Tuesday, 31 August 2010

Selamat Hari Kemerdekaan Ke-53

Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-53 
Buat semua rakyat Malaysia

Semoga kemerdekaan kali ini akan membuka minda dan fikiran rakyat 
Untuk merubah negara kearah yang lebih baik

Dengan menolak yang membawa kebatilan
Dan menerima mereka yang membawa perkara yang hak..

Sunday, 29 August 2010

Liberalisasi: Antara Senjata Ampuh Kapitalis Barat!

Liberalisasi, satu istilah yang cukup sinonim dengan dunia barat. Istilah yang diperkenalkan untuk membawa maksud kebebasan, keterbukaan dan toleransi. Cukup manis jika kita hayati maksud yang dihidangkan. Alangkah indahnya dunia, jika ia benar-benar dihadam dengan semangat persaudaraan dan tanpa sebarang dikminasi, permusuhan, dendam dan korupsi.

Maka dunia mula lah mengangkat kalimah yang dianggap agung ini. Pemimpin-pemimpin dunia barat mula menyanyikan lagu-lagu indah, politikus tempatan mula memalu gendang, legasi-legasi koperat mula meniup seruling dan seluruh lapisan umat manusia mula menari-nari mengikut rentak irama lagu. Masing-masing bersuka ria dengan slogan baru yang dicanang. Terlalu gembira seolah-oleh dunia ini telah selamat daripada segala kejahatan, kebajetan dan akan terhapus segala jurang, pemisah yang merantai manusia selama ini.
 
Pemimpin-pemimpin negara di seluruh dunia mula menerapkan konsep ini dalam pemerintahan di negara masing-masing. Masing-masing cuba menjadi jaguh dalam memperjuangkan dan mengamal konsep yang kelihatan cukup hijau dengan faedah dan manfaat yang bakal diperolehi.
 
Tidak terkecuali negara kita, Malaysia. Sejak di zaman Tun Dr Mahathir lagi, konsep ini mula diserap dalam sistem pemerintahan kita. Maka wujudlah konsep-konsep celupan dari konsep liberalisasi ini yang bermatlamat memodenkan dan memajukan negara. Hari ini, konsep ini semakin dikembangkan oleh anak didik beliau iaitu Perdana Menteri ke-6, Dato' Seri Najib Tun Razak. Memegang tampuk pemerintahan dikala parti dan barisannya dalam keadaan lemah selepas dilanda gelombang tsunami politik yang digegarkan oleh pakatan rakyat, beliau cuba membawa nafas baru dengan berbagai-bagai konsep yang dilihat bertunjangkan konsep liberalisasi ini.
  
Terkini dan sedang berlansung dan menjadi amalan, konsep ni sedang diterap dalam setiap apsek dan kompenen pemerintahan. Banyak perkara seperti penambahan peratus pemilikan syarikat tempatan untuk bukan bumiputera dan syarikat asing, biasiswa nasional, pembukaan saham ASB untuk bukan bumiputera, peruntukan kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan banyak lagi projek-projek yang telah, sedang dan akan dijalankan. Dalam masa singkat, dapat dilihat ekonomi negara makin mampat dan berkembang dengan pesat. Pelaburan luar dari seluruh pelusuk dunia khususnya dari Eropah, Jepun, Asia Tengah, Amerika dan China datang mencurah-curah dalam semua bidang. Semua itu dari syarikat-syarikat besar, negara-negara maju dan kuasa dunia. Dan dapat dilihat, rakyat mula bertepuk tangan dengan konsep ini.
 
Namun, pada mereka yang berfikiran jauh, berfikiran waras, berfikiran rasional pasti dapat melihat betapa dasar ini akan mendatangkan bala yang besar kepada negara. Memang diakui, dasar dan konsep ni akan membawa kemajuan dengan pantas dan pesat. Pelaburan, pinjaman, perniagaan dan sebagainya akan meningkat naik. Namun jangan hanya lihat itu. Cuba kita celik luas-luas, buka minda kita. Mahu tidak mahu, kita akan dapat lihat, dasar ini seolah-olah kita menjual dan menggadai khazanah, warisan, dan kekayaan negara kita sendiri.
 
Contoh yang paling mudah, yang terbaru isu pemilikan saham BERNAS. Jika sebelum ini, sebahagian besar saham badan tersebut dimiliki oleh syarikat bumiputera. tetapi yang terbaru, syarikat dari Hong Kong sudah berjaya memiliki 31% saham secara pembelian berperingkat sejak tahun 2003. Adakah suatu yang bijak jika aset penting dan strategik negara berada di tangan orang luar? Kita sedia maklum beras merupakan makanan ruji utama di negara kita. Cuba kita bayangkan, apabila semua aset penting dan strategik negara seperti air, makanan, teknologi, telekomunikasi dan sebagainya berada di tangan pihak luar, mereka bebas menentukan semua perkara termasuklah harga, kualiti dan simpanan stok negara. Lebih malang jika ia jatuh ke tangan musuh-musuh agama, bangsa dan negara. Sudah tentu bukan satu keputusan yang bijak!
 
