Friday, 22 April 2011

Agenda-Agenda Sekuralis Menentang Kebangkitan Islam.

Pandangan hidup yang mempersetankan (mengkesampingkan) agama dan menganggap agama sebagai suatu halangan ke arah mencapai tahap kemodenan dan kemajuan madani memang wujud dalam masyarakat moden sekarang. Walhal menurut para pengkaji sejarah, bangsa primitif sekalipun yang telah membina berpuluh-puluh tamadun purba rata-rata menjadikan agama sebagai asas tamadun mereka. 

Malangnya dewasa ini masih terdapat ‘spesis’ manusia zaman moden yang melihat agama sebagai beban dan tidak relevan dengan kehidupan manusia. Mereka melihat agama sebagai sumber perpecahan dan pertentangan. Kehidupan ini menurut mereka tidak ada kaitannya dengan Tuhan dan Tuhan tidak boleh dibabitkan dalam kehidupan manusia samada untuk mengatur negara, kepimpinan politik dan pengagihan kekayaan atau pelaksanaan undang-undang. Pembabitan Tuhan hanya akan menyusahkan manusia. Dalam politik, Tuhan tidak ada. Kalau adapun Tuhan harus dihalang dari terlibat atau masuk campur dalam urusan kenegaraan manusia. 
 

Nilai-nilai halal haram, baik buruk Tuhan hanya membawa musibah dan pergaduhan kaum. Nilai-nilai itu adalah nilai kuno dan kolot. Manusia mesti mengharamkan Tuhan dari terlibat atau dilibatkan. Tuhan bukan soal pokok, yang penting ialah perpaduan, kesejahteraan ekonomi, kesenangan hidup dan lain-lain. Tuhan perlu dihalang dari menguasai mana-mana bidang hidup kecuali dalam hubungan ibadat
khusus yang terhad.  

Sebenarnya fahaman sekularisme menganjurkan agar umat Islam berpegang kepada suatu prinsip dan nilai baru yang berasaskan skeptisisme terhadap semua bentuk pengetahuan objektif. Skeptisisme atau keraguan terhadap kebenaran juga merupakan asas yang mencorakkan budaya dan pemikiran golongan sekularis. Akibat langsung dari minda skeptik ini, sekularis melihat agama bersama kitabnya tidak lebih dari suatu bentuk naratif besar (grand-narrative) yang tandus sifat kekudusannya dan dapat dipersendakan dalam permainan bahasa dan imaginasi kreatif yang mencampuradukkan realiti dan fantasi. Persoalan kebenaran dan kebolehan untuk bersikap objektif akan diketepikan sebagai suatu yang mustahil untuk dicapai. 

Golongan sekularis telah menggantikan prinsip-prinsip kebenaran dengan beberapa prinsip baru, di antaranya prinsip ketiadaan suatu yang benar (no truth), kehampaan, realiti (no reality), kegersangan makna (no meaning), kepelbagaian (multiplicities), kesamarataan (equal representation) dan keraguan yang menyeluruh (total doubt). Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah apabila prinsip ini meminggirkan nilai ketuhanan dan menggantikannya dengan sesuatu bentuk pergantungan mutlak kepada rasional. Tegasnya ta’ akul rasional dijadikan sebagai pusat gravitinya.

Akibat prinsip-prinsip di atas mula bertapak kukuh dalam pemikir-pemikir sekularisme dan pendokongnya, mereka terus melangkah untuk memastikan prinsip-prinsip ini tidak akan mendapat saingan atau ancaman. Justeru menyedari Islam sebagai satu-satunya agama yang mampu mengancam mereka, maka tindakan untuk
membunuh prinsip-prinsip, sistem-sistem dan manifestasi-manifestasi Islam dilakukan dengan aktifnya oleh golongan ini. Mana-mana ruang yang digunakan oleh pendokong-pendokong Islam untuk menampilkan wawasan Islam akan dihancurkan. 

Golongan pejuang kebenaran Islam akan dilabelkan dengan label-label yang jahat lagi hina. Lalu timbullah tuduhan-tuduhan bahawa golongan pejuang Islam dianggap ekstrimis dan ganas. Tidak cukup dengan itu, golongan sekularis akan sentiasa menakut-nakutkan rakyat dan sesiapa sahaja yang mahukan kebenaran Islam. Kononnya manusia dan dunia ini akan musnah jika golongan pejuang kebenaran Islam diberi peluang untuk mentadbir dan memerintah dunia. 

Suatu yang lebih menarik lagi golongan sekularis telah juga mewujudkan institusi-institusi dan aliranaliran
gerakan yang menentang perjuangan Islam. Institusi-institusi ini akan terus menerus berperanan untuk meliberalkan pemikiran umat Islam dan menggantikannya dengan suatu pandangan hidup (world view) yang berimejkan sekularisme.

Antara agenda sekularis yang berjaya dilaksanakan dalam masyarakat umat Islam
ialah seperti berikut:

~ Memburuk-burukkan wawasan Islam 
 
~ Menakut-nakutkan kerajaan dan rakyat terhadap Islam dan gerakan Islam

~ Menggilap imej aliran dan gerakan yang menentang Islam 
 
~ Menilai gerakan Islam dengan pengalaman sejarah dan epistemologi Barat 
 
~ Mengajukan beberapa strategi penting kepada kerajaan sekular negara-negara Islam untuk membendung dan melemahkan kebangkitan Islam dari sudut politik

~ Membantu kerajaan sekular dari sudut ekonomi agar ia memiliki keabsahan di mata rakyat untuk terus berkuasa. 
 
~ Memusnahkan secara langsung atau tidak langsung kekuatan Islam yang mungkin akan muncul sebagai negara Islam samada di rantau Balkan maupun di tempat-tempat lain di dunia. 
 
Menyedari bahaya ‘octopus’ sekularisme yang begitu bercapah dan sulit maka usaha untuk menghadapinya juga haruslah berbagai bentuk dan menyeluruh. Gerakan yang menghalang proses sekularisme mestilah merangkumi aspek pendidikan, sosio budaya, politik, ekonomi, pentadbiran, undang-undang dan lain-lain . 

Sumber: 
MEMBINA KEKUATAN UMAT
MENANGKIS SEKULARISME1
Oleh :
Haji Abd. Ghani Samsudin
Yang Dipertua
Persatuan Ulama’ Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...