Tuesday, 9 November 2010

Hablum Minallah, Hablum Minannas: Sama-sama muhasabah..

" Mie, saya sedih lah, kenapa sekarang ni ramai yang tidak OK dengan saya?" keluh salah seorang sahabat Mie. " Saya tahu saya ada buat salah. Saya dah cuba untuk perbaikinya namun mengapa kesalahan itu masih diungkit-ungkit lagi?" keluhnya lagi.

Mie hanya mengangguk tanda memahami apa yang sedang dialami oleh sahabat Mie itu. Perasaan kesian mula mengalir deras ke dalam diri. Masakan tidak, seolah-olah dunia sedang menghukumnya tanpa belas kasihan. Mengapa sebegitu rupa hukumannya? Besar sangatkah kesalahannya?

Hari ini pula dia merasa keseorangan. Tiada teman yang mahu berbicara. Tiada rakan untuk bergurau senda. Tinggal sendirian, tanpa teman. Hanya berbicara dengan lap top, buku-buku dan juga TV buruknya. Mengapa begitu hidupnya?

" Sudah cuba cari puncanya?" soal Mie pada suatu malam. " Entahlah Mie. Saya tak tahu lagi apa yang perlu saya buat. Saya cuma cakap perkara yang benar. Teguran yang betul untuk rakan-rakan. Tapi mengapa masih memandang kelemahan dan kesalahan yang saya telah buat?". " Pernah berbincang dengan mereka?" tanya Mie lagi. " Entah la Mie. Dorang tak datang pun kat saya," jawabnya lagi.
 
Tahulah Mie puncanya. Semuanya berbalik kepada tajuk yang Mie bawa hari ni. Hablum Minallah (hubungan dengan Allah) dan hablum minnas (hubungan dengan manusia). Percaya atau tidak, separuh daripada agama islam membincangkan hablum minnas, yang mana menunjukkan kepada kita betapa pentingnya kita untuk menjaga hubungan tersebut.

Bukan untuk menyatakan hubungan dengan ilahi kurang penting namun kedua-duanya amat perlu dijaga. Hubungan dengan Allah merupakan hubungan yang telah terbina iaitu antara hamba dan penciptanya. Allah telah mencipta manusia untuk menjadi hamba yang taat kepadaNya dan melakukan suruhan serta meninggalkan laranganNya. Semuanya sudah tertulis dalam Al-Kitab yang mulia dan sunnah rasulullah kekasihNya. Sesiapa yang terus berpegang dengan kedua-duanya akan selamat dunia akhirat.

Namun berbeza dengan hubungan manusia. Hubungan ini terbina atas pelbagai sebab dan faktor yang cukup subjektif. Ada yang disebabkan faktor keluarga, saudara-mara, rakan sekelas, rakan sebaya dan sebagainya. Hubungan ini selalunya berkongsi persamaan atau minat yang sama. Dan apabila dua jiwa bertemu, maka terbentuklah ikatan yang tidak nampak di mata namun dapat kita rasai.

Dan hubungan inilah yang menjadikan hidup ini penuh dengan pelbagai ragam dan warna. Apabila kita salah mewarnanya, maka akan datanglah masalah dan konflik. Puncanya adalah dari diri sendiri yang lebih memikirkan ego dan kepentingan masing-masing. Yang akhirnya secara sedar atau tidak telah melanggar norma-norma berhubungan.

Inilah yang berlaku kepada sahabat Mie tadi. Di mana seringkali berfikir secara negatif dengan memberi pelbagai alasan untuk menghalalkan kelemahan dan kegagalan memperbaiki hubungan tersebut. Mengapa perlu berlaku begitu? Bahagiakah anda dengan kehidupan sebegitu?

Cuba kita muhasabah, berfikir dan menganalisa setiap apa yang berlaku. Adakah hablum minallah itu sahaja yang perlu dilihat? Bagaimanakah hablum minannas yang sepatutnya kita lakukan?

Hakikatnya perlunya keseimbangan yang adil antara kedua-dua hubungan ini. Bukan perlu 50-50% namun sekurang-kurangnya tidak jatuh 80-20%. Memang diakui manusia hari ini ramai yang seolah-olah syaitan bertopengkan manusia namun bukan bermakna hubungan dengan manusia perlu dihazafkan. Cuba kita berfikir semula, andai itu manusia yang perlu kita berhubung, apakah cara kita berhubung itu sesuai?

seni komunikasi amat penting dalam kehidupan
Bukan bermaksud perlu berubah mengikut keadaan mereka namun adanya seni dalam kita berkomunikasi dan berhubung. Malah hubungan itu juga perlu dibajai dengan kasih sayang dan empati akan mereka. Bukan dengan mengharapkan mereka berubah seperti kita.

Buat sahabat, fikirlah segala yang terjadi dan kembalilah kepadaNya. Kamu masih belum terlambat namun jika tiada sebarang tindakan diambil tunggulah bila mana sahabat yang masih bersama juga akan hilang sayangnya kepada kamu. salam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...