Itu belum dikira dari skop-skop lain seperti hak-hak bumiputera, hak-hak warganegara dan kaum. Jika dihitung setiap keputusan dan dasar yang dilaksanakan, makin banyak perkara-perkara yang menyebabkan hak-hak keistimewaan bumiputera terhakis. Keputusan pemberian biasiswa nasional yang berdasarkan merit dilihat sebagai salah satu keputusan yang akan menghakis hak-hak keistimewaan bumiputera. Dasar sama rata digunakan memang baik namun jika kita kembali kepada perlembagaan, hak-hak keistimewaan bumiputera harus dihormati.
 
Suatu kajian perlulah dijalankan dengan jujur dan berintergriti dalam melihat kesan dasar yang telah digunapakai ini. Ini disebabkan liberalisasi merupakan salah satu senjata yang digunakan oleh barat untuk menjajah ekonomi negara-negara Islam dan negara dunia ketiga. Mereka masuk melalui perjanjian-perjanjian ekonomi dan perkongsian strategik. Contohnya Amerika Syarikat menggunakan perjanjian FTA, pembinaan pengkalan tentera, perjanjian strategik dan serantau untuk dijadikan platform serangan mereka. Akhirnya negara-negara Islam dan negara membangun lain terpaksa patuh dan terikat dengan mereka. Cukup mendukacitakan dan inilah antara punca negara Islam kini lemah dan hanya mampu berdiam diri jika saudara-saudara seagama ditindas dan dizalimi oleh negara-negara musuh.

Wednesday, 25 August 2010

Mahasiswa Berpolitik?

Hari ini isu mahasiswa berpolitik semakin hangat diperkatakan dalam masyarakat. Isu ini mula meniti dari bibir ke bibir apabila pihak kerajaan membuat pengumuman untuk memberi kebenaran kepada guru berijazah DG41 hingga DG44. Walaupun baru hari ini isu ini diketengahkan, namun perjuangan kebebasan bersuara mahasiswa sejak dahulu lagi sudah dimulakan khususnya daripada pihak parti politik pembangkang.

Saban tahun akta AUKU didesak untuk dimansuhkan. Akta ini mula diperkenalkan oleh pihak kerajaan pada tahun 1971 di mana bertujuan untuk mengekang kebangkitan suara mahasiswa di kampus-kampus universiti pada waktu itu. Seluruh masyarakat pada waktu itu mengetahui dan memahami, bahawa suara mahasiswa ketika itu begitu hebat dalam mewarnai politik negara. Mahasiswa ketika itu menjadi suara kepada rakyat bawahan dengan lebih ke hadapan dalam mengetengahkan isu-isu berkaitan rakyat dan sebagainya.

Mengapa mahasiswa pada ketika itu begitu berani? Sedangkan hari ini mahasiswa tak ubah seperti pelajar-pelajar sekolah yang hanya menunggu untuk menggenggam segulung ijazah. Kerana pada ketika itu anak-anak muda yang berada di universiti begitu terbuka dalam membina pemikiran, bebas mengeluar dan membahaskan idea-idea yang bukan sahaja hanya merangkumi skop pembelajaran, malah mengjangkaui dokrin masyarakat ketika itu.

Maka lahirlah pemimpin-pemimpin mahasiswa yang cukup berwibawa seperti Anuar Ibrahim, Ibrahim Ali, Abu Bakar Chik dan seumpamanya yang hari ini masih lagi memaparkan taring kepimpinannya dalam mewarnai politik nasional. Namun hari ini, mahasiswa seolah-olah bagaikan kera di dalam sangkar, hanya mampu memikirkan diri sendiri, pembelajaran dan keseronokan dunia. Pemikiran dikongkong dan disempitkan sesempitnya sehinggakan hari ini, berapa ramai mahasiswa yang celik politik, celik isu-isu semasa dan mampu menjadi pemimpin kepada masyarakat.

Hak berpolitik merupakan satu penanda yang menunjukkan suatu masyarakat atau tamadun tersebut hebat atau sebaliknya. Jikalau dahulu ketika kita masih dijajah oleh penjajah British, hak berpolitik merupakan salah satu agenda yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan. Namun hari ini di Malaysia, golongan yang bakal mewarnai pemerintahan negara dinafikan hak berpolitik. Sungguh memalukan, individu yang mempunyai umur yang sama tetapi menjadi penjual ikan di pasar namun boleh berpolitik siang dan malam di mana-mana sahaja sedangkan insan yang bergelak mahasiswa yang cukup dipandang tinggi dalam heiraki sosial hanya mampu termenung memerhati.

