Sunday, 13 June 2010

Ada Apa Kaitan ISA Dengan Melayu?

Melayu, suatu perkataan yang amat keramat di bumi Malaysia. Jika dahulu nama melayu amat digeruni oleh seantero nusantara dek kerana keris dan silatnya yang cukup berbisa, kini nama melayu semakin terhakis taring panjangnya. Mengapa?

Mie pulang bercuti di kampung dan sempat bersembang-sembang dengan rakan karib Mie sewaktu bersiar-siar di pantai. Bermula dengan topik-topik hangat di tanah negeri Mie hingga kepada isu nasional. Suatu pandangan menarik telah diutarakan. Menurutnya, " ISA adalah keris orang melayu pada hari ini!". Bukan main terkejut Mie mendengar pernyataannya.

Hujahnya, ISA digunakan oleh pemimpin-pemimpin melayu negara untuk mengawal dan menjaga kestabilan politik negara dari ancaman kaum-kaum lain di Malaysia. Ini disebabkan jika dilihat kepada kiraan parti politik di negara kita, parti utama orang melayu hanya sebanyak dua buah iaitu PAS dan UMNO. Manakala parti bukan melayu lebih banyak iaitu Cina mempunyai 3 buah parti (DAP,MCA,Gerakan) dan India sebuah iaitu (MIC). Parti multiparti tidak dikira iaitu KEADILAN. Ditambah pula akhir-akhir ini orang bukan melayu begitu ghairah mempertikaikan hak-hak orang melayu. Oleh itu, ISA masih releven dan perlu dipertahankan agar orang melayu tidak hilang hak-hak keistimewaannya.

Menurut rakan Mie juga, jika dilihat di zaman Tun Dr Mahadhir, orang bukan melayu tidak berani untuk mempertikaikan hak-hak orang melayu namun bermula di zaman Tun Abdullah Badawi, mereka mula berani bersuara. Ini disebabkan Dr M menggunakan kekerasan (ISA) manakala Pak Lah menggunakan kelembutan (kebebasan bersuara). Dari pemerhatian Mie, pandangan rakan Mie itu tak ubah seperti seorang pemuja Dr M. Sehingga akhir sembang kami, dia masih mempertahankan setiap tindakan Dr M. Mie hanya tersenyum kerana Mie faham, dia tidak memahami sejarah dengan sebaik-baiknya. Hanya melihat sejarah yang digarap oleh mereka-mereka yang pro-Dr M seperti Ibrahim Ali dan sebagainya.

Bagaimana dengan Mie? Pendirian Mie bagaimana?

Yup, setiap hujah yang diutarakan oleh teman Mie itu ada benarnya. Hujah lahir daripada pemikiran, pemikiran lahir daripada perspektif dan perspektif lahir daripada pengetahuan. Itu pandangan teman Mie. Sekarang giliran Mie pula.

Pertama, jika kita lihat hujah pertama teman Mie iaitu ISA sebagai keris orang melayu masa kini, Mie tidak bersetuju. Jika kita lihat kini, ISA sebenarnya digunakan oleh pemerintah untuk mempertahankan kedudukan mereka. Ini termasuk menahan orang melayu sendiri khususnya dari parti yang tidak sebulu dengan mereka. Lihat sahaja operasi lalang yang dijalankan pada tahun 70an dan 80an di mana ISA digunakan untuk menangkap pemimpin-pemimpin pembangkang dan pemimpin-pemimpin UMNO yang bukan dari kem mereka sendiri. Mie yakin teman Mie itu masih belum hadam akan tragedi bersejarah MEMALI. Peristiwa yang mengorbankan ramai pejuang-pejuang Islam dan penentang akta yang bernama ISA!

Jika mahu melayu bangun dan gah semula, Mie yakin pemerintah hari inilah yang patut dimasukkan ke dalam ISA! Merekalah yang menggadaikan maruah melayu dengan mengurangkan kuasa sultan dan raja melayu, menggadai tanah melayu kepada syarikat dan jutawan cina, memencilkan tulisan jawi, memansuhkan pembelajaran sains dan matematik dalam BM, serta banyak lagi pengkhianatan yang sudah tidak terhitung lagi. Jika dilihat di mana kedudukan melayu kini, amat malu untuk ditulis di blog ini. Terlalu ramai anak-anak muda melayu yang hanyut dan leka dengan dunia rempit, bohsia, mat gian, punk, kaki botol, tahik judi dan jahil agama. Anak-anak yang berjaya ke menara gading pula dibebani dengan hutang PTPTN yang tinggi dan peluang pekerjaan yang semakin meruncing. Jasa siapa untuk semua ini? Jasa pemerintah hari ini.

Justeru itu, bagi diri Mie ISA tiada kaitan dengan orang melayu. Perlembagaan yang adil dan utuh sudah cukup untuk melindungi hak-hak orang melayu disamping pemimpin yang bertanggungjawab dan amanah. Ingatlah kata-kata Hang Tuah, Takkan Melayu Hilang Di Dunia.. Jika melayu tahu bagaimana untuk mencorak dunia..

