Wednesday, 8 September 2010

Di Penghujung Madrasah Ramadhan..

Hari ini sudah masuk hari ke dua puluh sembilan puasa iaitu di penghujung bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Tinggal sehari lagi umat islam akan menyambut hari raya aidilfitri. Masing-masing sibuk dengan pelbagai persiapan untuk menyambut hari yang ditunggu-tunggu setelah sebulan berpuasa. Ada yang masih sibuk menyusun kuih di atas dulang untuk dibakar, ada yang masih sibuk menggunting kain untuk dijahit, ada yang masih sibuk berasak-asak di pasaraya dan banyak lagi ragam sibuk yang dapat kita disaksikan.

"Ramadhan itu ibarat peperiksaan. Syawal itu adalah hasil peperiksaan dan 11 bulan seterusnya adalah tempoh keputusan itu diguna pakai"

Baru-baru ni Mie berpeluang menghadiri satu program muqayyam dan semasa kuliah subuh, seorang ustaz telah menitip kata-kata ini yang pada Mie cukup baik untuk kita renungkan bersama. Di dalam bulan ramadhan, kita diuji dan dilatih untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dan memperbanyakkan amalan ibadah. Kita menyahut setiap cabaran dan dugaan dalam menunaikan setiap ibadah di bulan ramadhan. Dengan berpuasa di siang hari, berterawih dan berqiamullail di malamnya malah hari-harinya dipenuhi dengan aktiviti membaca al-quran, bertadarus, bersedekah dan seumpamanya. Di akhirnya dilengkap bulan ramadhan dengan zakat fitrah bagi mereka yang berkemampuan.

Antara kita secara sedar atau tidak, semuanya mengajar kita untuk mendekatkan diri dan jiwa kita kepada sang pencipta yang maha esa. Malah di dalamnya juga segala amalan dilipat gandakan ganjarannya. Amalan sunat diberikan pahala amalan wajib dan amalan wajib pula digandakan sehingga 700 kali ganda. Disediakan pula satu malam yang dinamakan malam lailatul qadar yang mana amalan yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik dari seribu bulan.Menunjukkan kepada kita betapa pemurahnya Allah kepada hamba yang mencari keredaanNya.

Maka sekalian kalinya dapat kita melihat berduyun-duyun umat islam berlumba-lumba melakukan amal ibadah di bulan ramadhan namun apabila tiba di penghujungnya, hanya tinggal beberapa kerat sahaja yang masih istiqamah memenuhi ruang-ruang yang ada dengan amal ibadah. Yang selebihnya sibuk dengan pelbagai persiapan untuk menyambut perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi. Seolah-olah sudah pasti akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam ujian ini sedangkan ujiannya masih belum tamat.

Di bulan syawal pula masjid-masjid dan surau kembali sunyi, mati dari aktiviti-aktiviti kerohanian. Jika pada ramadhannya penuh dengan manusia yang berlumba-lumba untuk mengimarahkannya, namun apabila syawal menjelma, kembali sunyi dan sepi seperti bulan-bulan sebelumnya. Menunjukkan keputusan yang diperolehi adalah gagal, gagal dalam membentuk umat yang isitiqamah dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagaimana di bulan ramadhan.

Dan akhirnya di bulan-bulan seterusnya, kegagalan itu terus dibawa ke dalam kehidupan. Kita dapat melihat bagaimana umat islam semakin lemah dan terus hanyut dengan penyakit yang disebut oleh rasulullah di dalam hadisnya iaitu cintakan dunia, takutkan kematian. Masing-masing terus hidup dalam kesempitan akal untuk berfikir dan menjalani kehidupan berlandaskan syariat yang telah termaktub dalam Al-Qur'an dan sunnah rasulullah. 

Budaya tamak, memfitnah, menghasut, berbohong, menipu dalam kalangan pemimpin masyarakat semakin menjadi-jadi demi kelangsungan politik perkauman yang jelas dan terang diwarisi dari masyarakat jahiliah. Penyakit masyarakat pula semakin membarah dengan kes-kes gejala sosial dan jenayah berleluasa tanpa dapat dikawal. Kehidupan seharian dipalit noda dan dosa dek kerana ceteknya ilmu dan pengetahuan agama sehinggakan yang haram dihalalkan dan yang halal diharamkan.

Justeru itu, marilah kita sama-sama merenung kembali ramadhan kita pada kali ini. Adakah ujian ini sudah cukup untuk membawa keputusan yang cemerlang yang akan merubah keadaan umat islam hari atau sebaliknya. Gunakanlah sedikit ruang yang ada disaat ini untuk kita terus memperbaiki diri, jiwa dan akal fikiran kita sebagai persiapan untuk menghadapi 11 bulan yang mendatang kelak. Sekian, Wassalam..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...