Alasan takut tergadai pelajaran, dipengaruhi dan dipergunakan oleh parti politik amat danggal dan cukup menghina mahasiswa. Adakah insan yang terpilih dari beratus ribu pemohon ini bodoh dan buta sehingga boleh perlaku begitu rupa? Cukup bangangkah mereka untuk menggadai pelajaran dek politik dan menyerahkan tengkuk untuk diikat tali oleh parti politik? Alasan-alasan itu tidak lain tidak bukan kerana pihak kerajaan takut kepada suara mahasiswa.

Mahasiswa bukan golongan yang mudah terpengaruh dengan kata-kata dan dakyah mana-mana pihak. Jauh lagi untuk mendokong sesuatu secara membabi buta. Mereka akan mengkaji, memahami dan menilai setiap apa yang ditonjolkan baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Bukan kerana taksud, tetapi penilaian yang akan dilihat dalam membuat keputusan.

Dan di sinilah kita akan mendapat jawapan, mengapa kerajaan berkeras untuk tidak membenarkan mahasiswa berpolitik. Hakikatnya kerajaan sedaya upaya untuk menutup lohong-lohong dan lubang-lubang kerosakan hasil daripada tangan-tangan mereka sendiri. Isu rasuah, gejala sosial, pembaziran harta negara, ketirisan pengagihan kekayaan negara, intergriti instisusi kehakiman dan badan-badan penguakuasaan dan sebagainya sudah pasti akan menjadi senjata yang akan meruntuhkan mereka. Jika mahasiswa dibenarkan berpolitik, sudah tentu kerajaan akan mati akal untuk menghadapi mereka dalam menjawab setiap isu yang dibangkitkan dan sudah pasti hayat pemerintahan akan semakin singkat. Inilah yang paling ditakuti oleh pihak kerajaan.

Namun begitu, perjuangan kebebasan mahasiswa hendaklah diteruskan sehingga matlamat mahasiswa merdeka tercapai. Semua pihak handaklah bergabung tenaga untuk mendesak kerajaan membuka sangkar yang mengekang kebebasan mahasiswa dengan memansuhkan akta AUKU yang cukup merugikan negara. Mahasiswa juga hendaklah bersedia dalam segala aspek untuk mula melangkah ke alam mahasiswa yang sebenar. Hidup Mahasiswa!

Tuesday, 24 August 2010

Aku Manusia Pemikir?

Salam teman-teman.. Pekabo sume? Harapnya sihat sentiasa. Mie kat sini pun ok je.. Cuma hari ni puasa agak penat daa.. Camne tak penat, hari ni ada kelas pendidikan jasmani kat padang.. Tengahari pulak tu. Huhu memang memenatkan.. Petang pulak ada kuiz..huhu.. Kiranya hari ni penat fizikal dan metal woo..


Minggu lepas Mie ada perbincangan dengan K ana dan Farahin, antara sahabat-sahabat Mie dalam organisasi. Banyak yang dibincangkan masa tu. Namun yan paling menjadi tanya pada Mie, betul ke Mie ni seorang pemikir? Itu yang dinyatakan oleh mereka. Mereka cakap, Mie ni jenis yang boleh berfikir banyak perkara dalam satu-satu masa. 

Mie boleh duduk, fikir banyak perkara, rancang itu, rancang ini, selaras sesuatu perkara dan brainstorming padahal dalam masa yang sama, Mie ada lagi tugas dan peranan lain. Mie juga boleh berfikir sesuatu yang orang lain anggap ia sesuatu yang mustahil dan selalunya agak pelik apa yang Mie fikir berbanding rakan-rakan lain dalam organisasi.

"Betul ke ni?"

Tulah persoalan yang bermain difikiran Mie. Pada Mie, rasanya takde lah lain sangat berbanding orang lain fikir. IQ Mie pun biasa je, tak la sampai tahap tinggi-tinggi. Pulak tu Mie pun bukan ada apa-apa yang istimewa sehinggakan mampu berfikir begitu. Namun memang diakui, cara Mie berfikir agak lain berbanding yang rakan-rakan lain.

Akhirnya Mie mendapat jawapannya. Menurut sahabat-sahabat yang lain lagi, Mie lebih sistematik dalam membuat perancangan kerana Mie suka berfikir secara terperinci dan mendalam. Mie seorang yang menggunakan otak sebelah kiri yang mana Mie akan berfikir dengan lebih sistematik dan rasional. Mie tak suka yang berbentuk khayalan atau hanya atas angin. Mie lebih kepada perkara-perkara yang logik dan praktikal. Mungkin inilah yang menyebabkan Mie berfikir lain daripada sahabat-sahabat yang lain.