Saturday, 12 June 2010

Cerita Dari Johor-Melaka: Masyarakat FELDA


Salam. Mie baru balik dari satu program. Jadi hari ni baru sempat nak update blog ni. Dalam post yang lepas mi dah janji untuk ceritakan pengalaman mi dalam percutian ke Johor dan Melaka Minggu lepas. Jadi dalam post ni mi cuba untuk ceritakan sedikit sebanyak pengalaman mi di sana.

Dalam perjalanan ke Johor, Mie banyak melalui kawasan ladang kepala sawit. Dalam kawasan ladang kelapa sawit sudah tentu akan ada kawasan penempatan Felda. Mie sering mendengar dan tentu sahabat yang lain juga mungkin mengetahui, terdapat banyak masalah sosial yang berlaku di kawasan Felda. Terdapat berita-berita tentang penagihan dadah, sumbang mahram, kecurian dan keruntuhan akhlak yang sering kita dengar. Timbul satu persoalan mengapa ini semua terjadi? Adakah benar semua berita itu?

Mie mempunyai beberapa orang kawan yang berasal dari masyarakat FELDA. FELDA mana tu biar Mie jela yang tahu. Mereka amat baik, tampak jauh dari masalah-masalah yang digembar gemburkan oleh masyarakat. Malah mereka amat bagus dalam melakukan kerja dan tugasan. Malah mereka juga boleh menjadi rakan yang baik, boleh dibawa berbincang, memahami dan meluahkan pendapat.

Namun ada suatu yang pada pemerhatian Mie, yang mungkin dapat menjawab mengapa masalah-masalah yang ditimbulkan itu berlaku. Pertama adalah kurangnya pemahaman agama dan pengamalan dalam kehidupan seharian. Konsep beragama yang dipegang amat sempit, malah untuk bercakap berkenaan hal-hal agama, mereka sering sahaja mengundur diri. Seolah-olah agama merupakan 'taboo' dalam kehidupan dan tidak boleh dibincangkan.

Inilah merupakan faktor utama, mengapa masyarakat FELDA yang 100% adalah orang melayu tidak dapat memahami konsep-konsep yang dalam Islam yang sebenarnya. Apabila ditimbulkan isu politik di masjid, hukum hudud dan pentadbiran islam contohnya, mereka tidak dapat memahami konsep dan definisi yang sebenar. Apabila tidak memahami perkara tersebut, mereka akan menolaknya kerana takut akan mengugat kehidupan mereka. Ditambah pula dengan provokasi dan maklumat yang salah serta sudah diputar belit oleh pihak yang tidak senang dengan islam, mereka akan mula mengamuk membabi buta tanpa memahaminya terlebih dahulu.

Kedua adalah kerana mereka tidak didedahkan dengan maklumat yang benar dan tepat. Kebanyakan masyarakat FELDA khususnya yang berada jauh dari kawasan yang lebih maju seperti bandar atau pekan hanya menerima maklumat dari surat khabar, televisyen dan radio yang dikawal oleh pihak pemerintah. Justeru itu apabila sesuatu perkara itu dilihat mengancam atau merugikan pihak pemerintah akan ditapis dan dibuang. Kebanyakan perkara diputar belit untuk mengelirukan pembaca dan pendengar. Malah sesuatu yang buruk akan dihias cantik untuk menutup keburukan yang ada.

Oleh yang demikian, peranan daie atau pendakwah amat diperlukan dalam usaha untuk menjernihkan kembali kekeruhan di dalam masyarakat FELDA. Program penerangan dan dakwah yang sistematik dan berhikmah hendaklah diselaras dengan berkesan serta memenuhi semua keperluan segenap lapisan masyarakat. Apabila kekusutan dalam mentafsir agama dan pengamalanya berterusan, insya allah segala masalah yang telah timbul dan mungkin akan timbul lagi akan dapat diselesaikan dan diatasi.

Pihak kerajaan sepatutnya memberi perhatian dalam pembinaan jati diri dan keutuhan agama dalam masyarakat yang berada di bawah salah satu agensinya. Bukan isu pemilikan tanah atau pembangunan prasarana dan binaan masjid atau surau yang menjadi isu di sini tetapi pengisian kerohanian dalam masyarakat itu sendiri. Masyarakat FELDA juga sepatutnya tidak disekat untuk mendapatkan sebarang maklumat dan informasi dari luar kawalan pihak kerajaan.

Parti-parti politik dan badan NGO juga perlu memainkan peranan yang lebih prograsif dalam mengisi kelompongan yang ditinggalkan oleh pihak berwajib dalam memberi kesedaran dan kepelbagaian sumber maklumat. Satu perancangan yang dirancang secara kolektif hendaklah difikirkan dan disepakati dalam usaha menyelamatkan masyarakat FELDA.

