Sunday 16 January 2011

Usrah Dan Rukunnya..

Assalam.. Pekabo teman-teman? Harapnya semua sihat dan sentiasa dalam lindungan serta rahmat dari Allah.. Hari ni Mie nak berkongsi sedikit pengenalan berkenaan usrah. Teman-teman ada join usrah tak? Kalau nak kenal apa itu usrah, Mie boleh terangkan sedikit sebanyak. Jom!
 
Mie rasa tidak perlu diterangkan lagi apakah definisi usrah namun apa yang Mie nak terangkan di sini adalah dari kefahaman Mie sendiri. Usrah sebenarnya bukan sahaja suatu perjumpaan atau pertemuan di dalam bentuk halaqah namun ia sebenarnya lebih daripada itu. Usrah ini sebenarnya satu ikatan yang diikat atas ukhuwah yang disandarkan kepada Allah (ukhuwah fillah) dimana bukan sahaja ikatan yang hanya terikat di dalam sesi halaqah sahaja malah sepanjang masa.

Matlamat usrah sebenarnya bukanlah untuk melahirkan alim ulama tetapi fokus utamanya adalah pembinaan dan ikatan ukhuwah agar kita sentiasa didampingi oleh sahabat-sahabat yang mampu membawa kita kearah kebaikan. Analoginya adalah kambing yang terpisah dari kawanannya akan mudahlah dibaham oleh serigala. Tidak seperti kambing yang hidup di dalam kawanannya akan lebih terjamin keselamatannya.

Seperti yang Mie katakan tadi, sesi usrah bukan hanya berkisar di dalam bentuk halaqah sahaja malah boleh juga dikembangkan ke dalam aktiviti-aktiviti lain seperti berriadah, berkhemah, rehlah, makan-makan dan sebagainya. Sebenarnya aktiviti-aktiviti seperti ini akan lebih mendekatkan ahli usrah dengan kumpulan usrahnya malah akan lebih berkesan berbanding perjumpaan dalam bentuk halaqah.
 
Rukun Usrah
 
1. Taaruf. 
Taaruf bermaksud berkenalan secara mendalam hingga menimbulkan kasih sayang dengan tujuan al-hubbufillah. Firman Allah: 

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara ....."  

Dan Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: “Orang yang beriman dengan orang yang beriman yang lain laksana satu binaan, saling kuat menguat antara satu dengan yang lain”

Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: Kami mengasihi saudara kerana dia adalah saudara pada jalan Allah. 

Di samping itu sikap mahabbah mesti dibuktikan dalam amalan dan penghayatan bukan sekadar teori semata-mata. At-Taaruf ialah kenal mengenal dari bab mufa'alah (daripada dua belah pihak) salbi dan i-jabi (memberi dan menerima)--kenal yang benar-benar, tahu selok-belok tentang saudara kita, supaya kita membuat dan bertindak untuk mengarah sesuatu yang sesuai dengannya.

 
2. Tafahum. 
Tafahum maksudnya bersefahaman. At-tafahum daripada bab mufa'alah juga, bertujuan supaya usrah membuahkan suatu sikap, satu tindakan daripada sama-sama faham, sama-sama beramal iaitu sama-sama menjalankan perintah Allah, tunduk kepada kebenaran, muhasabah diri, muhasabah sama-sama jemaah dan disusuli dengan nasihat menasihati antara saudara (ad-Dinul nasihah). Awas jangan sama sekali nasihat menasihati ini menimbulkan apa-apa perasaan yang tidak senang kepada satu sama lain, baik yang memberi atau menerima, cuba renungkan hadith di atas.


3. Takaful. Rukun ini merupakan dasar membela nasib sesama sendiri, supaya jangan ada orang yang terbiar atau terlantar nasibnya tidak terbela. Maksud rukun ini ialah anggota usrah hendaklah mengambil berat masalah-masalah yang dihadapi oleh saudaranya. Takaful ini merupakan pancaran pekerti yang dilahirkan daripada keimanan, dan merupakan inti sari daripada ukhuwah yang murni.
 
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: Sesungguhnya seorang kamu pergi menunaikan sesuatu keperluan saudaranya lebih baik baginya daripada beriktikaf di masjid aku selama sebulan.

Dan sabdanya lagi, maksudnya: Sesiapa yang telah memasukkan kegembiraan iaitu menghilangkan kesusahan dan kesukaran kepada keluarga muslim, maka Tuhan tidak melihat balasan kepada selain syurga.

Inilah gambaran besar atau kecilnya at-takaful dalam Islam bagi rukun usrah ketiga.

Oklah insya allah di lain masa Mie akan terangkan pula adab-adab di dalam usrah dan sebagainya. Selamat berusrah!

1 comment:

Anonymous said...

info yang menarik abg mie :)

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...