Tu jawapan Mie. Kalau teman-teman yang kat luar sana ada pendapat lain, share la dengan Mie dengan komen post ni.. Oklah, nak pergi mandi lak untuk ke surau. Terawih ke-15 dah malam ni.. Salam Al-Mubarak..

Saturday, 21 August 2010

Alamak Makin Sibuk Laa...

Salam teman-teman.. Pekabo semua? Harapnya sihat sahaja.. Mie kat sini pun sihat je. Cuma selsema sket sebab resdung datang menyerang. Makan lagi udang masa berbuka dan sahur pagi tadi..hihi.. Alhamdulillah dalam bulan keberkatan ni masih lagi kuat untuk beramal dan berjuang di jalan Allah.. Syukur terawih masih lagi full setiap malam walaupun dua malam hampir-hampir kecundang dek serangan mengantuk..hehe..


Semalam Mie menghadiri liqa bulanan organisasi untuk membincangkan tentang perkembangan dan penambahbaikan organisasi. Fokus utama semalam adalah tarbiah iaitu pengurusan usrah. Alhamdulillah banyak yang dapat dibincangkan. Hanya tunggu pelaksanaannya pula bagaimana. Seterusnya laporan daripada setiap lajnah yang ada. 

Lepas tu sentuh pula perkembangan siasah. Mie sebagai pengerusi lajnah siasah adalah membentangkan beberapa perkara khususnya berkenaan platform dan proksi yang menjadi medan kepada organisasi untuk menjalankan gerak kerja.
 
Akhir sekali, diadakan perbincangan untuk menghadapi pilihan raya kampus dan Mie di lantik menjadi pengarah pilihan raya organisasi untuk pilihan raya kali ni. Aduh makin bertambah la kerja Mie..huhu.. Semalam dah bincang beberapa perkara penting seperti calon dan beberapa elemen yang diperlukan dalam pilihan raya. Mie diberi fokus dalam merangka strategi untuk memenangi pilihan raya tersebut. 

Tahu tak, ni la first time Mie dilantik untuk menjadi pengarah pilihan raya kampus. Agak gementar dan berdebar-debar, kerana amanah ni cukup besar dan memerlukan setiap keputusan yang dibuat dengan betul agar matlamat dapat dicapai. Tambahan pula ini merupakan kali pertama organisasi berhadapan dengan pilihan raya kampus yang sebenar. Kat manalah Mie nak rujuk ni..huhuhu..

Yang pasti Mie kene buat habis baik. Jika tidak akan menjejaskan gerak kerja dan orgnisasi keseluruhannya. Perancangan perlu dibuat dnegan sebaiknya. Dan yang paling penting, kebergantungan kita kepada Nya. Hanya pada Nya kita berserah. Kita merancang dan Allah juga merancang. Dan rancanganNya lah yang sebaik-baiknya. Semoga perancangan kita sama dengan perancanganNya.. Insya allah..

Oklah, Mie nak sambung kerja balik ni. Buat sahabat-sahabat diluar sana, doakan Mie dapat menjalankan amanah ni dengan baik dan mendapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Sekian, wassalam..

Wednesday, 18 August 2010

Musim Assignment Dah Datang!!

Salam teman-teman.. Pekabo ari ni? harapnya sihat je di bulan ramadhan yang penuh berkat ini. Mie pun sihat je.. Bulan ramadhan ni memang penuh keberkatan dan murah rezeki. Setakat ni alhamdulillah rezeki melimpah ruah sampai tak habis nak makan..hihi

Tapi yang tak best ni, dah start dah musim assignment daa..huhu.. Malas betul nak buat.. Tapi okey lagi semua assingment kene hantar selepas cuti raya. So sempat lagilah nak buat..hihi..

Oklah, dalam kelas ni. Lecturer nampak jeles lak..hehe.. Salam

Sunday, 15 August 2010

Saya...

Kadang-kadang saya menunggu...
Kadang-kadang saya pulak ditunggu...
Kenapa saya menunggu?
Kanapa saya pulak ditunggu?

Kadang-kadang saya berjumpa...
Kadang-kadang saya pulak dijumpai...
Kenapa saya berjumpa?
Kenapa saya pulak dijumpai?

Selalu saya yang meminta...
Jarang-jarang saya yang diminta...
Kenapa saya selalu meminta?
Kenapa saya jarang-jarang diminta?

Tak tahu lah saya..
 
Yang pasti...
Saya nak menunggu lagi...
Dan...
Saya harap saya masih ditunggu di sana...