Thursday, 10 June 2010

Cuti-Cuti Malaysia: Johor-Melaka 2010

Salam.. Pekabo teman? Harap-harap sihat sejahtera.. Mie baru je balik dari cuti-cuti Malaysia dengan family. Saje dah lama tak jalan-jalan dengan family. Jauh perjalanan, luas pemandangan. Banyak yang Mie dapat lihat, belajar dan berfikir, guna untuk jadi petunjuk di masa hadapan. Nantilah di lain masa Mie akan postkan pengalaman mi 2.. Hari ni nak upload gambar je dulu. Kalau berkesempatan baru post sal tu..hehe




Singgah makan tengahari dengan berbekal dari rumah di Tasik Sungai Besi, Kemaman.


Tu dia, pelbagai kraf tangan dan pasu menjadi daya tarikan di Ayer Hitam, Johor.


Kerepek ubi, pisang, keladi dan lain-lain amat popular di Ayer Hitam, Johor. Habis jenis Mie merasa kerepek yang dihulur peniaga..hehehe


Mak Mie rambang mata untuk memilih pasu yang nak dibeli. Hasilnya tiga buah pasu disapu dan diangkut ke Terengganu..hehe


Deretan kedai kain di Tangkak Johor menggamit mak Mie.. hehehe


Shoping kain kat Tangkak Johor. Mie serba salah nak beli atau tak untuk si Dia Mie sorang tu. huhu



Pintu masuk Kota A'Famosa. Mie bayangkan besar cam pintu gerbang. Rupa-rupanya kecil je..


Kubu asal yang dibina oleh Portugis apabila berjaya menawan Melaka daripada kesultanan Melayu Melaka.


Jam besar tempat tumpuan pelancong.


Beca berbunga. Siap dengan lagu lagi..hehehe


Ni kat kincir air zaman kesultanan melayu melaka.



Bergambar kenangan kat kapal pe tah namanya kat Muzium Samudera.


Malaysia memang indah. Cuma lagi indah apabila islam tertegak dan teguh memayungi segenap lapisan masyarakat.

Sunday, 6 June 2010

Cerita Beruk


Salam. Semalam aku berkesempatan menjejakkan kakiku ke sebuah program ceramah isu semasa. Aku tertarik dengan satu analogi yang digunakan oleh sang penceramah. Tajuknya adalah "Cerita Beruk".

Setelah seekor beruk telah mati ketika dalam perjalanan balik ke hutannya. Mayatnya ditanam oleh puak-puak beruk yang lain. Lalu datanglah malaikat untuk menjalankan soal di alam kubur. Oleh kerana di alam tersebut tidak lagi dapat menipu,akhirnya beruk tersebut mengaku telah melakukan dosa ketika hidupnya.

Malaikat: Hai beruk, apakah dosa kau ketika hidupmu di dunia?

Beruk: Aku telah berzina.

Malaikat: Apa, kau telah berzina?! Tahukah engkau itu merupakan satu dosa yang besar?

Beruk: Aku tidak mengetahui kerana ibu bapaku tidak pernah mengajarkan ku akan hukum halal dan haram ketika di dunia. Malah mereka tidak pula melarangku ketika aku melakukan dosa itu.

Setelah mendengar kenyataan beruk itu, maka malaikat pun memanggil ibu bapa beruk tersebut.

Malaikat: Hey ibu bapa beruk, kenapa kamu tidak mengajar anak mu ni akan hal-hal hukum hakam ketika hidup di dunia dahulu?

Ibu bapa beruk: Hoi, mengapa kami yang perlu mengajarnya? Kami telah menghantarnya ke sekolah, ke universiti beruk. Mengapa ustaz dan ustazah beruk tidak mengajarnya?

Setelah mendengar kenyataan ibu bapa beruk tersebut, maka dipanggil pula ustaz dan ustazah beruk.

Malaikat: Hey ustaz dan ustazah beruk, mengapa kamu tidak mengajar anak beruk kepada ibu bapa beruk ini akan hukum hakam agama ketika di dunia dulu?

Ustaz ustazah beruk: Kami telah mengajarnya namun hanya 10 jam je sebulan.

Malaikat: Mengapa sikit sangat tempohnya? Sedangkan subjek-subjek lain seperti matematik, sains dan bahasa inggeris kamu mengajar sehingga 30 jam sebulan?

Ustaz ustazah beruk: Manalah kami tahu. Kami hanya mengikut arahan dari kementerian beruk.

Setelah mendengar kenyataan ustaz dan ustazah beruk itu, maka malaikat pun memanggil menteri beruk yang memegang kementerian tersebut.

Malaikat: Hey menteri beruk, mengapa kamu memendekkan tempoh mengajar agama berbanding tempoh mengajar subjek-subjek lain? Tahukah kamu agama itu suatu yang penting?

Menteri beruk: Ikut suka akulah. Aku ni menteri. Malah masyarakat beruk dah memilih aku dalam pilihanraya. Kau tanyalah mengapa mereka memilih aku.

Setelah mendengar kenyataan menteri beruk itu, maka malaikat pun memanggil seluruh masyarakat beruk.

