidup mereka dan tidak ada kena mengena dengan dunia mereka. Lebih senang membiarkan sahaja apa yang berlaku dalam politik. Malah secara jelasnya dapat kita lihat, betapa sempit pemahaman belia kita dalam soal politik.

Politik hanya dilihat dalam skop parti politik dan gerak kerja untuk suatu pilihan raya. Dimana-mana, orang akan bercakap politik dalam ruang lingkup pemilihan parti, pertembungan dalam pilihanraya dan kerajaan yang terbentuk. Semuanya hanya berkisar pada parti-parti politk.

Malah ada yang melihat politik itu kotor apabila melihat gelagat-gelagat mereka yang terlibat dengan politik menunjukkan suatu yang buruk dan hina seperti amalan rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan sebagainya. Sebagai jalan mudah, mereka terus membenci dan meninggalkan politik dalam pemikiran mereka.
 
Habis tu apa sebenarnya politik?

Good question! Perkataan politik ini sebenarnya berasal daripada bahasa Yunani iaitu bermaksud 'bandar'. Namun di sini bukan tujuan Mie untuk mengulas dari sudut bahasa atau istilah saintifiknya namun untuk kita bincangkan dari sudut yang lebih realistik iaitu pemahaman sebenar politk dalam konteks manusia sejagat.

Sedar atau tidak, kita sebenarnya sedang berpolitik dalam kehidupan seharian. Benarkah? Ya, kita sedang berpolitik! Lihat sahaja setiap hari kita membuat pilihan, membuat keputusan, berbincang secara berkumpulan, melakukan sesuatu bersama-sama.. Itu sebenarnya politik!

Politik sebenarnya bagaimana cara atau proses dalam kita membuat keputusan untuk kepentingan bersama. Ia bukan sahaja untuk menentukan keputusan-keputusan yang besar seperti pemimpin-pemimpin negara atau organisasi malah hingga kepada keputusan untuk diri sendiri. Kerana politik itu sebenarnya mempunyai pelbagai peringkat dan setiap peringkat itu memerlukan keperluan dan elemen yang berbeza.

Berbalik kita kepada persoalan politik dalam kalangan belia. Kita sedia maklum belia hari ini merupakan sebahagian besarnya adalah golongan mahasiswa di institusi-institusi pengajian tinggi dan para pekerja di pelbagai sektor. Jadi secara sedar atau tidak setiap keputusan yang diputuskan oleh pihak pemerintah akan memberi kesan kepada mereka. Kita dapat lihat dalam lipatan sejarah, bagaimana setiap dasar dan keputusan politik memberi kesan kepada golongan belia seperti Akta Auku yang menjadi anutan di universiti dan kolej serta pelbagai dasar-dasar yang menyentuh kepentingan dan keperluan golongan belia. Semua itu bermula dengan politik.

Apa yang ingin Mie ungkapkan di sini adalah tidak semestinya kita sebagai mahasiswa dan golongan belia terlibat secara langsung dengan mana-mana parti politik namun mestilah mengambil tahu akan isu-isu yang berlaku dalam politik semasa dan global. Kita tidak semestinya berada di mana-mana pihak namun jangan sampai buta apabila hal-hal politik dikeutarakan. Kerana apabila kita buta, kita akan mudah dipermainkan oleh tangan-tangan politik untuk kepentingan masing-masing.

Hakikat bahawa politik itu bukan kotor malah ia amat suci. Politik sebenarnya merupakan salah satu cabang yang diberi penekanan dalam agama Islam sendiri. Namun apa yang menjadi punca politik kelihatan kotor adalah disebabkan oleh tangan orang-orang politik yang menggunakan politik untuk kepentingan masing-masing sehingga sanggup menggadai apa sahaja termasuklah agama, bangsa dan negara sendiri.

Justeru itu, perlunya kita sebagai mahasiswa dan golongan belia yang akan mewarisi negara suatu hari nanti mengambil sikap matang dan profesional dalam melihat politik dan isu-isu yang berlegar di sekelilingnya. Sejarah telah membuktikan, bagaimana kesultanan melayu di negara kita suatu ketika dahulu jatuh hanya dengan permainan politik penjajah yang datang. Adakah sejarah akan berulang kembali? Sama-sama kita renungkan..

~ Mahasiswa Pencetus Revolusi ~

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...