Yang pasti...
Saya nak berjumpa lagi ...
Dan...
Saya harap saya akan dijumpai lagi...

Yang pasti...
Saya dah tak nak meminta lagi hari ini..
Tapi...
Saya harap saya diminta lagi hari esok...

Friday, 13 August 2010

I Think My Self Has Come Back!


Salam.. Pekabo teman-teman? Harapnya sihat sahaja. Mie hari ni rasa dah dapat balik diri Mie yang hilang dalam seminggu ni. Syukur ke hadrat ilahi, rasa seperti hidup balik. Hidup dengan lebih semangat, lebih mengerti mengapa hidup ini perlu diteruskan. 

Bermula hari rabu baru ni, petang tu Mie ada kelas gerko unit beruniform. Lecturer tunjuk markah untuk projek buku skrap dan Mie dapat A++! Alhamdulillah.. Syukur sangat. Mie pun terkejut betul rasa. Dalam 51 orang tu, dua orang je dapat A++.. Mie dan sorang lagi kawan Mie Hafiz. Rasa cam baru keluar dari padang pasir yang panas kontang je. Yelah, sebelum ni kalau cakap bab pencapaian ni, Mie agak rendah la.. Tapi syukur kali ini dapat antara yang terbaik..

Pagi tadi Mie ada program iaitu 'projek buku' kat kampus ni. Projek nak hasilkan buku untuk persatuan Mie. Dalam dok buat-buat tu, Adib, sahabat Mie tanya tarikh lahir Mie. 
 
"Nak buat pe lak budak ni?" Rupa-rupanya dia nak isi dalam satu program yang keluar sifat personal kita berdasarkan tarikh lahir. Mie dapat no 5 dan apa yang dinyatakan dari hasilnya, Mie rasa macam dapat balik diri Mie yang sebenar. Yup, hakikatnya Mie seorang yang aktif, kreatif, merupakan seorang perintis. Dunia ini sekolah Mie, Mie suka mengambil risiko dan Mie suka mencari dan mengambil peluang yang ada. Malah Mie bukan jenis mudah putus asa dan lemah. Jadi Mie perlu kuat, cari balik mana matlamat Mie, hidup Mie, NENDO Mie!

Petang pulak, Kak Ana ada buka satu nasyid ni. Tah camne rasa suka sangat dengan nasyid ni. Mie rasa Mie pernah dengar tapi tak ingat kat mana. Tapi memang suka. Suka dengan lirik dan melodinya.. 

Kenapa er Mie suka? Mie suka sebab rasa dalam nasyid ni, ada sebab, mengapa Mie perlu terus hidup dengan diri Mie ada sekarang. Inilah jalan hidup yang dah Mie pilih dalam ketetapan takdir ilahi, yang perlu Mie lalui dengan penuh kerelaan..

Nak tahu nasyid pe?


Nasyid dari kumpulan Algebra dan tajuk lagu tu, 'Aku Rela'. Nasyid yang menjadi halwa telinga kepada kumpulan pro-mahasiswa untuk terus utuh berjuang di universiti-universiti dalam negara. Mie cuba cari video nasyid ni tapi takde. Jadi Mie letak lirik jela.. Kalau nak dengar, boleh download kat sini, Algebra; aku rela.

Telah ku rela nama dan diri menjadi sasaran
Kerana cinta, aku berkorban
Telah ku rela segala tohmahan bermaharajalela
Kerana cinta, aku terpaksa

Kerana cinta jua aku berbicara

Dengan nada insan terluka
Meluah rasa, meluah fakta, mencedera jiwa
Semuanya kerana cinta…

Biarku tanggung rasa derita..

Asalkan agama, selamat akhirnya..
Yang membantah, hanya berfalsafah..
Kerana bimbang suapan harian

Dengan menjual nama Tuhan..

Lalu kebenaran disingkirkan,
Demi hidangan belian pendustaan
Namun aku yang sengsara zahirnya

Redha telah pun penuhi jiwa

Dalam keletihan ini.. aku bahagia

Kerana..

Pada kebenaran itulah terasa nikmat syurga. 
 
Oklah teman-teman, dah dapat semangat ni, nak mula buat tugas-tugas Mie balik. Jumpa lagi.. Salam..

Wednesday, 11 August 2010

Salam Ramadhan Al-Mubarak..

Salam.. Buat semua umat islam diseluruh dunia, Mie nak ucapkan selamat menyambut kedatangan ramadhan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan dari ilahi. Jadikanlah ramadhan ini sebagai satu madrasah dalam kita memperbaiki diri, memperbanyakkan amalan dan ibadah serta menjadi medan untuk kita mengeratkan ukhuwah fillah sesama umat dan manusia sejagat amnya. Salam ramadhan...