Malaikat: Hey masyarakat beruk. Tahukah kamu menteri yang kamu pilih ini telah meletakkan agama lebih rendah dari perkara lain di dunia dahulu? mengapa kamu mengundinya?

Masyarakat beruk: Manalah kami tahu dia akan berbuat demikian. Kami mengundinya kerana dia telah memberikan pembangunan, kemewahan dan kesenangan kepada kami.

Setelah diteliti segalanya, akhirnya seluruh masyarakat beruk dihumban ke dalam neraka. Hanya kerana satu dosa oleh seekor beruk, maka habis seluruh puak-puak beruk dihumban ke dalam neraka.


Moral Value: Sama tak masyarakat kita hari ini dengan masyarakat beruk dalam cerita tersebut? Adakah kesudahan kita sama seperti mereka? Renungkanlah..

Thursday, 3 June 2010

Zoom In: Bengkel Pengukuhan Program Semester 2, 2010

Salam.. Pada 1 Jun 2010, Persatuan Intelektual Mualim telah menjalankan satu bengkel iaitu Bengkel Pengukuhan Program di Dewan Peperiksaan IPGKB. Bengkel ini bertujuan untuk semua komponen di dalam organisasi menyiapkan kertas kerja dan pelan tindakan yang diperlukan untuk menjalankan program. Apa lagi, layan...

Semua peserta mengambil tempat.



Yang berbaju oren tu aku la..


Semua jawatankuasa bertungkus lumus untuk menyiapkan tugasan.


Masing-masing menjalankan tugas mengikut peranan masing-masing.


Penerangan secara lebih terperinci melalui perbincangan terus dengan komponen


Sempat lagi senyum..hihi



Dewan disusun semula selepas digunakan.

Terima kasih kepada semua yang hadir dan menjayakan bengkel ini. Segala penat lelah saudara saudari diharap akan mendapat balasan syurga di akhirat kelas. Sekian..

Dah Sedia Nak Pindah Tapi....


Salam teman-teman. Aku baru sahaja siap mengemas barang-barang untuk berpindah ke rumah sewa selepas nama aku telah naik untuk tinggal di luar. Semua barang dah siap kemas kecuali baju, makanan dan speaker gegar aku tu.. Tapi masalahnya, rumah sewa pun tak dapat lagi daa.. Ingat esok nak cuba cari kat kawasan-kawasan ni dengan keri. tengok la camne..Huhu

Rasa baru lagi masuk ke bilik ni, selepas ditukarkan dari bilik DC9. Namun hakikatnya aku akan pergi juga meninggalkan segala kenangan, ingatan dan bayangan semasa bermastautin di bilik ni. Insya allah kehidupan baru di alam rumah sewa akan datang membuka folder baru dalam memori ingatanku. Walau apapun, yang lama tetap dikenang jua.

~ Masa lepas adalah sejarah ~

~ Masa depan adalah impian ~

~ Masa kini adalah realiti ~

Monday, 31 May 2010

Konvoi Gaza: Umat Islam Patut Malu!


Hari ini satu peristiwa berdarah telah berlaku iaitu tragedi konvoi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza di mana dilaporkan 16 orang aktivitis pro-palestin terbunuh manakala ramai yang cedera. Konvoi yang bertolak dari Turki itu telah diserang oleh komando tentera Israel laknatullah dalam perairan antarabangsa iaitu kira-kira 65km dari perairan Gaza. Konvoi tersebut yang juga disertai oleh beberapa NGO dari Malaysia diketuai oleh seorang warga turki, Bulent Yildirim.

Serangan yang memang sudah dijangka itu bagiku tidak mengejutkan. Sebelum ini pun Israel telah memberi amaran untuk menghalang konvoi tersebut dari sampai ke Semenanjung Gaza walau dengan apa cara sekalipun. Dan hari ini serangan itu memang terjadi dalam melakar sejarah dunia.

Namun bukan itu yang bermain dibenak fikiranku. Jauh disudut hatiku, tertanya-tanya dimanakah tentera-tentera negara islam yang sepatutnya mengiringi konvoi itu untuk rakyat Palestin di Semenanjung Gaza? Adakah kerana perlu berdepan dengan tentera Israel, masing-masing membatukan diri?

Konvoi itu hanya diketuai oleh seorang presiden sebuah yayasan kecil untuk membantu rakyat palestin yang sehingga hari ini hidup dalam kandang Israel. Mereka dinafikan sebuah kehidupan yang aman, bebas dan peluang-peluang hidup sedikit demi sedikit ditutup. Malah tanah air mereka semakin hari semakin mengecil. Rumah-rumah dan ladang-ladang milik rakyat palestin dimusnahkan untuk dibina penempatan haram baru yahudi.

Usaha seorang umat islam yang berjiwa mulia tersebut hanya dipandang sepi oleh negara-negara Islam. Hanya negara Turki yang dilihat cuba untuk membantu mereka. Namun negara arab lain seperti Arab Saudi, Qatar, Syria, Jordan dan sebagainya hanya memandang kosong konvoi tersebut walhal rakyat palestin adalah berbangsa arab, bukan berbangsa Turki. Begitu juga negara-negara Islam lain. Malaysia yang mengaku sebagai sebuah negara Islam yang hebat pembangunannya hanya membisu seribu bahasa.

