Sunday 22 May 2011

Sayyid Qutb: Contoh Terbaik Pendukung Gerakan Islam

SAIYID Qutb Ibrahim as-Syazili, dilahirkan pada 9 Oktober 1906M/21 Rejab 1324H di Asyut iaitu antara desa/bandar terbesar di Mesir yang mempunyai sebuah universiti terkenal di situ.
 
Beliau disifatkan oleh kebanyakan penggiat seni tanah air di Mesir sebagai seorang penulis, sasterawan, pemikir Islam yang ulung dengan beberapa buah pemikiran dan idea yang cukup bernas dalam menangani isu-isu masyarakat yang dijelmakan ilhamnya itu dalam bentuk penulisan menerusi beberapa karya agungnya yang tersohor.
Saiyid Qutb yang cukup terkenal dengan idea-idea bernas mengakui bahawa beliau terpengaruh dengan pendekatan Parti al-Wafd yang banyak menghasilkan tulisan idea pemikir tersohor ketika itu, iaitu Abbas Mahmood al-Aqqad. Abbas banyak mengkritrik pemerintah pada waktu itu dengan pendekatan yang bukan sahaja tidak selari dengan selera rakyat, malah lari daripada pentadbiran negara berasaskan Syariat Islam.
Setelah menamatkan pengajian peringkat sarjana di Fakulti Darul Uloom, Universiti Kaherah pada 1933, Saiyid Qutb ditawarkan menjadi pensyarah di situ dengan bayaran gaji sebanyak enam pound Mesir (RM6)sebulan.
Pada awal 40-an, beliau ditugaskan menjadi pemantau dalam pembelajaran subjek Kesusateraan Arab di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran. Di situlah timbul minat mendalam beliau untuk menulis mengenai subjek berkenaan dan berjaya menghasilkan sebuah buku mengenainya bertajuk "Kutb wa as-Syahsiyyat" (Buku-buku dan tokoh-tokoh ternama).
Kemudian beliau melebarkan bakatnya dalam alam penulisan dengan menghasilkan buku "at-Taswir al-Fanni fi al-Quran" yang mendapat sambutan hangat di kalangan sasterawan pada ketika itu.
Kecenderungan kepada Ikhwan Muslimun
Saiyid Qutb dipilih oleh Kementerian Pelajaran sebagai salah seorang anggota delegasi Mesir menyambung pelajaran dalam bidang Pendidikan dan Fundamental Silibus pada 1948 iaitu tahun yang sama kematian Pengasas Gerakan Ikhwan Muslimun, Imam Syahid Hasan al-Banna yang ditembak mati di Mesir.
Kematian Imam Hasan amat mengesankan sesetengah rakyat Amerika, berkebetulan Imam Hasan merupakan rakan sekelas dengan beliau ketika menuntut di Universiti Kaherah, namun beliau tidak pernah rapat dan mengetahui perjuangan yang beliau dukungi itu.
Saiyid Qutb bertambah hairan, bagaimana kematian Imam Hasan di Mesir, tetapi disambut besar-besaran di Amerika, di situlah beliau mula cuba menyelami serta mendekatkan diri dengan perjuangan Imam Hasan dan gerakan dakwahnya melalui Ikhwan Muslimun.
Beliau semakin memahami bahawa Ikhwan Muslimun merupakan gerakan dakwah yang bukan sahaja mampu membetulkan fikrah pemerintah, rakyat seluruhnya, malah mampu membentuk peribadi mulia di kalangan umat Islam dengan jiwa yang tunduk kepada perintah Allah SWT.
Beliau tidak menunggu lama, sekembalinya daripada Amerika, beliau menulis sebuah buku mengenai "Amerika yang aku lihat sendiri dari dalam", begitu juga buku tulisannya mengenai hari kiamat sudah mula diterima oleh pendukung-pendukung Ikhwan Muslimun setelah beliau menyatakan hasrat untuk berkecimpung secara aktif sebagai anggota Ikhwan. Beliau mahu menyambung tugas yang ditinggalkan oleh Imam Syahid Hasan untuk membawa umat berpegang kepada Islam, walaupun tidak sempat bersama dengan Imam semasa hayatnya.