Tuesday, 10 August 2010

Trimas So Mas Sayang, Teman2, Rakan2 Bagi Aku Rasa Sume Ni.. (^_^)

Salam.. Alhamdulillah, syukur kehadrat ilahi, masih lagi diberi kekuatan untuk mengukir senyuman.. Hihi.. Nak ukir senyuman pun nak kudrat jugak ke? Ape la Mie ni.. Tapi hakikatnya memang memerlukan kudrat sebab otot-otot kat muka ni kan guna tenaga untuk ukir senyuman..hihi..



Em camne nak cakap er.. 
Tak cakap, rasa nak cakap.
Kalau cakap, rasa tak patut cakap..huhu susah juga nak buat keputusan ni. 

Kenapa nak cakap? Kenapa tak nak cakap? 

Pulak... 
Em nak cakap sebab rasa dah tak tahan tanggung sorang2..
Tapi tak nak cakap sebab rasa dah putus harapan je.. 
Cakap pun sama cam tak cakap.. 
Nak cakap pun kat siapa tak tahu..

Tak tahu?
Kan ramai je kat luar sana...
 
Memang ramai.. 
Tapi siapa la pulak saya nak cakap kat dorang..
Bukan masalah dorang pun..
Wak susah dorang je..
Dah la saya ni banyak susahkan orang..
Sakitkan orang..

Habis tak nak cakap la?
 
Naaaaakkkkk....
Tapi................... huhuhu...
Tolong la faham saya....
Saya bukan tak nak cakap....
Tapi saya rasa dah takde pe nak cakap lagi...
Saya dah penat cakap...
Tapi masalah sama tetap hadir...
Takkan nak cakap lagi perkara sama banyak kali...
Bosan la orang nak dengar kan...


Mana awak tahu?
 
Hey, kalau awak la, dengar perkara sama je berulang-ulang kali dari orang yang sama, tak bosan ke?
Mesti awak pun tak ok ni..hehe
Takpe la awak...
Saya biasa dah camni..
So jangan la risau..
Saya yang patut risau ni..
Saya takut saya jadi gila ke, sakit jiwa ke..
Yelah, sebab masalah ni melibatkan kehidupan saya, jiwa saya, perasaan saya, orang disekeliling saya...
Saya pun tak nak... Nauzubillah..

Dah camne sekarang?

Saya pun tak tahu nak cakap atau tak..
Kalau nak cakap, saya pun tak tahu nak cakap camne..
Kalau tak cakap, saya pun tak tahu nak luah kat mana..
Kat sini jelah, boleh?

Yelah 2... 
Awak memang selalu camni..
Cakap nak luah kat sini, tapi bila tulis, awak pendam jugak sorang..
Awak ni hipokrikla..

Em.. Yup, saya memang hipokrik..
Kalau saya tak hipokrik, tah camne la saya nak hidup..
Takkan nak tunjuk je kita sedih, marah, kecewa kat semua orang 24jam..
Awak nak ke saya camtu?

Tak nak la gitu...
Tapi awak tak patut buat semua ni.. 
Kenapa tak luahkan je..

Eee awak ni.. Tak faham-faham...
Saya tahu saya bukan kuat untuk tahan semua ni...
Tapi dah ini je pilihan yang saya ada..
Saya tak nak sebab saya, orang lain sedih jugak, marah jugak, kecewa jugak...
Tak nak la camtu..

Habis?
 
Biar jela...
Pada saya, mungkin ini dah jalan hidup saya...
Bukan sekali, bukan dua kali, dah banyak kali...
Dan dah banyak kali saya lah yang mengubat hati saya, perasaan saya sendiri..
Biar saya je yang faham, yang reti pe yang saya rasa, pe yang ada dalam hati saya..
Lagi senang..
Tak perlu mengharap tinggi-tinggi kat sape-sape..
Biarlah saya yang faham orang lain..
Saya tak nak lagi seksa orang lain untuk faham saya..
Sebab saya ni pelik..hehe

Awak tak sakit ke buat semua ni?
 
Hihi... Apelah awak tanya camtu..
Sakit tu memang la..
Sakit sangat..
Tapi saya redha..
Biarlah tiada sesiapa yang faham saya...
Yang pasti saya teramat yakin,
Dia yang Maha mengetahui kenal, tahu dan amat memahami saya..
Hanya padaNya saya berserah..
Saya bahagia dalam dunia lukisan saya...
Takde yang sakiti saya lagi.. (^_^)

Saturday, 7 August 2010

Aduhai Penatnya...

Salam... Pekabo teman-teman? Harapnya sihat je.. Mie hari ni rasa penat betul la hari ni. Ingat nak update blog ni tapi rase mengantuk je.. Idea pun tak keluar daa.. huhu.. Nak keluar dulu..