Dan apabila serangan telah berlalu, masing-masing cuba menjadi hero dengan mengutuk tindakan zionis jahanam itu. Malah Liga Arab dengan segera mencadangkan diadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan tragedi itu. Masing-masing berlumba-lumba cuba menjadi jaguh untuk menyelamatkan konvoi tersebut. Cukup dramatik dan menjadi lakonan itu. Walhal sebelum konvoi tersebut diserang, apakah ada tindakan dari mana-mana pihak untuk melindungi mereka?

Umat Islam Patut Malu!

Umat islam patut malu atas tragedi ini. Masing-masing lebih mementingkan diri sendiri, negara sendiri, perut sendiri berbanding saudara seagama kita di sana. Kerana apa? Kerana agama telah dibuang sejauh-jauhnya dari hidup mereka. Agama hanya dipandang seperti sehelai baju, yang akan dipakai bila sesuai dengan majlis atau tempatnya.

Namun bila menjalani kehidupan, menyusun dan mentadbir negara, menjana ekonomi, menggubal dasar dan sebagainya, agama ditinggal jauh-jauh dari menjadi bahan rujukan dan ukuran standard. Ideologi-ideologi rekaan manusia seperti liberisme, sekularisme, nasionalisme, kapitalisme dan komunisme menjadi rujukan utama dalam kehidupan. Agama hanya digunakan bilamana mahu dihalalkan atau diharamkan sesuatu mengikut serakah nafsu durjana masing-masing.

Itulah umat islam hari ini. Menyalak bila diketuk, membatu bila yang lain pula diketuk. Cukup mementingkan diri sendiri. Inilah hasil didikan daripada sistem-sistem dan dasar-dasar yang digubal oleh ideologi-ideologi manusia, yang sebenarnya hanyalah jarum-jarum yahudi laknatullah untuk menghancurkan umat islam.

Justeru itu, marilah kita kembali kepada Al-Quran dan As-sunnah, yang telah diwariskan oleh Baginda Rasulullah kepada umat Islam. Berdampinganlah dengan para ulama-ulama yang benar-benar ingin membawa umat islam ke jalanNya. Jatuhkanlah para pemimpin yang gila rasuah, lembu kepada zionis yahudi. Kerana masih belum terlambat untuk kita merubah hari esok yang lebih baik dan adil untuk umat islam sejagat.

Friday, 28 May 2010

Fitnah: Menjadi Lumrah Di Akhir Zaman

Fitnah, satu perbuatan yang pada mata aku bermaksud pertuduhan yang direka-reka untuk menjatuhkan seseorang. Sejak bermulanya sejarah Islam, fitnah ke atas Islam dan penganutnya terus dilemparkan, khususnya kepada mereka yang mendokong agama yang benar ini. Bermula di zaman Rasulullah, baginda difitnah sebagai ahli sihir, pengkhianat dan pembelot kerana menyebarkan kalimah Allah di muka bumi ini. Seterusnya di zaman sahabat-sahabat apabila mereka dituduh dan difitnah sebagai gila kuasa. Sehingga kini, fitnah dijadikan sebagai senjata oleh musuh-musuh Islam untuk menggambarkan Islam sebagai agama yang teruk dan menganjurkan keganasan.

Teringat aku kepada satu dokumentari yang bertajuk ' Inside Islam ', yang digarap oleh barat di saluran 555 History di astro. Dokumentari yang menceritakan bagaimana islam mula berkembang hingga kini. Satu usaha yang baik dalam proses memperkenalkan Islam ke seluruh dunia walaupun kebanyakan kenyataan dan ahli penal dalam dokumentari tersebut datang dari nama-nama yang telah banyak menimbulkan kontroversi seperti Aminah Wadud. Namun aku tidak hairan kerana ia terhasil di Amerika Syarikat. Tetapi yang amat menarik perhatianku adalah, di dalam dokumentari tersebut masih terdapat unsur-unsur fitnah terhadap Islam.

Contohnya mereka memaparkan beberapa insiden yang didakwa didalangi oleh pelampau Islam tanpa dinyatakan mengapa ia berlaku. Turut disentuh isu Palestin yang hanya menayangkan peristiwa pengeboman bas di dalam kawasan Israel. Mengapa tidak ditayangkan peristiwa penyembelihan warga-warga Palestin di kem-kem pelarian, pengeboman wilayah Palestin dan yang terbaru di Gaza? Adakah hanya kerana mahu menghormati pihak Israel dan Amerika yang menaja rancangan tersebut melalui agen-agen mereka?

