Sunday, 7 November 2010

Media Altenatif Di Malaysia

Sejak dahulu lagi, media merupakan suatu yang amat penting dan berpengaruh dalam kalangan masyarakat. Media dijadikan sebagai landasan untuk menyalurkan pelbagai maklumat dan informasi yang diperlukan oleh masyarakat. Peranannya semakin hari semakin meningkat naik dan dimanfaat oleh pelbagai golongan dari pihak pemerintah, tentera hinggalah rakyat seluruhnya.

Namun sejak kebelakangan ini kita dikejutkan dengan kenyataan 'Media Itu Kotor' oleh sebahagian masyarakat yang melihat peranan media semakin hari semakin menyimpang dari prinsip-prinsipnya. Kita dapat melihat bahawa media sering digunakan sebagai alat propaganda oleh pihak-pihak berkepentingan. Sejarah telah memperlihatkan bagaimana imperialis Jepun menggunakan media untuk meniup semangat bencikan penjajah barat dalam usaha untuk menyingkirkan British di Tanah Melayu. Begitu juga hari ini bagaimana media dimanipulasikan oleh pelbagai pihak untuk meneruskan kelangsungan kelompok masing-masing sama ada pihak pemerintah dan juga lawannya.

Akhirnya masyarakat mula mencari dan membina media-media altenatif yang dapat memenuhi keperluan masing-masing dan juga setempat. Perkembangan ini mula kelihatan apabila negara mula mempergiatkan perkembagan teknologi jalur lebar untuk meningkatkan kualiti perhubungan serantau. Kebanyakan media altenatif mula mengambil tempat di alam maya dek kerana pelbagai birokrasi dan sekatan oleh pihak pemerintah untuk diterbitkan dalam bentuk cetakan. Namun hari ini perkembangan itu mula dilihat memberi kesan kepada masyarakat khususnya kepada golongan muda apabila media altenatif mula tumbuh bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Perkembangan Media Altenatif Di Malaysia

Pada mulanya ia hanya secara kecil kecilan dan tertumpu di bandar-bandar raya utama kerana akses kepada internet masih menjadi 'keajaiban dunia' kepada masyarakat di kawasan pinggir bandar. Namun semakin hari perkembangan pesat teknologi jalur lebar yang lebih mesra pengguna dan murah mula memperlihatkan penerimaan komuniti terhadap media altenatif mula meledak dengan pantas. Anak-anak muda mula membina blog-blog serta website dan mewujudkan jalinan komunikasi dan perkongsian maklumat. Warga kota juga mula beralih kepada media altenatif yang lebih mudah untuk diakses dan lebih menarik dengan pelbagai kupasan mengikut selera masing-masing. Maklumat yang boleh disimpan dalam tempoh waktu yang lama dan diakses dengan segera menambahkan lagi keistimewaan media altenatif.

Kesan Media Altenatif Di Malaysia
 
Keputusan Pilihanraya Umum 2008 memperlihatkan antara kesan yang paling besar yang dibawa oleh media altenatif kepada negara. Pelbagai pihak melihat media-media altenatif ini memainkan peranan yang cukup  memberi impak kepada masyarakat sehingga mampu mengubah corak politik dalam negara kita. Pihak pemerintah dan pembangkang mula meneropong untuk mengambil peluang dan membuka satu lagi medan pertempuran di alam maya. 

Perang sarat dan priskologi yang dilancarkan dari kedua-dua belah pihak mula memperlihatkan kesan kepada pemikiran masyarakat di mana pihak pemerintah cuba untuk mengawal maklumat tanpa sempadan dan manakala pihak pembangkang yang tidak mendapat peluang untuk menggunakan media arus perdana dapat membuka sedikit lembaran untuk meluaskan lagi penyebarah fahaman dan penerangan kepada rakyat. Hasilnya pakatan pembangkang mula mendapat tempat di mata pengundi dan mencetuskan tsunami politik dalam PRU 2008.

Penutup

Hari ini media altenatif mula menjadi sebahagain daripada sumber maklumat utama dalam masyarakat. Masyarakat pula mula membentuk komuniti-komuniti yang mempunyai persamaan dan minat yang sama melalui perkongsian maklumat dan perbincangan antara satu sama lain. Menjadikan negara kita lebih bewarna-warni dengan pelbagai corak dan ragam. Sama-sama kita lihat, apakah hasil yang akan dihasilkan oleh eksperimen media altenatif ini, adakah akan menjadi salah satu tiang yang akan memperkukuhkan negara atau sebaliknya? Hanya Dia yang Maha Mengetahui..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...