Tuesday, 3 August 2010

Camne nak berjuang er?















Salam. Berjuang-Perjuangan-Pejuang. Sesuatu yang cukup mudah diungkap dengan kata-kata namun cukup payah untuk memikul dan istiqamah dalam kehidupan seharian. Bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila Islam dijadikan sebagai asas dan matlamat perjuangan.

Sejarah yang dipahat sejak Nabi Adam AS , manusia pertama yang menjejakkan kaki di dunia ini, perjuangan untuk melawan godaan dan tipu helah syaitan telah muncul sebagai perang purba agung yang masih terus berterusan hingga kini. Disusuli pula dengan siri-siri perjuangan para nabi dan rasul dalam memimpin manusia ke jalan yang benar dan menghindari kemurkaan Yang Maha Esa.

Perjuangan Islam, satu perjuangan yang telah bermula sejak Nabi Muhamad diangkat menjadi rasul dan penyatu segala syariat-syariat terdahulu dan masih lagi berterusan hingga kini. Perjuangan yang terus disambung oleh para sahabat-sahabat, tabiin, para ulama hingga ke seluruh peringkat. Berbekalkan janji Allah bahawa Islam akan menang dan ganjaran syurga di akhirat kelak, baik golongan tua, muda, miskin, kaya, kuat mahu pun lemah, masing-masing memainkan peranan dalam perjuangan yang panjang ini.

Aku Sebagai Mahasiswa
 

Mahasiswa, satu gelaran yang cukup dipandang tinggi oleh masyarakat. Bukan kerana harta atau pangkatnya tetapi dengan ilmu yang ada padanya. Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah. Kata-kata hikmah yang sering kita dengar namun untuk mempraktikkannya, bukan mudah. Tambahan pula hidup di dalam dunia yang cukup mencabar dengan akta-akta yang mencengkam, kekangan masa, ruang dan kesempatan yang cukup terbatas?

Akhirnya Mie sedar, yang paling utama adalah hubungan kita dengan Allah. Dekatkan lah diri kita kepada Allah swt dengan mendalami ilmu-ilmu dan melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang bermanfaat untuk menjadi bekal kepada kita dalam perjuangan ini. Ilmu merupakan aset yang penting dan perlu diutamakan dalam perjuangan. Bukan sahaja ilmu-ilmu berkaitan agama, kita juga mestilah mendalami ilmu-ilmu khifayah lain seperti kemahiran komputer, penggunaan internet, mencari dan menganalisis maklumat dan sebagainya.

Bagaimana? Hadirkanlah diri dengan program-program rohani seperti usrah-usrah, muqayyam, katibah dan kuliah-kuliah agama serta program-program pembangunan kemahiran yang amat luas skopnya. Malas nak angkat kaki? Surflah di sesawang maya. Jadikan Tarbiah, Ukhuwah dan Amal sebagai tunjang dalam perjuangan.

Usrah mampu menjana keperibadian muslim sejati

 
Kedua, kita juga hendaklah mencari teman-teman yang dapat memberi manfaat dan mempunyai cita-cita yang sama iaitu untuk berjuang di jalan Allah. Teman-teman yang akan bersama-sama dalam medan perjuangan ini membuatkan kita sedar, kita tidak keseorangan. Kesatuan dalam berjamaah yang sama fikrahnya dengan kita akan membuatkan perjuangan kita lebih tersusun dan sistematik. Mana mungkin lidi sebatang dapat menandingi hasil dan kesan yang akan diperolehi lidi yang banyak dan diikat kemas.

Ketiga, hendaklah dijaga adab dan ikhtilat setiap setiap percakapan, perbuatan dan tingkah laku kita sebagai mahasiswa islam agar sebarang permusushan dan perselisihan dapat dielakkan. Hindarkan diri dari membuat sebarang provokasi, penghinaan, fitnah dan seumpamanya. Ini bukan sahaja mendatangkan masalah, bahkan perjuangan kita akan sukar untuk diterima mad'u. Elakkan juga dari menjadi fitnah kepada perjuangan. Setiap perkara yang akan diucap, dibuat hendaklah difikirkan semasak-masaknya untuk mengelakkan diri menjadi punca kepada fitnah yang timbul.

Keempat, mahasiswa hendaklah bijak dan efektif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan. Setiap tugasan hendaklah dijalankan secara profesional bukan sahaja tugas-tugas yang diamanahkan dalam perjuangan malah turut merangkumi seluruh aspek kehidupan. Cara gerak kerja kita akan menjadi kayu ukur terhadap kesungguhan dan komitmen kita dalam urusan kehidupan. Selalu kita dengar ungkapan ini, "Kita merancang kegagalan jika kita gagal untuk merancang". Ungkapan yang mana memberikan satu amaran yang cukup keras kepada kita bahawa perancangan merupakan suatu yang amat penting dan tidak boleh dibuat secara sambil lewa.