Di Malaysia juga tidak terkecuali. Drama yang sama juga berulang. Kita dapat melihat bagaimana sesuatu perkara dimanipulasi oleh pihak pemerintah dalam mencapai objektif mereka. Media massa seperti TV1, TV2, radio-radio, Utusan Malaysia dan sebagainya menjadi senjata ampuh mereka dalam merealisasikan hasrat pemerintah. Dan mangsanya tidak lain tidak bukan adalah seteru mereka, parti-parti pembangkang dan kepimpinannya.

Contohnya kes fitnah terhadap Tn Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam isu beliau menyatakan ahli UMNO tidak masuk syurga. Riuh satu Malaysia, baik menteri, pemimpin politik, pensyarah universiti dan sebagainya termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan beliau bersalah kerana mengeluarkan kenyataan sebegitu. Masing-masing dengan lantang bersuara hanya kerana berkiblatkan laporan yang dikeluarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana. Beliau sedikit pun tidak diberi peluang membuat penjelasan, seperti isu-isu sudah yang akhirnya hanya disenyapkan kerana tahu, ia hanya fitnah semata-mata. Mengapa ini terjadi?

Siapakah Nik Abdul Aziz ini?


Seluruh Rakyat Kelantan mengenali beliau sebagai seorang menteri besar yang amat dihormati dan disanjung tinggi. Bukan kerana pangkatnya tetapi kerana pemikiran dan ilmu yang ada padanya. Seorang ustaz di Kelantan yang pernah aku temui pernah berkata beliau menganggap Tuan Guru sebagai anugerah dari Allah kerana perjuangannya dalam menegakkan agama Allah di sana. Perjuangan yang bukan hanya sekadar retorik untuk meraih sokongan tetapi kerana tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Bayangkan, dalam usia dan kudrat di hujung usia, beliau masih lagi berjuang. Selain menjalankan urusan pentadbiran di Kota Darul Naim, beliau juga tanpa rasa bermegah dan bongkak, duduk bersama-sama rakyat jelata di pagi Jumaat untuk berkuliah soal agama di Dataran Ilmu di Bandaraya Kota Bharu. Amat senang untuk didekati, berjabat tangan dan berbincang sama ada di rumah beliau sendiri atau pejabat.

Namun mengapa beliau dilayan sebegini rupa, difitnah, didiskriminasi walaupun bergelar seorang Menteri Besar? Hanya satu sebab, beliau hanya berpegang kepada yang benar dan menolak kepada yang menyimpang dari Islam. Bukan kerana susuk tubuhnya, tetapi kerana pemikiranya yang tajam dan kritis dalam menganalisis setiap apa yang berlaku dan yang dilakukan oleh pihak pemerintah.

Aku terfikir, bagaimanakah penfitnah-penfitnah yang kini bertepuk tangan di dunia, akan diseksa diakhirat kelak. Semoga mereka mendapat petunjuk sebelum malaikat maut datang menjemput. Sekian, terima kasih.

Wednesday, 26 May 2010

Apabila Butakan Mata, Pekakkan Telinga..

Dunia hari ini memperlihatkan kepada kita, begitu banyak kerosakan, kemungkaran, kemaksiatan dan kekufuran yang berlaku. Bukan sahaja di negara-negara kafir, malah lebih meluas di negara Islam sendiri. Tidak terkecuali negara kita, Malaysia bumi tercinta.

Isu gejala sosial yang telah lama membarah dalam kalangan masyarakat sehingga kini masih ditakuk lama. Masalah pelacuran, buang bayi, sumbang mahram, rogol, ragut dan kecurian masih lagi berleluasa dan semakin parah. Berapa ramai yang sehingga hari ini, tidak mengenali ibu bapa semenjak lahir mengenal dunia fana.

Itu belum dibuka tirai rumah kebajikan dan warga emas, yang rata-rata semakin ramai penghuninya. Habis sepah, madu dibuang. Dikala muda, perit, perih mencari sesuap nasi untuk sang anak. Namun bila dikala penhujung usia, menghabiskan masa merenung, menunggu kasih anak. Malah ada yang diperlakukan seperti binatang, seolah-olah mereka langsung tiada harga, Padahal di tapak kaki merekalah syurga sang anak. Hingga akhirnya, menghembuskan nafas terakhir di samping rakan-rakan yang senasib dengannya.

Namun dunia hari ini memperlihatkan kepada kita, semua itu hanya seperti sebuah drama. Ditayang, hanya untuk memenuhi slot, yang akan menaikkan ranking dan menjulang trofi tayangan terbaik. Hakikatnya masalah-masalah itu masih tidak selesai, malah makin merebak, makin membarah. Yang ternoda terus dinoda, yang menangis terus menangis, yang hitam terus menghitam.

Kemanakah satu umat yang amat mulia itu?

Kemanakah satu umat yang gagah berani itu?

Kemanakah satu umat yang bersuara benar itu?


Yang dikatakan membawa cahaya ilahi itu?


HILANG! Hilang entah kemana. Nama-nama umat itu semakin bertambah namun tidak kelihatan susuk tubuhnya. Menara-menara masjidnya semakin meninggi namun syiarnya semakin menjunam. Yang ada hanyalah cebisan-cebisan yang terus berjuang, cuba untuk membina kembali umat itu.