Cintanya kepada perjuangan Islam yang diasaskan oleh Imam Syahid Hasan al-Banna semakin menebal dalam sanubarinya. Beliau tidak menyedari bahawa perjuangan itu sebenarnya telah pun diaktifkan ketika sama-sama menuntut di universiti. Kisah ini terjadi pada 1952 ketika Mesir berhadapan dengan satu revolusi yang dicetuskan oleh Ikhwan Muslimun tetapi tidak berjaya.
Beliau yang masih bertugas di Kementerian Pelajaran selepas pulang daripada Amerika sudah mula dihidu oleh pihak tertentu di kalangan rejim Presiden Jamal Abdel Naseer. Beliau sering ditukarkan dari satu pejabat ke pejabat yang lain, dari satu daerah ke satu daerah yang lain bertujuan untuk menekannya, akhirnya beliau menghantar surat perletakan jawatan sebagai pegawai pendidikan pada 15 Oktober 1952.
Selepas berakhir Perang Dunia Kedua, keadaan kehidupan masyarakat dan suasana politik semakin buruk. Kesempatan itu diambil peranan oleh Ikhwan Muslimun untuk melakukan islah dan pemulihan terhadap sistem pentadbiran negara, ekonomi institusi kemasyarakatan untuk dikembalikan kepada Islam.
Saiyid Qutb sebagai salah seorang anggota Ikhwan menulis beberapa buku berkaitan dengan Islam, antara lain buku mengenai "Keadilan sosial dalam Islam" yang mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dan diulang cetak hingga beberapa kali.
Ditangkap dan digantung sampai mati
Presiden Jamal Abdel Naseer dikatakan gagal dalam percubaan untuk membunuhnya pada 1954 oleh pihak tertentu (dan mungkin juga ia satu provokasi). Namun dikatakan bahawa yang menjadi dalang kepada percubaan membunuhnya itu adalah Ikhwan, walaupun pihak berkenaan tidak mempunyai yang menunjukkan mereka terlibat.
Pihak berkuasa mengeluarkan arahan untuk melakukan penangkapan besar-besar teradap anggota Ikhwan, salah seorang daripadanya ialah Saiyid Qutb. Beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dengan menerima pelbagai bentuk seksaan yang tidak pernah dibayangkan beliau sebelum ini.
Penahanan Saiyid Qutb dalam penjara mendapat perhatian mantan Presiden Iraq ketika itu, iaitu Jeneral Abdel Salam Aref yang meminta Presiden Jamal agar membebaskannya. Permintaan itu ditunaikan, Saiyid Qutb dibebaskan pada 1964.
Selepas lapan bulan di luar penjara, beliau sekali lagi ditangkap dan dituduh menghasut rakyat untuk membakar pusat-pusat makmal sebagai tanda untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Presiden Jamal Abdel Naseer.
Pada 29 Ogos 1966, Saiyid Qutb dan tujuh anggota Ikhwan yang lain dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di sebuah tempat yang tidak diketahui oleh sesiapa termasuklah adiknya iaitu Muhammad Qutb yang akhirnya dibuang daerah dan menetap hingga kini di Arab Saudi.
Sebelum menjalani hukuman, Saiyid Qutb ada menyebut, bahawa beliau bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w. malam sebelum digantung. Beliau menunggang kuda putih dan Rasulullah s.a.w. bersalam dengannya dan menegaskan bahawa bertenanglah wahai Saiyid, sesungguhnya kamu telah berjaya mendapat kematian sebagai seorang syahid pada jalan Allah.
Beliau telah meninggalkan satu contoh terbaik kepada pendukung gerakan Islam dari sudut kekentalan dalam berdakwah, di samping meninggalkan karya-karya agung dalam bidang sastera, agama dan rencana-rencana yang menyentuh jiwa, sanubari dan pemikiran manusia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...