PENUTUP

Justeru itu, perjuangan untuk menegakkan agama islam wajib dijalankan walau di mana saja kita berada. Baik di bandar, di desa mahu pun di dasar lautan sekali pun. Allah tidak akan bertanya di akhirat kelak, adakah kita berjaya menegakkan islam tetapi Allah akan bertanya adakah kita berusaha untuk tegakkan islam. Bagaimana pula jawapan kita? Andalah yang akan menentukannya. Sekian, wassalam.

Sunday, 1 August 2010

Hari Pahlawan Di Zaman 2010.

Salam.. Selamat menyambut hari pahlawan kepada semua prajurit-prajurit negara yang telah banyak berkorban untuk memerdekakan negara dari penjajah asing. Sambutan yang diadakan pada 31 Julai setiap tahun menjadi hari untuk memperingati betapa susah dan seksanya perjuangan dalam menuntut kemerdekaan khususnya anggota-anggota tentera negara yang menetang komunis di dalam hutan.

Berapa ramai askar-askar yang berjuang di hutan sana yang masuk ke hutan sihat sejahtera namun apabila keluar sebagai badan tanpa nyawa. Malah ramai lagi yang keluar sebagai orang kurang upaya (OKU) apabila jerangkap samar dan peluru musuh merobek dan menghancurkan anggota badan. Cukup hiba apabila kita mengenang kembali, mereka-mereka yang telah pergi mengadap ilahi hanya kerana berjuang untuk kemerdekaan.

Namun hari ini kemerdekaan dapat dikecapi sebaik sahaja keluar dari perut ibu. Semuanya mendapat hak dan diakui kewarganegaraannya tanpa perlu bersusah payah. Akhirnya dari satu generasi ke satu generasi, kesusahan dan kepayahan untuk mendapatkan kemerdekaan semakin hilang dan pupus dalam fikiran masyarakat. Sambutan hari pahlawan seolah-olah hanya sebuah hari untuk menganugerahkan pingat kepada askar-askar yang berjasa dan membuat kutipan derma untuk tabung pesara tentera.

Generasi muda pula hanya memandang sepi, membiarkannya terus berlalu seolah-olah tiada kaitan dengannya. Padahal hakikatnya generasi kini masih berhutang dengan setiap askar-askar yang telah berkorban harta, masa malah nyawa mereka sendiri. Teringat Mie kepada seorang pak cik yang menjual nasi di sebuah pasar. Beliau merupakan seorang pesara polis hutan yang telah bertugas di Perak pada waktu komunis menguasai sebahagian hutan negara. Tiga orang rakannya menemui ajal di tangan komunis di hadapan matanya sendiri. Namun beliau tidak bersedih dengan peristiwa itu namun amat sedih dengan generasi kini yang seolah-olah sudah melupai jasa-jasa para pejuang negara.

" Menteri kat atas tu hanya pandai bercakap. Padahal mereka sepatah haram pun tak tahu betapa susahnya kami berjuang untuk kemerdekaan. Generasi muda pula seperti lembu dicucuk hidung. Tidak seperti mereka-mereka yang hidup di zaman 70an dan 80an. Mahasiswanya digeruni dan suaranya keramat,"

Begitulah kata-kata yang masih Mie ingat sampai hari ini. Yup, yang di atas itu memang hanya pandai bercakap dan yang di bawah ini semuanya diikat dengan pelbagai akta dan pekeliling. Mungkin kita sedar atau tidak, begitulah hakikatnya. Mereka yang berjuang di kala seksa itu, kini seperti merempat di negara sendiri. Lihat betapa ramai pesara-pesara tentera yang terpaksa mengemis, membanting tulang untuk sesuap nasi malah ada yang menghuni flat-flat busuk di kota raya. Yang kaya, yang makan bersuap, yang tinggal di istana mewah hanya pemimpin-pemimpin dan kroni-kroni masing-masing.

Soalnya, adakah itu bayaran yang sepatutnya mereka dapat setelah berkorban untuk kemerdekaan dan kedaulatan negara? Di manakah pembelaan, pengiktirafan yang sepatutnya diberikan kepada mereka? Di manakah maruah anda apabila anda makan secukupnya dan tinggal di vila mewah sedangkan anda sedang berhutang nyawa, darah dan air mata untuk setiap inci kebebasan yang dikecapi hari ini? Fikirkanlah. Justeru itu semua pihak baik pihak pemerintah mahupun setiap individu yang mengaku sebagai warganegara bertuah ini haruslah memainkan peranan penting dalam memastikan nasib mereka terbela. .