Assalam.. Minggu lepas Mie berkesempatan untuk mengikuti lawatan ilmiah untuk subjek pendidikan jasmani dan pendidikan ke Kuala Lumpur. Antara tempat yang kami lawati adalah Majlis Sukan Negara, Universiti Putra Malaysia serta Sekolah Sukan Bukit Jalil. Semuanya berkisarkan kepada pembangunan sukan dan atlet negara. Matlamatnya adalah untuk merangkul pingat di persada arena antarabangsa khususnya di sukan Olimpik dan kejohanan tahunan yang lain.
Dari aspek insfrasruktur bangunan serta kemudahan hingga kepada pakaian atlet, semuanya ditaja dan dibiayai oleh kerajaan. Malah, untuk perbelanjaan makanan sahaja, seorang atlet mendapat sebanyak RM28 sehari. Kemudahan bilik dan hostel berhawa dingin 24jam disediakan. Atlet juga bukan sahaja berlatih di dalam negara malah turut ke luar negara. Contohnya skuad berbasikal berpengkalan di Melbone, Australia dan Datuk Nicol David, ratu squash negara berpengkalan di Amsterdam.
Jadual kehidupan atlet juga dikawal selia oleh pelbagai pegawai dan jurulatih. Bermula dengan bangun pagi seawal 6pagi hingga melelapkan mata pada jam 11 malam, hidup mereka dijadualkan dan berbagai-bagai modul diadaptasi demi mencapai matlamat mengharumkan nama negara. Itu belum dibuka buku rekod perbelanjaan apabila menyertai dan mengendalikan suatu kejohanan sukan di negara kita. Sukan Komenwel 1998 sahaja sudah mencecah beratus-ratus juta.
Sepanjang perjalanan membuatkan Mie terfikir. Negara kita mampu menyediakan pelbagai inisiatif, kemudahan dan prasarana untuk pembangunan sukan dan ekonomi negara, tetapi mengapa tidak untuk pembangunan agama?
Negara sudah mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun dan tahun ini memasuki tahun ke 54. Jika dahulu bangunan pencakar langit hanyalah sekadar angan-angan namun hari ini KLCC dan KL Tower berdiri megah menongkat langit kota raya Kuala Lumpur. Jika dahulu kenderaan di jalanraya boleh dibilang dengan jari namun hari ini kesesakan jalanraya adalah satu panorama biasa di bandar-bandar besar. Malahan pendapatan negara semakin hari semakin meningkat dan berkembang sehingga ke seluruh pelusok desa.
Namun sinar Islam semakin hari semakin malap. Gejala sosial dan murtad menjadi trend muda-mudi masa kini. Keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat semakin sukar dibendung lagi. Kes-kes penceraian meningkat selari dengan kes-kes sumbang mahram. Masyarakat pula lebih suka berpeluk tubuh memejamkan mata memekakkan telinga, hanya melihat sepi setiap permasalahan yang berlaku di depan rumah sendiri.
Mie membayangkan alangkah baiknya jika pembangunan agama dan moral juga diberi layanan yang sama dengan pembangunan sukan dan ekonomi negara. Ditambah lagi keperluan untuk meningkatkan perkembangan dan peluang dakwah di Malaysia masih luas dan memerlukan banyak kepakaran untuk menjayakannya. Isu orang asal (asli) beragama islam yang masih lemah pegangannya masih tidak menampakkan tanda-tanda akan bertambah pulih. Dengan keupayaan jabatan agama dan jabatan orang asli masih tidak mampu untuk menyelesaikan masalah ini.
Mengapa tidak diangkat pembangunan agama ini ke tahap yang lebih tinggi? Jika aspek sukan mampu dilaksanakan, masakan untuk agama yang suci ini mustahil? Jika ada sekolah sukan, kerajaan juga boleh mengadakan sekolah dakwah! Hidup penuntutnya juga berjadual dengan pengajian aliran perdana dan juga modul-modul dakwah serta tarbiah. Paling mudah, paginya ke kelas biasa. Petangnya ke kelas intensif modul dakwah serta tarbiyyah. Malamnya waktu ulangkaji pelajaran.
Modul-modul boleh dibentuk dan dibincang oleh pelbagai pihak dengan bertujuan mendedahkan mereka dengan kemahiran-kemahiran dakwah serta tarbiyyah yang lebih releven serta mampu memberi kesan dalam usaha menjalankan dakwah. Modul khas untuk pelbagai lapisan dan tahap mad'u seperti golongan kanak-kanak, remaja, orang dewasa, warga emas, profesional, penjenayah dan sebagainya. Boleh juga dispesifikkan kepada golongan terpelajar, warga dalam dan luar bandar serta berbagai-bagai lagi yang boleh difikirkan bersama.
Jika kerajaan mampu mewujudkan Majlis Sukan Negara, mengapa tidak juga diwujudkan Majlis Dakwah Negara? Sebuah badan yang bertanggungjawab untuk mengurus dan mengelola graduan-graduan dakwah ini dalam menjalankan gerak kerja dakwah bukan sahaja di dalam negara, malah seluruh pelusok dunia. Pendakwah-pendakwah ini dihantar untuk membantu umat islam di seluruh dunia yang memerlukan bantuan khususnya dalam hal-hal berkaitan pengajian dan penyebaran dakwah islam. Kita dapat melihat masalah berkaitan umat islam masih jauh dari jalan penyelesaian. Di Kemboja, China, Filipina, Amerika dan Eropah misalnya, gerak kerja yang bersepadu dan menyeluruh amat diperlukan.
Bahkan di dalam negara sendiri, pendakwah ini boleh dihantar ke seluruh negara untuk menyampaikan cahaya islam khususnya di kawasan yang sukar untuk dimasuki seperti kawasan pedalaman, pulau-pulau dan sebagainya. Ini akan meningkatkan peluang dan seterusnya menjadikan agama itu sebagai kekuatan utama dalam masyarakat dan negara. Apabila agama bertahta, sesungguhnya rahmat dan berkat Allah akan menyirami bumi Malaysia ini.
No comments:
Post a Comment