Umat apakah itu?

Itulah UMAT ISLAM hari ini. Bayinya lahir di dalam keluarga maksiat. Zaman kanak-kanaknya buas bermain di taman-taman kelalaian. Zaman remajanya terkinja-kinja di pesta konsert. Zaman rumah tangganya bergelumang dengan dosa. Dan zaman tuanya pengunjung setia joget dangdut. "HAHAHA!" ketawalah mereka, mereka si pemusuh umat itu. Hari ini pakaian musuh adalah pakaian umat itu. Hari ini makanan musush adalah makanan umat itu. Hari ini amalan musuh adalah amalan umat itu. Masakan tidak gembira musuh umat itu?

Mengapa Begitu?

Semuanya apabila masing-masing membutakan mata, memekakkan telinga, membisukan mulut. Tiada lagi amal makruh nahi mungkar. Pemerintah memenuhkan perut kroni dan keluarga. Sehingga alpa tugas dan amanah menjaga agama, bangsa dan negara. Tidak cukup itu, barang tugas dan amanah digadai dan diperdagangkan. Agama dinoda sedahsyat-dahsyatnya. Tidak cukup hudud ditolak, ditendang, dihina, arak pula didagang bebas. Bahkan najis judi pula dihalalkan. Bangsa bumiputra, seperti mengemis di negara sendiri. Yang minoriti pula dianak tirikan, didikminasi, apabila berlainan pangkah undinya. Negara semakin hari semakin mengecil. Digadai sana, dilelong sini. Pulau Batu Putih, Blok minyak di Serawak dan terbaru cebisan tanah di Singapura.

Akhirnya agama yang rugi, rakyat menderita dan negara tergadai. Kerana masing-masing terus memejamkan mata, memekakkan telinga, mengunci mulut serapatnya. Kebenaran di cat sebagai kebatilan manakala kebatilan disanjung beralas baldu sutera. Hakikat yang hak hanya dipandang dan didengar tak ubah seperti drama. Manakala kejijikan batil dipejamkan, ditulikan, didiamkan.

Ya! Hari ini anda masih mampu ketawa. Masih mampu bersuka ria. Masih mampu bergurau senda. Namun nantilah, satu saat di mana, tiada lagi jalan keluar, tiada lagi U-turn, tiada lagi hitam dan putih. Yang ada hanyalah neraca Nya. Bersedia untuk menimbang, menyukat. Yang akan menjadi penentu hidup abadi kita, sama ada bertemankan para nabi, sahabat-sahabat, solehin, syuhadah dan bidadari atau meraung-raung bersama jin dan syaitan. Hanya kerana kita butakan mata, pekakkan telinga, bisukan lidah. Sekian, salam.

Monday, 24 May 2010

Institusi Musibah

Di petik daripada Harakahdaily Ruangan Catatan Wartawan,2/11/09

"...pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam ujian."


Kadang-kadang ujian silih berganti, pasang-surut tanpa henti membuatkan saya pernah bertanya apakah sebab dilahirkan ke dunia ini. Adakah untuk merasai kesakitan dan 1000 kepayahan mendatang?

Kata-kata itu terpacul tatkala, saya masih cukup naif agama dan kosong jiwa. Lantas, bertanya kepada seorang tua, di sebuah warung, berhampiran rumah bujang saya kira-kira 15 tahun lalu.

"Azamin...pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam-macam ujian. Jangan bersangka buruk kepada tuhan," kata lelaki beruban, lewat usia 50an itu, membuatkan saya tertunduk.

"Muhammad, kekasih Allah itu dibaling batu, dilempar najis dan kakinya terpijak duri-duri yang sengaja di letakkan di tepi jalan. Giginya patah dan pipinya berdarah sewaktu perang.

"Pernah disihir dan usaha untuk membunuhnya tidak pernah surut. Lawannya sentiasa mengejek dan menghinanya.

"Lalu adakah ujian-ujian itu tanda Muhammad itu dibenci dan dipinggirkan Tuhan?" soalnya lagi dan kali ini air mata saya mula bergelinangan.

Dan dialog itu, terus menerkam sanubari, bilamana saya dihurung musibah. Kadang-kadang saya merasa penat dan adakalanya hampir putus asa. Sebabnya, tak jemu-jemu ujian dan masalah hinggap dalam kehidupan.

Bila saya mengaji dan terbaca terjemahan surah Al-Baqarah, ayat 155, barulah hati saya reda dan tenang semula.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:"

Saya bertanya lagi kepada pakcik itu, kenapa orang lain bahagia, kaya, berjaya dan hidup aman makmur berbanding saya.

"Sebenarnya kamu lihat dengan mata kepala bukan dengan mata hati...lantas apa yang dilihat hanya zahir semata-mata. Kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan mereka dinilai dengan apa yang ada di depan mata kamu.

