Wednesday, 13 July 2011

Uslub Dakwah: Elemen Uslub Dakwah

USLUB HIKMAH
 
Uslub hikmah dalam menyampaikan dakwah dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:
  • Hikmah yang berhubung dengan sifat-sifat pendakwah di jalan Allah hendaklah bersifat menurut sifat-sifat Nabi seperti benar, amanah, bijaksana dan tabligh, berlaku adil, tidak lekas marah, sabar dan mempunyai pengetahuan serta pengalaman yang luas. 
  • Hikmah berhubung dengan isi kandungan dakwah. Ia bermakna pendakwah ke jalan Allah hendaklah menyampaikan isi kandungan dakwah itu dari kandungan Al-Quran dan segala penerangan hendaklah menepati kebenaran serta dalil-dalil yang kuat dan tepat yang boleh mengurangkan keraguan. Kata-kata yang digunakan hendaklah sesuai dengan kemampuan pendengar. 
  • Hikmah yang berhubung dengan alat dan strategi dakwah. Segala alat dan strategi yang digunakan betul-betul sesuai dengan tempatnya untuk mencegah berlakunya kerosakan kepada gerakan dakwah itu sendiri.

USLUB NASIHAT YANG BAIK
 
Nasihat yang baik ialah persanan dan ingatan dengan apa yang disukai oleh orang ramai tentang kebaikan dan mereka bersedia menerimanya dan benci kepada kejahatan serta mereka akan menjauhinya. Boleh juga difahami dengan nasihat yang baik ialah nasihat yang masuk ke dalam hati dengan halus dan mendalam, menembusi perasaan dan jiwa dengan lembut, kerana berlemah lembut dalam nasihat itu biasanya boleh memberi petunjuk kepada hati yang sesat dan boleh menjinakkan hati yang liar dan boleh mendatangkan natijah yang lebih baik. 
 
Cara nasihat yang baik bergantung kepada perbandingan di antara iman dan kufur, antara kebaikan dan kejahatan, antara taat dan maksiat, antara halal dan haram. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan ( Rasul-rasul).” (Ali-‘Imran: 137)


USLUB BERBINCANG DENGAN CARA BAIK
 
Para da’i hendaklah menjalankan dakwahnya dengan mengikuti cara yang lemah-lembut dalam perkataan dan menjauhkan kelakuan yang kasar dan kesat. Gunakanlah sebaik-baik cara berhubung dengan tujuan untuk menjauhkan pendengar-pendengar yang didakwahkan itu dan merasa bahawa pendakwah itu menyerang aqidah yang mereka mempertahankannya. Perancangan cara begini adalah lebih kuat, berpengaruh dan berkesan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka) : “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kamu, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” 
(Al-Ankabut: 46) 

Inilah juga firman Allah s.w.t. kepada Nabi Musa a.s. dan saudaranya Harun a.s. ketika mereka diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada Firaun yang sombong. Sungguhpun begitu, Allah s.w.t. memerintahkan mereka supaya berlemah-lembut. FirmanNya yang bermaksud:

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Taha: 43-44) 

Apabila Allah s.w.t. menyatakan supaya dalam berbincang mestilah dengan cara yang baik, maka para da’i perlulah membuat persiapan terlebih dahulu dan segi hujah, latihan, teknik, berbincang yang terbaik, supaya lahir seorang da’i yang mempunyai karisma yang tinggi dalam berdiskusi.

Kalau tidak adalah lebih baik jika dia tidak memberikan kesanggupan dari awal semasa proses temujanji dilakukan. Kalau ia mempunyai fakta yang lengkap dan cukup jitu, maka ia tidak akan mudah panas baran dan melenting apabila dicemuh atau diserang kerana dia tahu peluru yang ada padanya mencukupi serta mampu menjawab semua hujah musuh atau orang-orang yang diseru kepada Islam.

Pendakwah kadang-kadang mudah naik angin dengan berbagai-bagai soalan kerana tiada persiapan. Dia akan bimbang sekiranya persoalan itu mematikan ideanya untuk berhujah. Boleh jadi ada orang bertanya, jika pendakwah selalu berlembut dan memilih perbincangan dengan cara yang baik maka bilakah masanya akan berlaku keras. Kita menjawab keras boleh berlaku tetapi dalam kadar dan ruang lingkup membalas setara dengan apa yang mereka lakukan.

Kalau dalam peperangan sekalipun Islam tidak cenderung kepada kekasaran tetapi lebih kepada unsur membalas setara dengan apa yang dilakukan. Maka di dalam dakwah sifat ini lebih dituntut kerana peringkat ini ialah peringkat dakwah iaitu seruan dan pemberian maklumat perintah Islam. Manakala, peringkat perang ialah peringkat jihad.

Lagi pula kalau kasar merugikan dan lemah lembut tidak merugikan maka baiklah kita berlaku lembut kerana kita tidak akan cepat kehabisan peluru. Barangkali peluru akan digunakan dengan begitu waspada sekali. Kalau peluru dilepaskan dilepaskan bertubi-tubi dengan begitu kasar sekali boleh jadi kehancuran akan berlaku.

Sedangkan pendakwah tidak lebih dari seorang doktor untuk merawat pesakit supaya ia sembuh bukan bertujuan untuk membunuhnya. Satu hakikat yang sering berlaku ialah musuh lebih mudah hilang pertimbangan dalam menghadapi dakwah samada mereka dari awal-awal lagi menolak apa-apa perbincangan atau mereka lebih mudah cenderung kepada hilang pertimbangan. Contohnya ialah peristiwa pembunuhan anak Nabi Adam a.s. iaitu antara Qabil dan Habil. Qabil sanggup membunuh adik kandungnya sendiri lantaran kerana hilang pertimbangan antara akal dan nafsu.

PENUTUP

Sekiranya segala cara telah dilakukan namun mereka masih menolak dakwah maka para da’ie tidak seharusnya dihantui oleh fikiran bahawa mereka telah gagal melaksanakan amanah mereka. Ini kerana soal hidayah dan penerimaan mad’u terhadap dakwah adalah dalam ruang lingkup kehendak mutlak Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...