"Kamu tidak tahu di sebalik semua itu. Hutang keliling pinggang, penipuan, kesakitan, kepayahan dan ujian-ujian yang dihadapi mereka. Dan tidakkah Azamin tahu, ujian paling bahaya adalah ujian kesenangan!

"Jika kita sakit serta susah, kita mengadu dan menyebut Allah tetapi bila sihat dan senang, adakanya kita lupa dan alpa..." katanya membuatkan saya terdiam seketika.

Ya benar, kita sentiasa lupa pada-Nya tetapi Allah tidak pernah lupa dan tinggalkan kita, apatah lagi di kala berlaku kesulitan dan kepayahan.

Kira-kira enam tahun lalu, saya menerima panggilan bahawa bapa saudara saya meninggal dunia di utara. Berat sungguh ujian ketika itu. Sudahlah sayu dan pilu, saya yang 'kurang' harta ini pula bercampur-baur antara mahu pergi ataupun tidak menziarahi jenazahnya yang juga merupakan adik kepada bonda tercinta.

Saya di Kuala Lumpur, ibu di Negeri Sembilan dan jenazah arwah di Kedah sana. Kocek, cukup-cukup tampung perjalanan pergi sahaja. Kereta juga uzur. Saya bertawakal dan berserah diri bulat kepada Allah. Niat saya untuk membawa ibu, dan mengadap arwah buat kali penghabisan.

ImageDalam perjalanan, hati cukup resah tanpa disedari ibu, isteri yang sedang menyusukan anak sulung. Apakah sampai di sana nanti, saya akan mengemis atau meminta-minta belas ihsan mendapatkan wang untuk 'tambang' pulang.

Ya Allah, saya berdoa, jauhilah diri saya melakukan sebarang aib dan malu dimuka keluarga.

Selesai pemakaman jenazah, saya ditepuk seorang hamba Allah (pun sudah meninggal dunia empat tahun lalu) sambil bersalam dengan saya.

"Nah, wang belanja sedikit untuk Azamin. Pakcik dah pasang niat bila nampak Azamin tiba subuh tadi. Pakcik tahu Azamin pun susah payah datang sini..." katanya menyebabkan saya menangis termanggu-manggu.

Sangka orang, saya sayu menghadapi pemergian bapa saudara tetapi, saya cukup pilu kerana di sebalik kepayahan dan kerisauan, Allah 'menjawab' keresahan dan kerisauan saya dengan bantuan yang tidak diduga.

...

Azamin

--------------------------------------------------------------------------------------

Satu kisah yang cukup baik untuk kita renungkan. Di mana musibah yang datang sering kali kita lihat sebagai bala semata-mata. Malah ada di antara kita yang sanggup mencerca dan menghina Allah kerana musibah yang melanda. Namun tanpa kita ketahui, ia sebenarnya adalah satu institusi untuk membentuk kita menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya.

Kisah diatas diceritakan oleh seorang hamba yang berjuang di jalanNya. Lihat bagaimana seorang hamba Allah yang berperang terpaksa membuat pilihan yang cukup memeritkan dek kerana ujian yang mendatang. Bukan sekali, bukan dua kali malah sudah berbilang kali ujian mendatang. Aku cuba untuk membayangkan, bagaimanakah jika aku berada di tempat beliau. Apakah keputusan yang akan aku pilih?

Inilah yang dikatakan musibah sebagai satu institusi yang mengajar kita sedar siapakah diri kita. Membuatkan kita mengakui milik siapakah diri, nyawa, harta yang ada di sekeliling kita ini. Ia menjadi medan untuk mengukur tahap kekuatan iman yang ada pada diri kita. Di saat kita ditimpa musibah, dengan siapakah kita bergantung? Di manakah tempat kita mengadu? Inilah yang membuatkan kita sedar dan mengerti, hidup kita di dunia ini adalah milik Allah. Dia lah tempat kita mengadu dan bergantung. Semuanya datang dariNya dan akan kembali kepadaNya.

Setiap apa yang hadir hari ini hanyalah pinjaman dariNya. Tubuh badan yang sihat, akal fikiran yang cerdas, keluarga yang bahagia, harta yang melimpah ruah dan seumpamanya hanyalah sedikit dari nikmat yang Allah kurniakan. Namun setiap daripada itu perlu dijaga sebaik-baiknya, kerana akan dihisab kembali di akhirat kelak. Bagaimana kita menggunakannya, sumbernya dan lain-lain akan disoal, diberi penghakiman. Semua itu akan menentukan sama ada kita di syurga atau pun ke neraka. Nauzubillah...

Oleh itu, janganlah sesekali kita mengeluh dan berputus asa dalam menghadapi ujian dan dugaan. Lebih-lebih lagi apabila kita bergerak dan bekerja untuk agama Allah. Kerja-kerja jihad, dakwah, tarbiah dan jemaah amat memenatkan dan menjerihkan dengan tentangan dan asakan dari musuh-musuh yang cemburu dengan keindahan Islam. Tetapi jangan kita lupa, Allah sentiasa ada di sisi hamba-hambaNya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...